SUNGAI BULOH, SELANGOR – 23 DISEMBER 2020: Pengusaha-pengusaha tapak semaian (nurseri) di Sungai Buloh, Selangor, menyerahkan satu memorandum yang ditujukan kepada Michael Yam selaku Pengerusi Kwasa Land Sdn Bhd pada hari ini di ibupejabat Kwasa Land, dengan tuntutan supaya menunaikan janji untuk penempatan semula pengusah-pengusaha nurseri di tapak tanah Lembaga Getah Malaysia yang dibangunkan oleh Kwasa Land.  

Turut hadir bersama dengan pengusaha-pengusaha nurseri Sungai Buloh semasa penyerahan memorandum ialah A. Sivarajan selaku Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pengusaha-pengusaha nurseri di Sungai Buloh telah mengusahakan perniagaan nurseri dan lanskap mereka sejak tahun 1990-an, tetapi kini diancam pengusiran keluar dari lokasi perusahaan mereka di sepanjang Jalan Sungai Buloh-Shah Alam kerana pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), pembesaran Jalan Sungai Buloh- Shah Alam dan kerja penyelenggaraan paip air bawah tanah untuk projek pembangunan di bawah Kwasa Land. 

Kawasan Greenlane Sungai Buloh amat terkenal di seluruh Malaysia sebagai kawasan perniagaan nurseri dan lanskap sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Pengusaha-pengusaha tapak semaian di Sungai Buloh juga menerima kunjungan daripada pelancong-pelancong luar negara kerana lokasi Greenlane yang terletak sepanjang Jalan Sungai Buloh-Shah Alam ini turut terkenal sebagai pusat pelancongan dengan pelbagai pokok bunga dan produk lanskap yang menarik.

Pengusaha-pengusaha nurseri ini pernah diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Selangor dari tahun 1999 hingga 2008, di mana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengutip sewa RM800 sebulan daripada para pengusaha. Pengusaha-pengusaha nurseri ini mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk beroperasi di situ. Namun, PKPS memberhentikan kutipan sewa sekitar tahun 2008, dan pengusaha-pengusaha nurseri ini dibiarkan begitu sahaja malah diancam dengan pengusiran paksa pada masa kini.

Dalam satu surat yang bertarikh 26 September 2021, Menteri Besar Negeri Selangor pada masa itu telah bersetuju dengan cadangan Pejabat Tanah dan Galian Selangor agar cadangan projek pembangunan di tanah milik Lembaga Getah Malaysia dimasukkan sekali keperluan penyediaan tapak nurseri berpusat (Hab Nurseri) sebagai salah satu syarat pembangunan. Namun, status mengenai penetapan syarat tersebut adalah tidak jelas sehingga kini. “Jika ya (terdapat syarat untuk memasukkan penyediaan tapak nurseri berpusat), kenapa kami tidak ditempatkan terus ke tanah RRIM Lembaga Getah Malaysia dan terpaksa berdepan dengan pengusiran sekarang ini? Jika tidak, pihak manakah yang telah mengetepikan cadangan yang disokong oleh Menteri Besar Selangor pada tahun 2012 dan kenapa begitu?” Tanya pengusaha-pengusaha nurseri Sungai Buloh dalam memorandum mereka.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada syarikat pemaju Kwasa Land, pengusaha-pengusaha nurseri Sungai Buloh menggesa Michael Yam selaku Pengerusi Kwasa Land supaya mencampurtangan segera dalam isu ini, dan mengaturkan perbincangan bersama dengan pihak-pihak seperti Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Lembaga Getah Malaysia, serta wakil daripada pengusaha-pengusaha nurseri Sungai Buloh, demi mencari dan menetapkan satu penyelesaian yang dapat dipersetujui oleh semua pihak.

“Kwasa Land sebagai pemaju hartanah bercampur yang dikatakan mementingkan konsep ‘hijau’, maka adalah wajar bagi Kwasa Land untuk memperuntukkan lot tanah yang mencukupi untuk Hab Nurseri di Sungai Buloh,” begitu katanya pengusaha-pengusaha nurseri Sungai Buloh dalam memorandum mereka kepada Kwasa Land.

Sebelum ini, pengusaha-pengusaha nurseri Sungai Buloh telah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Selangor pada 10 Disember 2020, dengan menyatakan hasrat mereka untuk ditempatkan semula di tanah Lembaga Getah Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *