Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluranĀ Telegram PSM.

==========

oleh A. Sivarajan

Kenapa Kerajaan Negeri Selangor masih berlengah-lengah dalam mengambil tindakan merampas tanah daripada pemilik tanah ladang dan membela pekerja ladang?

Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh para bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung di Hulu Selangor kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor di Shah Alam pada hari ini (7 April 2021). Pemilik tanah Ladang Bukit Beruntung, iaitu Prospell Enterprise Sdn Bhd (PESB), telah menjanjikan pembinaan perumahan kepada pekerja Ladang Bukit Beruntung pada tahun 1991 dan menandatangani satu perjanjian jual beli dengan pekerja pada tahun 1999. Tetapi projek tersebut sengaja dibiarkan terbengkalai pada tahun 2002, apabila rumah yang dibina untuk pekerja-pekerja ladang itu hampir 80% siap.

Pihak pemilik tanah PESB, walaupun telah diberikan kelulusan tukar syarat tanah daripada pertanian kepada pembangunan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1992, mereka dengan sengaja tidak menyerahkan geran tanah tersebut kepada pentadbir tanah negeri untuk disokong dan ditukar syaratnya. Akibatnya rekod tanah itu dalam sistem daftar tanah negeri kekal statusnya sebagai tanah pertanian. PESB sengaja berbuat demikian untuk mengelakkan daripada membayar cukai tanah tahunan sebanyak lebih daripada RM197,157 setahun (untuk Lot 3406, iaitu tanah yang sepatutnya membina rumah bagi pekerja) kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Selama lebih 20 tahun, PESB hanya membayar cukai tanah pada kadar kategori tanah pertanian, iaitu RM 3,189 setahun sahaja! Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor kehilangan pendapatan cukai tanah daripada PESB sebanyak RM 193,968 setiap tahun. Ini bersamaan dengan sejumlah lebih kurang RM5 juta ringgit sehingga kini. Ini hanya kehilangan hasil daripada satu lot tanah. Terdapat 5 lagi lot dengan keluasan 1,848 ekar!

Sejak tahun 2019, pihak pekerja Ladang Bukit Beruntung dan juga pembeli rumah, telah mengemukakan segala bukti bagaimana PESB menipu Kerajaan Negeri Selangor kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS).

Tetapi pada hari ini, pihak Jawatankuasa Pekerja Ladang Beruntung terperanjat apabila dimaklumkan oleh PTG Selangor di Shah Alam bahawa Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PTDHS) gagal mengemukakan permohonan dan bukti-bukti yang dibawa oleh pihak pekerja kepada PTG Selangor sehingga kini.

Pihak PTG Selangor memaklumkan bahawa PTDHS hanya mengemukakan tuntutan daripada pemilik tanah yang menuntut balik premium tambahan yang dibayar olehnya, dan tidak mengutarakan isu kegagalan pemilik tanah tersebut dalam membayar cukai tanah yang sepatutnya dan juga kehilangan hasil cukai untuk Kerajaan Negeri Selangor yang melebihi RM5 juta itu!

Oleh itu, Jawatankuasa Pekerja Ladang Bukit Beruntung mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengemukakan semula bukti-bukti yang menunjukkan pihak pemilik tanah ladang melanggar syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (pelucuthakan kerana ketiadaan bayaran jumlah wang yang dituntut) dan pelaksanaannya mengikut Seksyen 130 Kanun Tanah Negara (pelucuthakan hendaklah mula berkuatkuasa apabila pemberitahuan dibuat dalam Warta), iaitu kegagalan membayar cukai tanah. Mereka juga mengetengahkan isu kegagalan menyiapkan pembinaan rumah pekerja seperti yang dijanji di atas tanah Lot 3406 yang masih berstatus pertanian itu, satu kesalahan di bawah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara (tanggungan untuk pelucuthakan kerana pelanggaran syarat).

Bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung menyeru kepada PTG Selangor agar mengambil tindakan ke atas kedua-dua kesalahan oleh PESB tersebut yang sudah cukup untuk menyabitkan pemilik tanah dan merampas tanah tersebut daripadanya. Kerajaan Negeri Selangor sememangnya mempunyai kuasa dan pernah merampas tanah daripada pemaju yang gagal membina rumah untuk pembeli sebelum ini.

Jadi, kami berpandangan bahawa setelah penungguan selama 21 tahun ini, selepas naik turun ke semua agensi Kerajaan yang lain, kini penyelesaiannya hanya boleh dicapai dengan perampasan tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung memperolehi rumah yang diidami mereka sejak tahun 1999 itu.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *