oleh Karthiges Rajamanickam

Walaupun Belanjawan Persekutuan 2021 menyatakan bahawa akan memberi perhatian kepada pemilikan rumah untuk golongan B40, tetapi ia hanya berupa retorik dan gagal menangani masalah asas perumahan yang dihadapi oleh golongan rakyat pekerja B40.

Antara peruntukan perumahan yang dinyatakan dalam Belanjawan 2021 ialah :

  1. RM500 juta untuk membina sehingga 14 ribu unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR);
  2. RM315 juta untuk pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB);
  3. RM125 juta bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan rumah yang mengalami kerosakan akibat bencana alam; dan
  4. RM310 juta untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia.

Harga rumah

Pada ketika kita mengalu-alukan usaha pengagihan lebih RM1 billion untuk perumahan rakyat, kami di Parti Sosialis Malaysia (PSM) melihat isu perumahan yang membebankan rakyat semasa pandemik bukannya pemilikan rumah semata-mata tetapi juga melibatkan aspek seperti mengurangkan beban untuk perumahan, termasuk pembayaran balik pinjaman bank, campurtangan kerajaan untuk menghentikan pengusiran paksa rumah sewa, Skim Rumah Sewa Beli dan pengawalan harga rumah. Selain itu, persoalannya juga adalah adakah peruntukan membina hanya 14,000 unit rumah mencukupi  untuk menampung keperluan populasi B40 di seluruh negara yang memerlukan rumah?

Kerajaan masih tidak memahami bahawa isu pokok perumahan di Malaysia ialah harga rumah yang sangat tinggi dan tidak mencerminkan tahap gaji rakyat biasa. Berapakah harga rumah PR1MA yang ditawarkan dalam skim sewa beli? Adakah seorang pekerja biasa dengan gaji minimum RM1,200 sebulan boleh membeli rumah tersebut? Pihak bank menetapkan 1/3 daripada gaji sebagai nilai yang boleh dibayar pinjaman perumahan. Maksudnya untuk pekerja B40, bolehkah mereka mendapat sebuah rumah yang memerlukan mereka untuk membayar hanya RM400 sebulan (1/3 gaji minimum)? Bukankah ini satu skandal yang menyerang kaum pekerja kita?

Kawalan sewa

Sekiranya seorang rakyat biasa Malaysia tidak mahu memiliki rumah, apakah pilihan yang dia ada? Adakah dia boleh menyewa rumah milik kerajaan? Jika ke pasaran, adakah kerajaan mengawal harga sewa swasta pada masa kini? Kita tidak lagi mempunyai Akta Kawalan Sewa yang dimansuhkan kerana tidak menyebelahi kaum pemodal / pemilik rumah. Pengusiran berlaku terutamanya pada ketika krisis ini, tetapi malangnya kerajaan gagal membawa satu usaha untuk membantu penyewa swasta ini.

Kekurangan pembinaan rumah yang dirancang

Siapakah yang membina rumah-rumah kerajaan ini? Adakah mereka diberi tender umum atau kroni yang mendapat kontrak-kontrak ini? Jika kita melihat tahun-tahun sebelum ini, kelewatan pembinaan perumahan rakyat merupakan satu isu yang sangat penting dan selalunya dituduh sebagai skandal. Namun, kerajaan tidak pernah memandang serius perkara ini dan setiap tahun mengumumkan ribuan rumah rakyat akan dibina. Apakah yang terjadi kepada ketirisan akibat kegagalan kontraktor kerajaan membina rumah pada masa yang ditetapkan? Kerajaan Najib telah membelanjakan RM8 billion untuk projek PR1MA sejak dimulakan pada tahun 2013, tetapi hanya 1.6 peratus atau 16,682 unit rumah PR1MA sahaja yang telah dibina setakat tahun 2018. Kemudiannya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula menambah RM1.5 billion pada tahun 2018 untuk perumahan rakyat termasuk PR1MA. Tetapi, kekurangan perumahan rakyat adalah satu masalah utama yang masih dibahaskan sehingga sekarang. Jelasnya, kepincangan dalam sistem kontraktor adalah antara punca utama yang mengagalkan perumahan rakyat. Namun, Belanjawan ini gagal menekan isu tersebut.

Sewa PPR

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pernah mengugut untuk melakukan pengusiran paksa terhadap penghuni PPR yang gagal membayar sewa dan mengancam untuk menyenaraihitamkan mereka di bawah Agensi Pelaporan Kredit (CRA), termasuk CTOS. Kerajaan juga pernah memberi cadangan untuk mengimplimentasi Akta 757 yang membolehkan pengurusan sesebuah rumah strata untuk memasukkan cukai tanah dan insurans dalam caj penyelenggaraan serta membolehkan pemilik yang tidak membayar sewa dalam tempoh 12 bulan dikenakan faedah. Mengapakah masalah mereka yang tidak mampu bayar sewa PPR kerajaan tidak dibawa dalam Belanjawan ini?

Perumahan pekerja migran

Perumahan untuk pekerja migran dan pelarian adalah tanggungjawab kita dalam erti kata kemanusiaan. Malangnya, seringkali perkhidmatan perumahan untuk mereka tidak pernah dititikberatkan malah diabaikan oleh majikan mahupun kerajaan. Pekerja migran dihimpit beramai-ramai di rumah kedai dan kini pula ada usaha untuk menghalau mereka keluar dari rumah sewa PPR.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menekankan bahawa Kerajaan Malaysia perlu mengambil beberapa langkah drastik untuk membantu rakyat dalam isu perumahan ini, antaranya:

1.  Kawal harga rumah yang melambung tinggi

  • Wujudkan perumahan yang mampu milik /mampu sewa untuk semua.

2. Bina lebih banyak rumah majlis (council housing) dan sewakan kepada rakyat yang tidak mampu untuk bayar dengan harga biasa.

3. Hentikan pengusiran paksa

  • Kerajaan harus menghentikan pengusiran rakyat keluar dari rumah kediaman mereka. Sediakan tribunal untuk membantu rakyat yang diancam pengusiran dari rumah sewa swasta, termasuk memberi subsidi kepada pemilik rumah.
  • Wujudkan semula Akta Kawalan Sewa (Rent Control Act).
  • Hentikan lelong rumah rakyat yang gagal membayar balik pinjaman perumahan. Pembeli rumah harus ditawarkan penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman yang lebih fleksibel (iaitu kurang daripada yang dibayar sebelum ini) untuk satu tahun sekurang-kurangnya.
  • Hapuskira hutang tunggakan sewa Projek Perumahan Awam di negara ini yang dilaporkan mencecah lebih RM58 juta, sebagai usaha membantu rakyat marhaen yang terhimpit semasa pandemik COVID-19.

4. Lanjutkan moratorium bersasar pinjaman bank untuk perumahan sehingga pandemik COVID-19 berakhir sepenuhnya.

5.  Iktiraf pekerja migran dan membantu masyarakat pelarian

  • Sediakan skim perumahan mampu sewa untuk pekerja migran dan pelarian.
  • Jangan melakukan pengusiran paksa terhadap pekerja migran / pelarian yang tinggal di PPR dan sediakan perumahan alternatif untuk mereka.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Perumahan PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *