oleh Arveent Kathirtchelvan

Sandiwara UMNO terbaharu melihat Pemuda UMNO menentang fakta sejarah mengenai gerakan kiri di Malaya yang melawan penjajahan serta mendahului percubaan pembentukan masyarakat majmuk yang kekal utuh. Kata Ketua Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa penggolongan fakta ini dalam sukatan mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4 adalah mengagung-agungkan pihak komunis. Kenyataan ini menunjukkan bahawa Pemuda UMNO dianggotai dan diketuai oleh individu yang cetek ilmu serta beria-ia ingin menukarkan fakta sejarah untuk mengagung-agungkan UMNO, kroninya dan parti politik sayap kanan yang bermaharajalela atas penderitaan rakyat bawahan.

Pertamanya, gambar-gambar halaman buku teks tersebut menunjukkan sumbangan nasionalis Melayu radikal melalui gerakan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API). PKMM dan API diklasifikasikan sebagai pejuang radikal kerana keberanian mereka menentang pihak British dan kelantangan mereka membangkitkan perasaan anti-British. Apakah salahnya fakta ini? Lebih-lebih lagi, terdapat juga petikan ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang berkata bahawa “sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan”. Adakah saudara Asyraf berasa bahawa Dr. Ismail pun mengagung-agungkan pihak komunis?

Halaman-halaman ini juga menceritakan tentang Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) yang berjuang menentang penjajah Jepun. Mungkin saudara Asyraf terlalu muda untuk melalui keperitan hidup di bawah rejim penjajah Jepun, tetapi adalah amat senang bagi saudara menelaah balik manuskrip sejarah yang menceritakannya. Adakah mengingat pejuang negara menentang kezaliman penjajah ini suatu aktiviti yang mengagungkan komunis?

Malah juga diceritakan bahawa tentera British melalui Force 136 dan Parti Kuomintang yang sebenarnya bukan komunis tetapi nasionalis Cina yang sebahagiannya membentuk Persatuan Cina Malaysia (MCA). Adakah Asyraf berasa bahawa rakan sepakatnya juga mengagung-agungkan Komunis? Malah diceritakan bahawa tindakan Jepun menentang MPAJA melalui cara memanipulasi beberapa orang Melayu menimbulkan ketegangan kaum selepas itu. Semua ini adalah fakta sejarah yang sahih. Apakah yang mengagungkan komunis sangat?

Sebenarnya yang suka memanipulasi fakta sejarah tidak lain dan tidak bukan UMNO sendiri melalui parasit sebagainya yang menghisap darah rakyat marhaen dengan menakutkan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu melalui retorik anti-komunis. Pejuang-pejuang kemerdekaan berhaluan kiri termasuk Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Ahmad Boestamam kesemuanya bukan sahaja lantang menentang penjajah malah juga menentang kapitalis keparat yang menjadi penyokong tegar malah anggota UMNO sendiri. Parti-parti mereka termasuk PKMM, PAS (yang dahulu), Parti Marhaen dan Parti Rakyat semuanya berusaha untuk pembebasan rakyat daripada penindasan kapitalis.

Di manakah UMNO pada zaman itu? Menurut A.J Stockwell, UMNO bekerjasama dengan penjajah British untuk mengekalkan pengaruh bangsawan Melayu. Tidak hairannya bahawa parti yang ditubuhkan oleh orang Melayu yang berpelajaran Inggeris takut pada kebangkitan rakyat marhaen melalui gerakan kiri di Malaysia mahupun Indonesia. Malah UMNO menggunakan kekhuatiran British terhadap gerakan kiri ini untuk menjadikan dirinya sebagai parti utama dengan menjadi tali barut British sendiri untuk menentang saudara sedarahnya yang merupakan golongan marhaen. Jelas bahawa parti kononnya parti keramat Melayu hanya kelihatan begitu sebab pertolongan orang putih. Keji.

Malah dengan kerjasama British, UMNO melemahkan gerakan kesatuan sekerja di Malaya dan menguatkan posisi majikan yang pada mulanya dilemahkan oleh golongan kiri. Menurut pihak British, UMNO menubuhkan organisasi anti-mogok untuk menguatkan lagi pihak majikan dalam menindas pekerja Malaya. Selepas itu, UMNO mengetuai operasi-operasi menghancurkan pejuang-pejuang kiri di Malaysia.

Kesemua parti kiri dan gerakan kesatuan yang lantang mengetengahkan suara rakyat bawahan dihancurkan melalui akta-akta yang diwujudkan penjajah untuk kegunaan dirinya. Apakah maknanya UMNO mengguna akta yang sama? Tidak lain dan tidak bukan UMNO sendiri menjadi penjajah bangsanya. Dengan penggunaan polis sebagai alat pengekalan kuasa fasisnya, UMNO berjaya melakar sejarah sebagai parti diktator sayap kanan yang wujud untuk menguatkan dirinya serta mengkayakan dirinya.

Apakah legasi UMNO kini? Parti yang melahirkan mahafiraun Mahathir yang mewujudkan neoliberalisme di Malaysia. Parti yang melahirkan Najib yang mencuri berbilion-bilion ringgit. Parti yang mewujudkan dasar ekonomi yang memiskinkan rakyat melalui genangan pertumbuhan pendapatan dan lonjakan pertumbuhan kos sara hidup. Parti yang membuka ruang kepada para kapitalis untuk memeras rakyat sampai 2.2 juta rakyat Malaysia mempunyai pendapatan yang kurang lebih daripada RM1000 berbanding gaji kehidupan wajar mengikut definisi Bank Negara Malaysia. Tambahan pula, 43% isi rumah bandar dan 59% isi rumah luar bandar berpendapatan kurang daripada gaji kehidupan wajar.

Legasi UMNO ialah legasi parti berhaluan kanan yang terpaksa bekerjasama dengan penjajah, parti pengkhianat yang menghancurkan golongan marhaen bangsanya sendiri dan parti tidak tahu malu yang terpaksa menukar fakta sejarah untuk kekal relevan. Kenyataan Pemuda UMNO harus dilihat sebagai suatu percubaan membonsaikan pemikiran rakyat Malaysia supaya UMNO sendiri diagungkan.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s