SHAH ALAM: Pengusaha-pengusaha tapak semaian (nurseri) di Sungai Buloh, Selangor, menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Selangor pada 10 Disember 2020, dengan tuntutan pada pihak Kerajaan Negeri Selangor supaya jangan mengusir pengusaha-pengusaha tapak semaian di situ dan menunaikan janji menempatkan semula mereka.

Turut hadir bersama dengan pengusaha-pengusaha tapak semaian Sungai Buloh yang menganggotai Persatuan Pengusaha Nurseri dan Lanskap Selangor dan Kuala Lumpur semasa menyerahkan memorandum di Pejabat Menteri Besar, ialah A. Sivarajan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pengusaha-pengusaha tapak semaian di Sungai Buloh yang telah menjalankan perniagaan tapak semaian dan lanskap selama 30 tahun yang lalu, kini sedang diancam pengusiran keluar dari lokasi sekarang yang terletak di sepanjang laluan Jalan Sungai Buloh-Shah Alam kerana pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), pembesaran Jalan Sungai Buloh- Shah Alam dan kerja penyelenggaraan paip air bawah tanah. 

Pengusaha-pengusaha tapak semaian di Sungai Buloh kecewa dengan pengusiran yang dihadapi mereka, kerana sebelum ini, dari tahun 1999 hingga 2008, mereka pernah beroperasi di bawah nanguan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Dalam erti kata lain, operasi perniagaan pengusaha-pengusaha tapak semaian ini mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor. PKPS mengutip sewa RM800 sebulan daripada pengusaha-pengusaha tapak semaian, tetapi kutipan sewa diberhentikan sejak tahun 2008. Mereka juga mendapat lesen untuk beroperasi oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Walaupun pengusaha-pengusaha telah berniaga secara sah dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, tetapi sekarang ini mereka dianggap sebagai penceroboh oleh Kerajaan Negeri Selangor dan menghadapi nasib diusir begitu sahaja pada masa kini.

Pengusaha-pengusaha yang terjejas oleh pengusiran ini, pernah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memohon lesen pendudukan sementara (TOL) tetapi ditolak oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling. Permohonan PKPS Lanscaping Services Sdn Bhd (PLSSB), sebuah anak syarikat kepada PKPS, untuk memperbaharui TOL pada bulan Oktober 2008 juga tidak berjaya.

Berikutan kegagalan PKPS untuk mendapatkan lesen, Yayasan Selangor telah cuba untuk mengambilalih pengurusan tapak semaian ini, tetapi dengan sewa yang tinggi. Perancangan tersebut juga dibatalkan kemudian oleh Yayasan Selangor sendiri. Pengusaha-pengusaha tapak semaian tertanya-tanya, kenapa mereka dimangsakan sekarang kerana kegagalan Kerajaan Negeri Selangor dan agensi-agensi di bawahnya dalam menguruskan dan membenarkan mereka untuk terus berniaga di lokasi itu. Pengusaha-pengusaha ini menyatakan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama, tetapi Kerajaan Negeri perlu menawarkan satu perancangan untuk supaya mereka terus membayar sewa yang munasabah dan meneruskan perniagaan mereka.

Dalam sepucuk surat yang bertarikh 26 September 2012, adalah dinyatakan bahawa Menteri Besar Selangor pada masa itu telah bersetuju dengan cadangan Pejabat Tanah dan Galian Selangor agar cadangan projek pembangunan di tanah milik Lembaga Getah Malaysia dimasukkan sekali keperluan penyediaan tapak semaian berpusat (Hab Nurseri) sebagai salah satu syarat pembangunan. Namun, timbulnya persoalan sama ada pembangunan di tanah Lembaga Getah Malaysia RRIM itu telah disyaratkan sedemikian atau tidak. “Jika ya, kenapa kami tidak ditempatkan terus ke RRIM dan kini sedang mengalami pengusiran?” tanya pengusaha-pengusaha tapak semaian Sungai Buloh.

 “Kami amat kecewa dengan pengusaha-pengusaha nurseri yang terkenal ini dibiarkan dan dilepas tangan begitu sahaja oleh pihak kerajaan, malah diusir tanpa diberi apa-apa penyelesaian yang munasabah,” kata A. Sivarajan dalam sidang akhbar semasa penyerahan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Selangor. “Kami tidak dapat terima pengusaha-pengusaha nurseri ini dilayan sebagai ‘penceroboh’.”

Selain masalah tidak ditawarkan pemindahan ke tempat yang dijanjikan dahulu, pengusaha-pengusaha tapak semaian Sungai Buloh juga membangkitkan persoalan kenapa mereka diarahkan untuk berpindah ke lokasi yang tidak sesuai. Sebahagian pengusaha tapak semaian diarahkan untuk berpindah ke tanah Kerajaan Negeri Selangor di kawasan Bukit Cherakah Puncak Alam, dan sebahagian lagi diarah berpindah ke HICOM Seksyen 28 Shah Alam. Pengusaha-pengusaha tapak semaian menolak pemindahan interim yang memindahkan mereka secara berasingan dan berselerak ke lokasi yang tidak sesuai untuk meneruskan perusahaan mereka, kerana pemindahan interim sebegini merupakan satu langkah untuk “membunuh” bisnes mereka. Mereka sudah pasti tidak akan dapat meneruskan perniagaan di lokasi tersebut. Oleh itu, pengusaha-pengusaha tapak semaian Sungai Buloh menyeru supaya menyediakan tempat di tanah Lembaga Getah Malaysia seperti yang dijanji dahulu dan terus memindahkan mereka ke situ.

Kawasan Greenlane Sungai Buloh amat terkenal di seluruh Malaysia sebagai kawasan perniagaan tapak semaian dan lanskap sejak beberapa dekad yang lalu. Pengusaha-pengusaha di sini juga menerima kunjungan daripada pelancong luar negara kerana lokasi Greenlane di sepanjang jalan Sungai Buloh-Shah Alam ini terkenal sebagai pusat perlancongan dengan pelbagai pokok bunga dan produk landskap. Oleh itu, timbulnya persoalan adakah Kerajaan Negeri Selangor mahu memadamkan sejarah di tempat ini yang terkenal sebagai hab nurseri? Bukankah mengekalkan perusahaan mereka ini akan menyumbang kepada aktiviti perlancongan dan ekonomi Negeri Selangor?

Adakah Kerajaan Negeri Selangor ingin menghapuskan lokasi sejarah ini? Tidakkah ianya akan menyumbang kepada aktiviti perlancongan dan ekonomi Negeri Selangor?

Pengusaha-pengusaha tapak semaian Sungai Buloh menyeru pada Menteri Besar Selangor untuk mencampurtangan dalam isu ini, termasuk mengadakan satu perbincangan bersama antara Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Lembaga Getah Malaysia dan KWASA Land dengan wakil daripada pengusaha-pengusaha tapak semaian Sungai Buloh, supaya mencari dan menetapkan satu penyelesaian yang dipersetujui oleh semua pihak.

Pengusaha-pengusaha tapak semaian Sungai Buloh menegaskan tuntutan mereka, iaitu:

  • Menolak pemindahan ke mana-mana lokasi interim yang tidak praktikal yang hanya akan membunuh bisnes pengusaha-pengusaha yang sedia ada.
  • Memindah pengusaha-pengusaha terus ke lokasi yang sesuai di tanah Lembaga Getah Malaysia yang akan diperuntukkan sebagai hab nurseri selangor. Mereka bersedia membayar sewa yang munasabah kepada mana-mana agensi Kerajaan Negeri Selangor yang akan menguruskan hab nurseri Selangor ini di Tanah Lembaga Getah Malaysia.

One thought on “Pengusaha tapak semaian Sungai Buloh hadapi pengusiran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *