KUALA LUMPUR – 9 APRIL 2021: Sebuah keluarga yang tinggal di Sungai Siput, Perak, telah datang ke Kuala Lumpur pada hari ini untuk mengadakan protes di hadapan ibupejabat Bank OCBC, dengan tuntutan supaya pihak bank menghentikan tindakan kejam yang melelongkan rumah mereka selepas kematian ketua isi rumah yang merupakan peminjam wang dengan bank itu. Hasil daripada aksi protes ini, proses pelelongan telah diberhentikan dan rumah mereka berjaya diselamatkan!

Chandrasekar yang meminjam wang daripada Bank OCBC untuk membeli rumah di Kampung Tersusun Kemuning, Sungai Siput, Perak, telah meninggal dunia pada bulan Ogos 2020. Selepas dia meninggal dunia, keluarganya telah memaklumkan kepada pihak Bank OCBC, dan insurans MRTA (Mortgage Reduce Term Assurance) telah membayar sebahagian besar pinjaman perumahannya. Apabila keluarga pergi berjumpa dengan pihak bank untuk bertanyakan bagaimana untuk meneruskan pembayaran bagi hutang yang masih tinggal, pihak bank enggan melayan mereka, dengan mengatakan bahawa mereka merupakan pihak ketiga dan tidak mahu membincang dengan keluarga Chandrasekar mengenai tunggakan pinjaman bank yang masih tinggal. Lebih teruk lagi adalah, pihak Bank OCBC menetapkan tarikh 15 April 2021 untuk melelongkan rumah mereka, yang boleh menjadikan keluarga ini gelandangan.

Turut hadir bersama dengan keluarga mendiang Chandrasekar dalam aksi protes pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Masalah di sini adalah rumah ini masih didiami oleh keluarga Chandrasekar, ibu kepada Chandrasekar dan 3 orang anaknya. Isterinya sedang bekerja di Singapura. Baki pinjamannya tidak banyak, lebih kurang RM45,000 sahaja. Jika mereka mendapat surat kuasa daripada Pejabat Daerah dan Tanah, mereka mungkin boleh mengeluarkan wang daripada akaun KWSP Chandrasekar untuk membayar separuh atau lebih daripada jumlah itu. Tetapi bank tidak mahu menunggu, dan berdegil untuk meneruskan dengan proses lelong rumah,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj semasa protes.

“Saya telah membawa keluarga ini untuk berjumpa dengan pihak Bank OCBC di Ipoh pada 5 April 2021. Kami telah menyatakan situasi keluarga ini. Mereka sudah memohon dengan Pejabat Daerah dan Tanah untuk surat kuasa dan sedang menunggu. Buat masa ini, mereka bersedia untuk membayar RM500 sebulan. Namun, pihak bank enggan menerima dan masih mahu meneruskan dengan pelelongan pada hari Rabu depan,” ulas Dr. Jeyakumar. “Jika pelelongan berlaku, keluarga ini akan kehilangan tempat tinggal!”

“Kami cuba hubungi pihak bank tetapi tidak dapat dihubungi. Kami pergi ke pejabat Bank OCBC di Ipoh, tetapi tidak dilayan. Oleh sebab itu, kami datang ke sini (ibupejabat Bank OCBC) untuk berjumpa dengan pihak pengurusan tinggi bank yang boleh menangguhkan pelelongan,” kata Dr. Jeyakumar lagi. “Pihak bank harus berprihatin sedikit. Jangalah kejam seperti ini. Dalam kes ini, bukannya peminjam tidak mahu membayar balik hutang. Mereka boleh bayar, hanya bank perlu memberi kelonggaran sedikit. Tetapi pihak bank enggan berbincang langsung dengan mereka. Untuk pinjaman dalam jumlah besar berjuta-juta ringgit yang diambil oleh golongan jutawan, pihak bank boleh berdialog dan memberi haircut (diskaun untuk pembayaran balik hutang), tetapi untuk orang biasa, pihak bank bertindak keras dan tidak berperikemanusiaan. Ini tidak boleh diterima.”

Selepas berprotes di hadapan Bank OCBC, keluarga mendiang Chandrasekar dan Dr. Jeyakumar akhirnya dapat berjumpa dengan pegawai-pegawai tinggi daripada beberapa jabatan yang berlainan untuk membincangkan masalah mereka. Hasil daripada rundingan tersebut, proses pelelongan rumah Chandrasekar telah diberhentikan. Keluarga mendiang Chandrasekar juga bersetuju untuk membayar RM500 sebulan dalam beberapa bulan akan datang sementara menunggu surat kuasa daripada Pejabat Daerah dan Tanah untuk pengurusan perkara berkaitan pinjaman bank ini selanjutnya.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *