oleh S. Arutchelvan

Demokrat-Republikan

Saya tidak teruja apabila Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat. Perasaan teruja dan keseronokan itu tiada. Ini bukan disebabkan oleh pandemik COVID-19 tetapi memang perasaan saya begitu. Mungkin saya sedikit teruja apabila Obama menjadi Presiden dulu, kerana beliau adalah Presiden Kulit Hitam pertama dalam sejarah Amerika Syarikat. Tetapi apabila melihat tindak tanduknya pergi berperang di Libya untuk Perubahan Rejim (Regime Change), maka tindakannya tidak banyak berbeza berbanding Presiden Bush sebelumnya daripada Parti Republik yang pergi berperang di Afghanistan dan Iraq. Biar Parti Demokrat atau Parti Republikan, dasar mereka hampir sama. Ini tidak menghairankan, memandangkan mereka ditaja oleh kelas yang sama.

Kuasa pemerintah tetap berada dalam tangan golongan yang mengelolakan parti-parti besar ini, iaitu kapitalis-kapitalis yang kaya. Maka tidak ada apa yang seronok sangat dengan peralihan kuasa antara dua puak yang mendukung sistem kapitalisme neoliberal yang sama. Mungkin kita lebih seronok melihat Bangunan Kapitol diserbu ribuan penyokong puak kanan yang pro-Trump, kerana aksi tersebut dapat membogelkan Amerika Syarikat di hadapan mata dunia mengenai sistem dua darjat yang diamalkan oleh pasukan keselamatan Amerika Syarikat apabila berdepan dengan perhimpunan orang kulit hitam dan orang kulit putih. Ia turut mendedahkan bahawa begitu rapuhnya sistem demokrasi Amerika Syarikat yang sebelum ini digendangkan oleh mereka sebagai “demokrasi terulung di dunia”.

PH-PN

Perasaaan tidak teruja itu samalah semasa apabila Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin mengambilalih kuasa daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir Mohamad. Tidak ada apa-apa yang seronok. Yang seronok hanyalah melihat media berhimpun di hadapan pintu Istana Negara, sedangkan realitinya, tiada apa yang seronok sangat. Mungkin saya sedikit teruja apabila PH mengambilalih kuasa selepas 60 tahun UMNO memerintah, namun keseronokan itu semakin hari semakin terkikis apabila Kerajaan PH nampaknya tidak banyak membawa perubahan dasar berbanding dengan kerajaan sebelumnya, dan amat perlahan sekali dalam melakukan pembaharuan. Setelah melihat pentadbiran Kerajaan PH selama 22 bulan yang sepatutnya membawa harapan baru tetapi hanya memberikan harapan kosong, maka tidak ada apa-apa yang seronok apabila wujud pertukaran kerajaan sekali lagi.

Maka saya tidak teruja apabila Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau mempunyai angka yang cukup untuk memerintah, ataupun apabila Shafie Apdal berkata bahawa beliau mempunyai sokongan yang cukup untuk menjadi Perdana Menteri. Saya juga memang tidak teruja apabila Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga. Semua angka-angka yang ditonjolkan mereka langsung tidak membuat saya seronok. Sebaliknya, angka-angka yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah, adalah lebih mencemaskan apabila setiap kali diumumkan.

Demokrasi – Wang-Kuasa

Mungkin saya akan teruja dan seronok jika orang seperti Bernie Sanders menjadi Presiden Amerika Syarikat. Memandangkan kempen pilihanrayanya dikelola secara langsung oleh rakyat biasa dan bukan korporat. Mungkin beliau akan membawa idea-idea baru yang akan membantu rakyat majoriti kaum pekerja keluar daripada belenggu kemiskinan. Namun, adalah amat mustahil untuk individu yang tiada duit untuk menang pilihanraya, kerana pilihanraya adalah pertandingan antara tauke-tauke besar.

Dalam erti kata yang sama, apabila orang bertanya mengapa parti yang berprinsip seperti PSM sukar untuk menang PRU, jawapannya adalah sama. PSM bukannya dikelola oleh tauke-tauke besar yang menyumbang kepada proses berkempen dan membeli undi. PRU ini adalah perlumbaan atau pertandingan antara dua parti terkaya dan penaja mereka.

Selagi rakyat terperangkap dengan struktur demokrasi dan politik wang ini, politik hanyalah permainan untuk pihak yang menguasai parti tidak kira Demokrat atau Republikan. Walaupun Trump seorang billionaire, namun beliau mendapat sokongan yang begitu besar dalam kalangan kaum pekerja. Akan tetapi, kaum yang memerintah tetap puak kapitalis yang mendukung parti-parti ini. Rakyat di Amerika Syarikat diberikan pilihan antara Coke dan Pepsi. Oleh itu, rakyat hanya dapat menukar selera, tetapi bukan taukenya.

Adakah ini bermakna perubahan tidak akan berlaku? Hari ini pandemik COVID-19 telah mencabar idea pemikiran kita. Perubahan iklim adalah satu lagi ancaman kepada cara dunia ditadbir selama ini. Namun, perubahan hanya boleh berlaku apabila wujudnya gelombang keradikalan rakyat yang hebat, iaitu apabila sistem yang lama dikuburkan oleh sistem yang baru, apabila parti yang didukung dan ditaja oleh rakyat biasa dapat menumpaskan parti yang didukung oleh kelas kapitalis dan mahakaya. Dunia kita pernah menyaksikan sistem perhambaan dan sistem feudal dikuburkan, pernah menyaksikan empayar-empayar besar jatuh di bawah kebangkitan kuasa rakyat. Ini adalah masa-masa yang penuh dengan keseronokan kepada golongan rakyat terbanyak di dunia.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Tolak politik elit, bina Kuasa Ketiga. Sertai PSM dengan mengisi boring keahlian atas talian: https://form.jotform.com/200491710201034. Anda boleh mengikuti kami di laman web rasmi PSM https://partisosialis.org atau https://sosialis.net.

One thought on “Tidak teruja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *