Luis Acre (nombor empat dari kiri), calon MAS untuk Presiden Bolivia, dan David Choquehuanca, calon MAS untuk Timbalan Presiden Bolivia, meraihkan kemenangan mereka dalam Pilihanraya Umum Bolivia pada 18 Oktober 2020.

Selepas hampir setahun kerajaan Evo Morales di Bolivia dijatuhkan dalam kudeta tentera yang disokong oleh golongan berhaluan kanan yang bersekongkol dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat, parti berhaluan kiri yang dipimpin oleh Morales, “Gerakan Menuju Sosialisme” (MAS) kembali berkuasa setelah menang dalam pilihanraya umum dengan peroleh undi yang lebih besar berbanding setahun sebelum ini. Walaupun anggota MAS telah ditindas hebat oleh kerajaan berhaluan kanan yang berkuasa melalui kudeta tentera, calon MAS, Luis Arce, telah muncul sebagai pemenang dalam pengundian pusingan pertama Pilihanraya Presiden Bolivia yang diadakan pada 18 Oktober 2020.

Daripada keputusan awal yang diumumkan, Luis Acre daripada MAS telah memenangi 52.4% undi, sementara calon terdekatnya, Carlos Mesa yang pernah menjadi Presiden Bolivia pada tahun 2003-2005 (bukan secara langsung melalui pilihanraya tetapi sebagai pengganti kepada Presiden yang meletak jawatan selepas gelombang protes besar-besaran) hanya memperoleh 31.5% undi, dan seorang lagi calon berhaluan kanan Luis Fernando Camacho pula hanya memperoleh 14.1% undi. Keputusan akhir akan disahkan dalam tempoh beberapa hari lagi. MAS juga dijangka menguasai majoriti dalam kedua-dua dewan perundangan.

“Kami telah memulihkan semula demokrasi dan harapan kita. Kami mengesahkan komitmen kami untuk bekerjasama dengan organisasi sosial. Kami akan membina sebuah kerajaan perpaduan nasional,” kata Luis Acre apabila keputusan awal menunjukkan kemenangannya. Presiden rejim yang berkuasa melalui kudeta, Jeanine Añez, sendiri mengaku bahawa Luis Acre telah menang dalam pilihanraya dan mengucapkan tahniah kepadanya. Memang peratusan undi yang diperoleh calon MAS lebih tinggi berbanding setahun yang lalu dan jurang perbezaan undi dengan pesaing terdekatnya terlalu besar.

Menurut undang-undang pilihanraya Bolivia, untuk seseorang calon menang dalam pusingan pertama Pilihanraya Presiden Bolivia, calon berkenaan perlu sama ada memperoleh lebih 50% daripada jumlah undi yang dibuang atau lebih 40% daripada jumlah undi yang dibuang dengan mendahului pesaing terdekatnya sebanyak 10 titik peratusan. Evo Morales menang dalam Pilihanraya Presiden Bolivia pada bulan Oktober 2019 dengan perolehan undi kurang daripada 50% (iaitu 47.08%) tetapi mendahului pesaing terdekatnya Carlos Mesa dengan lebih 10 titik peratusan dalam pengundian pusingan pertama. Namun begitu, keputusan Pilihanraya Presiden Bolivia telah dipertikaikan oleh golongan berhaluan kanan dengan memobilisasi untuk protes anti-Morales dan akhirnya menjatuhkan Morales dengan rampasan kuasa tentera pada bulan November 2019. Morales terpaksa melarikan diri ke Mexico dan kemudiannya hidup dalam buangan di Argentina selepas kudeta. Parti MAS yang dipimpin oleh Morales juga menghadapi pelbagai gangguan dan penindasan daripada kerajaan berhaluan kanan yang berkuasa melalui kudeta tentera.

Jeanine Añez yang mengambialih kuasa pada 12 November 2019 selepas kudeta tentera yang menjatuhkan Morales, pada awalnya menjanjikan pilihanraya dalam 90 hari, tetapi dia telah memungkiri janjinya dalam usaha memperkukuhkan kekuasaan pemerintahan golongan kanan. Añez juga pernah berkata bahawa dia tidak akan bertanding sebagai calon Presiden, tetapi membuat U-turn dengan menyatakan hasratnya untuk bertanding sebagai calon Presiden pada bulan Januari 2020, kemudiannya membuat lagi satu U-turn (menjadikannya satu roundabout) pada bulan September 2020 dengan tujuan mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan penyokong parti berhaluan kanan. Namun, golongan berhaluan kanan masih berpecah kerana terdapat dua orang calon berhaluan kanan yang berpengaruh, iaitu Carlos Mesa dan Luis Fernando Camacho, bertanding untuk kekuasaan. Walau bagaimanapun, gabungan undi yang diperoleh kedua-dua calon berhaluan kanan masih tidak dapat menandingi undi yang diperoleh Luis Acre yang menggantikan Morales untuk bertanding dalam Pilihanraya Presiden. Añez juga cuba menangguhkan pilihanraya sebanyak 3 kali untuk menggagalkan usaha MAS dalam memenangi pilihanraya, tetapi mendapat bantahan hebat daripada gerakan masyarakat. Aksi mogok dan protes besar-besaran pada bulan Ogos 2020 berjaya memaksa Parlimen Bolivia meluluskan rang undang-undang pada 13 Ogos yang menetapkan bahawa pilihanraya umum tidak boleh ditangguhkan lagi ke tarikh yang lebih lewat daripada 18 Oktober 2020 dan mengenakan hukuman jenayah terhadap sebarang usaha yang cuba menangguhkan tarikh pilihanraya.

Kemenangan Luis Acre merupakan satu tamparan hebat kepada golongan berhaluan kanan dan kuasa imperialis yang menyokong kudeta tahun lepas. Luis Acre pernah menyandang jawatan Menteri Ekonomi dan Kewangan Awam semasa Morales menjadi Presiden Bolivia. Beliau pernah menerajui usaha pemiliknegaraan syarikat hidrokarbon, telekomunikasi dan perlombongan, serta pengurangan kadar kemiskinan yang signifikan di Bolivia semasa menjadi Menteri Kabinet. Beliau juga memainkan peranan dalam pembentukan Bank Selatan (Banco del Sur).

Pilihanraya umum Bolivia pada 18 Oktober 2020 merupakan Pilihanraya Presiden yang tiadanya nama Evo Morales dalam kertas undi sejak tahun 2002. Anggota dan penyokong parti pimpinan Morales telah ditindas hebat sebelum pilihanraya. Namun, ini tidak menghalang MAS untuk terus berkempen. Ramai orang keluar mengundi pada 18 Oktober 2020. Terdapat kebimbangan yang besar beberapa hari sebelum hari pengundian kerana keadaan yang tidak menentu dan ancaman golongan kanan yang enggan mengiktiraf keputusan pilihanraya jika MAS menang lagi seperti tahun lepas.  Namun begitu, hakikatnya adalah memang MAS yang dipimpin oleh Morales masih mempunyai sokongan yang kuat dan berjaya menewaskan rejim kudeta melalui peti undi.  

One thought on “Bolivia: Sosialis tewaskan puak kanan yang sokong kudeta

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s