oleh S. Arutchelvan
Dari manakah Wan Ahmad Fayhsal, Ketua ARMADA BERSATU, mendapat hujah dan fakta bahawa sekolah vernakular perlu dimansuhkan secara berperingkat kerana ia adalah antara faktor yang membantutkan integrasi kaum di negara ini? Apakah kajian yang Ketua ARMADA itu bentangkan untuk kita menyokong pandangannya? Beliau juga berkata bahawa usaha berkenaan perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk sekadar meraih undi. Namun adakah kita percaya dengan sesungguhnya bahawa tindakan Parti BERSATU pada awalnya ditubuhkan sebagai Parti Melayu bukan untuk meraih undi dan hari ini tiba-tiba parti ini membuka keahlian kepada golongan Bukan Melayu – bukankah juga satu langkah untuk meraih undi atau untuk kekal memerintah?
Sebenarnya pandangan Wan Ahmad Fayhsal ini juga disokong oleh ramai orang. Biasanya mereka yang menuntut sekolah vernakular ini ditutup melihat diri mereka sebagai jaguh perpaduan, tetapi hakikatnya adalah setiap kali mereka berhujah perkara ini, maka semakin rapuh dan renggang pula hubungan perkauman di negara kita.
Saya berpendapat bahawa ideologi sebuah parti mencerminkan perwatakan parti itu dalam menangani isu perkauman. Dalam hujah yang sama, bolehkah saya mengusulkan semua parti perkauman seperti UMNO, BERSATU, MIC, MCA dan sebagainya harus dimansuhkan kerana sifatnya adalah sama juga dengan sekolah vernakular – satu aliran kaum. Adakah Wah Ahmad Fayhsal akan setuju dengan hujah ini?
Selain itu, ada pula penyokong sekolah vernakular yang dengan cepat akan menuntut supaya sekolah-sekolah agama juga ditutup kerana sifatnya juga sama dengan sekolah-sekolah vernakular. Ini adalah reaksi membalas dendam lebih daripada hujah bernas apabila setiap kali wujudnya desakan untuk tutup sekolah vernakular. Yang amat melucukan adalah, hampir tiada orang yang membantah kewujudan sekolah-sekolah antarabangsa yang hanya mengajar dalam Bahasa Inggeris, selain daripada ia menjadi sekolah elit untuk mereka yang berada sahaja.
Dalam parti PSM, antara pemimpin-pemimpin PSM yang pernah belajar di sekolah vernakular cina adalah Soh Sook Hwa dan Choo Chon Kai, manakala yang belajar dari sekolah tamil adalah Sivaranjani dan Bawani KS. Namun saya mendapati mereka langsung tidak berpendirian perkauman dalam hujah dan pemikiran mereka berbanding dengan saya dari sekolah kebangsaan. Mereka mengetengahkan ke depan politik kelas bukannya politik kaum dan agama.
Pada masa yang sama, ramai kawan-kawan saya yang belajar di sekolah kebangsaan yang mempunyai pendirian perkauman yang tebal? Jika pemimpim-pemimpin PSM yang belajar dari sekolah vernakular ini berada dalam parti politik perkauman seperti MCA atau MIC, mungkinkah pemikiran mereka akan berbeza? Bagaimana kita boleh menerangkan fenomena ini yang jauh berbeza daripada pandangan aliran utama yang berpendapat bahawa sekolah vernakular melahirkan pelajar yang berpemikiran perkauman?
Biar saya cuba membawa analogi berikut. Semasa peristiwa 13 Mei 1969 yang dilihat sebagai titik hitam kerana berlaku rusuhan perkauman di negara kita, ada satu pemerhatian penting dibuat di mana rusuhan perkauman begitu ketara di Pantai Barat, tetapi di negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan, rusuhan perkauman ini langsung tidak berlaku. Kedai-kedai cina di Kelantan dan Terengganu tidak diusik atau dibakar.
Mengapa ini berlaku adalah kerana di negeri-negeri tersebut, jumlah orang Melayu adalah lebih 95%, maka mereka tidak terasa terancam oleh perasaan “tidak selamat” (insecurity) atau terasa terancam dengan kehadiran kaum lain, manakala di Pantai Barat pula, masyarakatnya lebih majmuk dan komposisi orang Melayu dan Bukan Melayu mungkin separuh separuh, maka perasaan terancam itu lebih dirasai. Mereka dalam masyarakat majmuk lebih senang diprovokasi dan ditakut-takutkan. Isu Kampung Medan, Kuil Seafield, isu kepala lembu dan sebagainya, semua berlaku di negeri Selangor di mana komposi kaumnya lebih majmuk. Sekarang bandingkan hujah ini dengan keadaan di sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan. Di manakah akan wujud lebih banyak ketegangan kaum?
Sebagai contoh, apabila saya membuat pemerhatian dan pemantauan mengenai masalah gengster dalam kalangan masyarakat India, saya mendapati masalah ini tidak wujud secara ketara di sekolah tamil atau tidak wujud di ladang-ladang di mana populasi masyarakat India itu adalah tinggi. Di tempat-tempat ini, mereka tidak terasa terancam. Tetapi di sekolah-sekolah kebangsaan, masalah gengsterisme lebih ketara. Ini adalah kerana di sekolah kebangsaan, pelajar India (bukan semua) merasakan diri mereka lebih terancam; mereka merasakan mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti, dan maka itu mereka menyertai kumpulan-kumpulan gengster ini dengan tujuan antaranya untuk melidungi keselamatan diri mereka. Daripada pemerhatian ini sendiri, kita dapat menghuraikan bahawa wujudnya perasaan yang lebih bersifat perkauman dalam kalangan pelajar sekolah kebangsaan berbanding sekolah vernakular.
Dikatakan sekolah cina sudah bertapak di negara ini pada tahun 1815 di Melaka, dan pada tahun 1920 sahaja, sudahpun ada lebih 500 buah sekolah cina di negara kita. Sekolah Tamil pertama pula dicatatkan pada tahun 1816 di Pulau Pinang, dan pada tahun 1912, British telah memperkenalkan Ordinan Buruh 1912 yang mewajibkan pemilik ladang untuk membuka sekolah tamil jika ada lebih daripada 10 orang murid, maka sekolah tamil diwujudkan dengan satu niat untuk mengekalkan buruh pekerja ladang secara terkawal di ladang masing-masing tetapi keadaan sekolah-sekolah Tamil ini pula amat teruk.
Walaupun sekolah-sekolah ini sudah wujud lebih seratus tahun lalu, tetapi isu melabel sekolah-sekolah ini sebagai sekolah yang membawa perkauman hanyalah lebih ketara setelah wujudnya parti-parti politik perkauman. Keadaan ini juga lebih ketara apabila adanya cubaan dan polisi-polisi untuk menghalang hak bahasa ibunda dan sebagai reaksinya wujud perasaan untuk menyelamatkan sekolah-sekolah ini.
Suka atau tidak suka – Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar utama rakyat Malaysia. Perkara ini tidak boleh dinafikan dan memang semua orang dapat bertutur dalam Bahasa Melayu. Semua kaum sudah pun menerima hakikat ini dan jika tidak percaya, pergilah ke pasar-pasar dan lihatlah sendiri bagaimana orang berinteraksi. Tidak ada bahasa lain yang boleh gantikan tempat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan isu ini sudahpun lama selesai.
Kehadiran sekolah Vernakular tidak pernah menggugat perpaduan perkauman atau mencabar bahasa pengantar utama rakyat Malaysia. Namun, setiap kali adanya ahli politik yang menuntut supaya sekolah vernakular ini ditutup, maka perasaan perkauman, diskriminasi dan ancaman kepada bahasa-bahasa ibunda menjadi agenda utama dan ini merapuhkan perpaduan kaum.
Tulisan ini tidak bermatlamat untuk menafikan kepentingan sekolah kebangsaan. Ia hanya bertujuan untuk mengatakan bahawa tidak ada hujah bukti saintifik yang menunjukkan sekolah vernakular merapuhkan hubungan kaum dan sekolah kebangsaan memantapkan perpaduan masyarakat. Tetapi yang amat jelas adalah parti politik perkauman mempunyai agenda perkauman yang jelas dan nyata, dan ia lebih berbahaya kepada perpaduan negara berbanding sekolah vernakular.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan.
==========
S .Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
One thought on “Sekolah mana yang cetuskan perkauman – Sekolah Vernakular atau Sekolah Kebangsaan? Parti politik mana yang cetuskan perkauman – Parti Satu Kaum atau Parti Berbilang Kaum?”