oleh V. Selvam

Krisis air di Selangor sudah tiada kesudahannya dan masalah gangguan air sudah semakin kritikal. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sudah tidak mampu menangani masalah pengurusan air di Selangor. PSM Selangor menggesa Menteri Besar Selangor dan Ketua Eksekutif Air Selangor untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan meletakkan jawatan mereka.

Masalah paip pecah di Jalan Bukit Kuda, Klang, beberapa hari yang lalu telah menjejaskan pengguna di 15 kawasan terutamanya di sekitar Klang dan Shah Alam. Belum pun reda masalah itu, masalah pencemaran air di Sungai Selangor berulang kembali pada 19 Oktober 2020, menjejaskan lebih 1 juta pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat

PSM Selangor ingin mengutarakan isu-isu berikut:

1. Bagi masalah pencemaran air, PSM Selangor mengulangi cadangannya (rujuk Kenyataan Akbar bertarikh 7 Oktober 2020) bahawa Kerajaan Negeri Selangor perlu melihat masalah ini lebih daripada pencemaran biasa. Undang-undang dan tindakan tegas di samping mekanisme pemantauan yang mantap di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) perlu dilaksanakan dengan segera.

2. Kerajaan Negeri Selangor perlu melaksanakan langkah alternatif seperti membuat tadahan air hujan di kawasan perumahan yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Ini dapat menyelesaikan masalah keperluan air tempatan dan gangguan bekalan air dapat diminimumkan dan tidak akan menjejaskan ramai pengguna.

3. Bagi masalah paip pecah, PSM Selangor menggesa Kerajaan Selangor untuk melaksanakan program penyelengaraan paip secara berkala dan berjadual untuk mengelakkan masalah ini berulang. Air adalah kemudahan asas, maka adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan dana yang mencukupi untuk tujuan ini. Masalah paip pecah dan paip bocor juga menyumbang kepada 30% “air tidak terhasil” (non-revenue water) yang memburukkan lagi masalah bekalan air di Selangor.

4. Air Selangor perlu mengambil langkah berikut:

i. Memantau dan meneliti semua loji rawatan/bekalan air untuk mengenalpasti masalah seperti paip dan peralatan yang lama, bocor dan yang memerlukan penggantian serta penyelenggaraan yang baik.

ii. Menyediakan sistem ‘back-up’ seperti saluran paip alternatif yang hanya digunakan apabila saluran paip utama mengalami masalah.

iii. Meneliti dan mengemaskini SOP pengurusan air semasa krisis yang sedia ada untuk mengelakkan masalah ini pada masa hadapan. Kakitangan yang terlibat dalam tugasan ini haruslah dilatih agar dapat mengendalikan masalah dengan cekap dan pantas.

iv. Meneliti polisi dan proses perolehan (procurement) Air Selangor termasuk pembekal peralatan untuk memastikan bahan atau peralatan adalah berkualiti tinggi.

===========

V. Selvam ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *