oleh Nik Aziz Afiq bin Abdul

Politik bukan lagi seni pentadbiran. Ia seni pembohongan. Tugas ahli politik kini adalah mencari jalan terbaik untuk berbohong kepada rakyat dengan pelbagai kaedah sehingga penipuan itu menjadi satu penerimaan. Semakin licik seorang penipu itu, semakin lamalah hayatnya dalam dunia politik negara kita.

Tidak perlu pergi terlalu jauh ke belakang untuk mengingati pembohongan yang berlaku. Masih ingat adegan sekumpulan orang berkumpul untuk “Selamatkan Malaysia”? Ya, tak siapa sangka, musuh ketat puluhan tahun saling berdakapan demi tumbangkan bekas rakan. Ditambah rencah air mata sedikit dengan slogan “atuk nak baiki kesilapan lalu”, jabat tangan di mahkamah dan anggap semua ini “luka kecil perjuangan”. Ada yang tanpa malu mengatakan ini sebagai “United Front” demi menipu golongan haluan kiri.

Adegan pertama disusuli dengan ketika mereka menjadi kerajaan. Tiba-tiba manifesto bukan kitab suci, hari-hari bertekak apabila nak berlaku peralihan kuasa yang disepakati. Masing-masing berkungfu lagi menunjukkan kehandalan dalam gelanggang menipu itu.

Akhirnya, pusingan pertama dalam perlawanan tinju ini dimenangi sekumpulan penipu handal. Mereka bukan setakat tipu rakyat, mereka tipu sesama mereka! Kelas A punya penipu! Mereka buat pakatan sulit, bersama orang yang mereka panggil penipu, perompak, penyamun negara waktu mereka jadi pembangkang dulu. Tertubuhlah sebuah kerajaan baru yang menjadi kerajaan “kabinet terbesar” dunia (walaupun majoriti terkecil dalam sejarah) demi memastikan tiap penipu terlibat dapat habuan masing-masing. Kalau tak beri habuan, nanti penipu ini menipu mereka pula.

Seperti semua juga jangka, drama ini belum berkesudahan, tinju masih banyak pusingan. Penipu yang tertipu sebelum ini tampil membawa penipuan yang lebih canggih. Kerajaan yang sememangnya goyah dengan majoriti beberapa kerusi semakin kelam kabut. Kali ini level penipuan semakin dahsyat, semakin tak masuk akal, semakin tak terbaca. Semua tertanya-tanya “siapa dengan siapa”. Ia bukan tugas mudah mahu meneka memandangkan semuanya itu penipu yang berkaliber belaka.

Terkini, satu lagi jurus penipuan sedang diatur. Negara mahu diisytihar darurat. Nak bagi penipuan ini terlihat canggih, kali ini nama COVID-19 pula digunapakai. Ternyata ini bukan setakat tipu, ia disertai pakej tak tahu malu.

Sejarah bakal terukir lagi dengan hodohnya kerana kebaculan seorang lelaki mengaku “Abah” yang mahu berbuat apa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Malaysia pernah dipuji WHO atas kecekapan Kementerian Kesihatan dalam mengekang penularan pandemik sebelum ini. Maknanya kita berupaya untuk mengatasi masalah ini tanpa memerlukan negara berada di bawah daruratpun. Jadi nak buat darurat untuk apa? Apa tak cukup PKP, PKPD, PKPB, PKPP yang ternyata berkesan kita gunakan selama ini?

Darurat untuk apa? Untuk memastikan kestabilan politik negara? Nak tipu apa lagi?

Memang politik negara kita sampai kiamat pun tak akan stabil selagimana kepentingan rakyat terbanyak tidak diletakkan di hadapan dan menjadi lebih besar dari mana-mana individu serta parti.

Kerana semua berlumba untuk menipu dalam pentas politik kita, maka apa yang kita jangkakan akan berlaku? Kestabilan? Hahahahaha.

Cukuplah, hentikanlah. Negara ini bukan milik kamu berlima atau berenam orang ini sahaja. Puluhan tahun kami kena jadi penonton sengketa kamu yang tak berkesudahan. Jangan pergi lebih jauh dari ini dan mahu menggugat demokrasi negara ini atas nama darurat, kelak kami meletus dan merotan kamu semua di jalanan. Kembalikan mandat kepada rakyat, dan berhentilah mengkhianatinya.

==========

Nik Aziz Afiq bin Abdul ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *