oleh Gabungan Hak Pekerja Migran untuk Pembelaan (MWR2R)

Gabungan Hak Pekerja Migran untuk Pembelaan(Migrant Workers’ Right to Redress, MWR2R) terus berasa khuatir tentang beberapa perkara yang menjejaskan para warga migran – pekerja migran, pelarian, pencari suaka, dan pasangan bukan warganegara – sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita.

Terdapat dua perkara yang banyak mendapat liputan media. Yang pertama, angka jangkitan COVID-19 yang tinggi dalam kalangan beberapa komuniti migran dan di pusat tahanan. Yang kedua, keadaan tempat tinggal pekerja migran dan kondisi tempat kerja.

 Keadaan buruk yang dihadapi masyarakat migran

i. Kesesakan serius yang melanggar SOP COVID-19 di tempat kerja dan tempat tinggal migran dan pelarian. Keadaan ini sudah lama wujud tanpa pemantauan dan penguatkuasaan piawaian asas.

ii. Pelanggaran undang-undang kerja yang dahsyat untuk beribu-ribu pekerja migran wanita dan lelaki di tempat kerja – masa kerja yang panjang, keadaan kerja yang substandard, gaji tidak dibayar, penghantaran balik ke negara asal secara sewenang-wenangnya, dan ketiadaan hak untuk pembelaan. Keadaan umpama perhambaan zaman moden agak berleluasa.

iii. Penggunaan buruh kanak-kanak yang berkemungkinan berleluasa seperti yang didapati dalam serbuan baru-baru ini ke atas sebuah kilang di Klang yang menggajikan 38 orang kanak-kanak pelarian.

iv. Kekurangan informasi tentang keadaan di pusat-pusat tahanan. Ini membimbangkan semua penduduk Malaysia memandangkan COVID-19 merebak dan melarat di pusat tahanan.

v. Ketiadaan hak untuk pembelaan bagi mereka yang terjejas akibat penutupan kilang, kelewatan dalam pembaharuan permit dan visa, program rekalibrasi, dan penghantaran balik ke negara asal secara sewenang-wenangnya. Kesemua ini menjejaskan kehidupan mereka yang terbabit secara dramatik dan negatif.

Layanan buruk yang diberikan kepada pekerja migran, pelarian, pencari suaka dan pasangan bukan warganegara oleh kerajaan, majikan, kontraktor buruh dan agen menunjukkan sikap tidak menghargai sumbangan mereka kepada negara kita, dan sikap tidak menghormati prinsip-prinsip asas berkaitan dengan “kedaulatan undang-undang” (rule of law). MWR2R sudah lama membangkitkan isu ketiadaan hak untuk pembelaan bagi mereka yang terjejas. Malangnya pandemik COVID-19 menyebabkan layanan terhadap warga migran oleh majikan dan Jabatan Imigresen bertambah buruk.

Laporan Jawatankuasa Bebas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing mengandungi cadangan penyelesaian

Sebenarnya, penyelesaian kepada isu-isu ini sudah lama dikenalpasti dan sedia untuk diterima pakai dan dikuatkuasakan. Tetapi ini hanya akan berlaku sekiranya kerajaan memberi keutamaan kepada kepentingan dan maruah semua orang dan negara, dan bukan sahaja kepada keuntungan persendirian untuk segelintir pihak. Banyak cadangan penyelesaian terdapat dalam Laporan Jawatankuasa Bebas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing, yang diperolehi Kabinet untuk hampir dua tahun. Kami mengulangi gesaan kami agar laporan ini diedar kepada masyarakat umum dan diterima pakai. Kami juga ingin menarik perhatian kerajaan kepada cadangan-cadangan dalam laporan MWR2R, bertajuk “Menuju Dasar Nasional yang Menyeluruh tentang Migrasi Buruh untuk Malaysia” (Towards a Comprehensive National Policy on Labour Migration in Malaysia).

Gabungan MWR2R menyeru kepada kerajaan untuk mengambil berat dan menangani isu-isu yang wujud dengan serius dan segera berdasarkan laporan-laporan yang sedia ada.

Langkah-langkah yang diharus diambil oleh kerajaan

Kami ingin memohon pada kerajaan supaya:

  1. Memperuntukkan sumber yang mencukupi kepada Pejabat Buruh untuk mengendalikan tugas pemantauan keadaan di tempat kerja dan penguatkuasaan secara lebih berkesan, contohnya dengan menambah jumlah inspektor tempat kerja.
  2. Membenarkan akses bebas ke pusat-pusat penahanan untuk memastikan SOP dipatuhi, dan semua proses diikuti dalam perkara penahanan warga asing.
  3. Membekalkan maklumat terkini kepada masyarakat umum mengenai bilangan serbuan yang dibuat, jumlah orang yang ditahan, jumlah yang didakwa, bilangan majikan yang didakwa dan lain-lain. Ketelusan adalah asas untuk tindakan yang berkesan.
  4. Memastikan semua golongan di Malaysia mendapat akses dalam program pemvaksinan COVID-19. Ini termasuklah semua warga migran seperti pekerja migran dengan dokumen, pekerja migran tanpa dokumen, pekerja domestik, komuniti pelarian, pasangan bukan warganegara, dan penduduk tanpa kewarganegaraan. Hanya pendekatan ini boleh bantu mencapai tujuan membasmi COVID-19 secara efektif.

Kami ingin memohon perjumpaan dengan kementerian-kementerian yang terbabit, iaitu Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kesihatan untuk berbincang rancangan menangani isu-isu yang kami bangkitkan. Khususnya kami ingin tahu apakah antara cadangan Laporan Jawatankuasa Bebas yang akan diimplementasikan dan jangka masanya.

=========

Gabungan Hak Pekerja Migran untuk Pembelaan atau Migrant Workers’ Right to Redress (MWR2R) ialah satu usahasama yang terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti-komuniti migran yang prihatin pada isu masyarakat migran mengakses keadilan di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *