oleh M. Sarasvathy

Beberapa orang pekerja pembersihan di Hospital Bukit Mertajam tidak dikuarantin selepas menjalani ujian swab COVID-19, sebaliknya diarahkan oleh pihak majikan Edgenta UEMS (UEMS) untuk bekerja seperti biasa dengan pekerja-pekerja lain. Kesihatan dan keselamatan pekerja pembersihan terus diabaikan dan UEMS bersikap tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja.

Pada 11 November 2020, semua petugas kesihatan, termasuk beberapa orang pekerja pembersihan di dalam bangunan Wad 8, Wad 9, Wad 10 dan Wad 11, Hospital Bukit Mertajam, telah diarahkan untuk menjalani ujian swab COVID-19 disebabkan seorang pesakit didapati positif COVID-19. Susulan daripada itu, petugas-petugas kesihatan yang berkenaan dikuarantin selama 3 hari KECUALI pekerja pembersihan yang terlibat. Pekerja-pekerja pembersihan tersebut diarahkan oleh pihak UEMS untuk bekerja seperti biasa dan tidak dikuarantin. Kenapa wujudnya diskriminasi sebegini dan pekerja pembersihan selalunya dipinggirkan?

Mengikut prosedur biasa, sesiapa yang menjalani ujian swab COVID-19 haruslah dikuarantin selama 3 hari sebelum mendapat keputusan ujian. Dan di Hospital Bukit Mertajam, pekerja pembersihan yang terlibat dalam ujian swab COVID-19 pada 11 November 2020 seharusnya dikuarantin bersama-sama dengan petugas-petugas kesihatan yang lain.

UEMS bersikap tidak bertanggungjawab dan bertindak sambil lewa terhadap pekerja pembersihan yang juga merupakan sbarisan hadapan (frontliner) yang turut bersusah-payah dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 serta berdepan dengan risiko yang tinggi dalam melandaikan lengkung COVID-19 ( flattening the curve).

UEMS seharusnya memberikan lebih perlindungan dan mengetatkan lagi keselamatan pekerja-pekerja pembersihan semasa gelombang ketiga penularan wabak COVID-19 yang lebih mencabar ini. UEMS juga harus memastikan pekerja-pekerja dikuarantin mengikut prosedur yang ditetapkan setelah menjalani ujian swab COVID-19 demi menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja.

Justeru, Kesatuan memandang sangat serius mengenai kelalaian dan sikap UEMS yang sengaja mengabaikan kesihatan pekerja-pekerja dan tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan pekerja serta menyebabkan pekerja-pekerja terdedah kepada risiko yang lebih tinggi dalam keadaan wabak COVID-19 yang semakin serius pada masa kini.

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) berharap UEMS akan memastikan pekerja-pekerja yang terlibat dalam ujian swab COVID-19 di Hospital Bukit Mertajam dikuarantin bagi menjamin keselamatan mereka dan juga pekerja-pekerja lain.

Kesatuan juga berharap pihak UEMS akan memberikan perhatian yang lebih serius dan bersikap lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan dan perlindungan pekerja-pekerja pembersihan di semua hospital di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, lebih-lebih lagi semasa penularan wabak COVID-19 ini.

==========

M. Sarasvathy ialah Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *