(Foto: Hannah Peters Getty Images)

Pilihanraya Umum di New Zealand yang diadakan pada 17 Oktober 2020 menyaksikan kemenangan besar Parti Buruh yang dipimpin oleh penyandang jawatan Perdana Menteri sejak tahun 2017, Jacinda Ardern. Dengan memenangi 64 daripada 120 kerusi dalam Parlimen, Parti Buruh New Zealand membentuk kerajaan majoriti secara sendiri yang pertama di New Zealand sejak pelaksanaan sistem pengundian perwakilan perkadaran ahli-bercampur (MMP) di negara itu pada tahun 1996.

Pilihanraya Umum New Zealand diadakan setiap tiga tahun. Sejak tahun 1996, Pilihanraya Umum New Zealand menggunakan sistem pengundian perwakilan perkadaran ahli-bercampur (MMP) untuk memilih ahli parlimen. Setiap pengundi diberi dua undi, satu untuk mengundi parti politik dan satu lagi untuk mengundi wakil rakyat di kawasan mengundinya. Parti politik yang mendapat undi parti yang melepasi ambang 5% atau menang dalam pengundian wakil rakyat ikut kawasan, akan mempunyai kerusi dalam parlimen. Daripada 120 kerusi dalam Parlimen New Zealand, 72 kerusi dipilih melalui kawasan mengundi, sementara 48 diisi oleh calon daripada setiap parti yang mendapat ambang melebihi 5% dalam undi parti. Kerusi dalam parlimen akan ditambah sekiranya terdapat parti yang memenangi kerusi melalui undi kawasan yang melebihi peratusan undi parti untuk mengimbangi nisbah kerusi mengikut nisbah undi parti. Sejak sistem MMP diperkenalkan pada tahun 1996, tidak pernah adanya parti politik yang memenangi majoriti kerusi secara sendiri sehinggalah kemenangan besar Parti Buruh pada tahun ini. Sebelum ini, semua parti yang menang hanya membentuk kerajaan campuran ataupun kerajaan minoriti. Kerajaan pimpinan Jacinda Ardern sebelum ini yang ditubuhkan berikutan kemenangan Parti Buruh pada tahun 2017 merupakan kerajaan campuran antara Parti Buruh dengan New Zealand First dan Parti Hijau.

Parti Buruh telah berjaya menewaskan calon yang merupakan penyandang kerusi daripada Parti Nasional di banyak tempat dan menang 43 kerusi mengikut undi kawasan, meningkat sebanyak 14 kerusi berbanding 29 kerusi pada tahun 2017. Parti Buruh meraih sebanyak 1,171,544 undi (bersamaan 59.15%), meningkat sebanyak 12.26 titik peratusan berbanding tahun 2017, dan merupakan satu perolehan undi yang paling tinggi sejak MMP diperkenalkan.

Parti Nasional, sebuah parti berhaluan kanan yang merupakan parti utama di New Zealand selain Parti Buruh, telah menerima kekalahan yang agak teruk dengan memperoleh 26.79% undi mengikut undi parti, keputusan yang kedua teruk untuk Parti Nasional sejak pelaksanaan MMP. Parti Nasional kehilangan sebanyak 19 kerusi keseluruhan berbanding tahun 2017.

 ACT New Zealand, sebuah parti berhaluan kanan yang pro-pasaran bebas, dan Parti Hijau, sebuah parti progresif yang membawa politik alam sekitar, masing-masing menguasai 10 kerusi. ACT New Zealand mendapat 7.98% undi sementara Parti Hijau mendapat 7.57% undi. Kerusi yang dikuasai ACT New Zealand meningkat daripada satu kerusi pada tahun 2017 kepada 10 kerusi, satu peningkatan yang signifikan. Calon Parti Hijau, Chlöe Swarbrick, memberi kejutan di kawasan mengundi Auckland Pusat yang dikuasai Parti Nasional sebelum ini, apabila memenangi kerusi kawasan mengundi tersebut dengan 482 undi majoriti menewaskan pesaing terdekatnya daripada Parti Buruh, sementara calon Parti Nasional menduduki tempat ketiga. New Zealand First, parti berhaluan kanan yang menyertai kerajaan campuran pimpinan Jacinda Ardern penggal yang lepas dan dipimpin oleh penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri Winston Peters, menyaksikan keputusan yang paling teruk untuk parti itu sejak penubuhannya pada tahun 1993 dan gagal mendapat apa-apa kerusi kerana undi parti yang diperolehnya hanya 2.67%. Parti Māori, sebuah parti berhaluan kiri tengah berasaskan masyarakat orang asal, walaupun hanya mendapat 1% undi parti, tetapi berjaya menang satu kerusi melalui kawasan mengundi Waiariki apabila calonnya Rawiri Waititi menewaskan pesaing terdekatnya daripada Parti Buruh dengan kemenangan tipis 415 undi majoriti.

Salah satu faktor Parti Buruh pimpinan Jacinda Ardern boleh menang besar dalam Pilihanraya Umum New Zealand kali ini, adalah respon daripada Kerajaan pimpinan Ardern terhadap pandemik COVID-19 di New Zealand telah mendapat pujian daripada ramai orang. Kekalahan teruk parti yang membawa politik yang anti-miran seperti New Zealand First, menunjukkan bahawa pengundi New Zealand rata-rata menolak politik yang xenofobia. Ramai warga New Zealand tidak akan melupakan insiden penembakan di masjid Christchurh oleh pelampau kanan berfahaman ketuanan orang putih yang meragut nyawa sebanyak 51 orang.

Namun begitu, politik demokrasi bukannya hanya membuang undi selang beberapa tahun (misalnya 3 tahun di New Zealand). Di New Zealand, rakyat biasa telah terlibat dalam pelbagai aksi politik. Sepanjang tiga tahun yang lalu semasa penggal pertama pentadbiran Ardern, pernah tercetusnya gelombang aksi mogok oleh guru-guru, pemandu-pemandu bas, pekerja-pekerja runcit, jururawat-jururawat dan sebagainya. Adanya demonstrasi besar-besaran yang menuntut keadilan iklim dan bersolidariti dengan gerakan Black Lives Matter. Ribuan orang dari seluruh negara New Zealand telah bergegas ke Ihumātao, sebuah perkampungan orang Māori yang terletak tiga kilometeri dari Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, untuk mempertahankan kawasan itu daripada projek pembangunan hartanah yang menghancurkan kehidupan orang asal dan hanya menguntungkan golongan kaya. Selagi isu kelas dan ketidakadilan sosial masih wujud di New Zealand, ramai orang akan terus beraksi di luar peti undi untuk menuntut keadilan. Cabaran untuk Parti Buruh New Zealand pula adalah sama ada ia dapat membuktikan benar-benar menjamin kesejahteraan bersama atau tidak dengan mandat besar yang diterimanya dalam pilihanraya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *