oleh Nik Aziz Afiq bin Abdul

Malaysia adalah salah satu negara yang sejak dulu lagi prihatin dan lantang bersuara mengenai kezaliman di negara-negara lain, dari perjuangan melawan Apartheid di Afrika Selatan, menentang penindasan terhadap orang Palestin, isu Rohingya di Myammar, hinggalah etnik Uighur di China.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada satu ketika dulu, pernah berkata, “Malaysia akan terus menyuarakan isu penindasan etnik Rohingya di Myanmar dan mengajak dunia menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap pelarian etnik berkenaan yang kini berlindung di Bangladesh”, semasa bertemu dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Parti Komunis China, Meng Jianzhu. (Sarawak Voice, 28 September 2017)

Sejarah Malaysia Berbudi pada Pelarian

Sejak dulu kita prihatin dan terima pelarian dari Vietnam, Bosnia, Syria, Rohingya, Afghanistan, Sri Lanka, Palestin dan banyak negara lain kerana sifat membela manusia yang tertindas, dan percaya kepada keadilan. Malaysia, selama ini, bekerjasama erat dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), menjadikan Malaysia negara penempatan sementara untuk pelarian, sebelum mereka ditempatkan ke negara ketiga.

Kita bukan hanya terima pelarian yang sampai sendiri ke Malaysia.

Orang pelarian Syria dibawa masuk pada tahun 2015 dengan usaha Kerajaan Malaysia. Kita menerima rakyat Syria seramai 3,000 orang supaya mereka dapat menetap di Malaysia. Sebelum itu, pelarian Bosnia pula diterbangkan masuk oleh Kerajaan Malaysia, dan kemudian pulang setelah negara Bosnia aman semula. Ini menunjukkan orang Malaysia cukup prihatin, sensitif dan bertindak mulia membuka ruang kepada orang yang menderita.

Seperti itu selama 20 tahun, pelarian Chin dan Rohingya juga diterima atas dasar kemanusian, kerana peperangan dan penyeksaan derita hidup di Myanmar, di mana berlakunya pembunuhan, kampung halaman dibakar, anak bini dirogol, ibu bapa ditetak depan mata. Kita berperikemanusiaan dan membantu.

Apakah hidup orang pelarian begitu menyusahkan orang Malaysia?

Sejak dulu lagi, pelarian hanya memohon sedikit tempat di tanah kita untuk hidup. Mereka cari makan, buat kerja apa saja, dengan upah apa pun, dan berusaha sendiri bayar sewa, dan hidup berdikari.

Kerajaan dan rakyat Malaysia tidak dibebani memberi bayaran ehsan atau menanggung hidup pelarian dalam apa-apa cara pun.

Isu mereka bekerja di sana sini dan keadaan pasar yang kurang bersih telah pun diselesaikan atas penguatkuasaan , di mana kebersihan lebih terjaga. Keadaan kotor berlaku di mana-mana pun, di kawasan pangsapuri misalnya. Masalah selesai apabila semua bekerjasama dan adanya penguatkuasaan.

Pelarian dituduh dalam isu jenayah. Tetapi ini berlaku di dalam mana-mana masyarakat. Statistik menunjukkan jenayah lebih banyak dilakukan oleh orang tempatan, bukan pelarian. Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata hanya 1% orang asing terlibat dalam jenayah (The Star, 9 Julai 2013 ).

Kebencian sejak penularan COVID-19

Dari hati yang terbuka dan kasihan kepada pelarian yang tertindas, apa yang berlaku sehingga sebahagian rakyat kita begitu benci kepada pelarian Rohingya sejak penularan COVID-19 beberapa bulan ini?

Adakah kita begitu resah dan takut akan dijangkiti COVID-19, sehingga kita mencari satu golongan dijadikan kambing hitam supaya kita dapat bersatu menghadap musuh COVID-19?

Penularan COVID-19 bermula dari orang yang pulang dari luar negara, yang pulang dan bermesyuarat di Putrajaya, dari orang luar negara menular ke Perhimpunan Tabligh, ke gereja, ke ramai lagi golongan rakyat Malaysia. Orang pelarian, yang lama sudah menetap di Malaysia dijangkiti COVID-19 seperti orang lain juga, dari orang Malaysia lain, bukan dari pelarian yang baru masuk ke Malaysia.

Kenapa kita tuduh pelarian? Mereka tidak lebih berisiko menular jangkitan COVID-19. Jangkitan COVID-19 bermula dari orang pelancong luar negeri, rakyat Malaysia yang pulang dengan terbang masuk melalui kapal terbang. Pelarian Rohingya mendarat dengan kapal buruk.

Adakah kita begitu resah dan takut, sehingga kita hilang pemikiran yang rasional, dan mahu pelarian jadi sasaran untuk dituduh menjadi punca penderitan kita?

Penderitaan yang berlipat ganda

Kini, satu kolompok manusia yang menumpang hidup atas belas kasihan kita, yang diterima dulu, dijemput naik ke daratan kita dulu, yang berdikari hidup mencari sesuap nasi dengan buat kerja 3D dan boleh cari makan dan boleh bayar sewa sendiri, mereka sekarang kebuluran tidak dapat memberi anak-anak mereka makan dan tidak dapat membayar sewa rumah. Mereka terpaksa bergantung hidup menerima derma bungkusan makanan dari orang lain.

Itukah yang kita mahu?

Tidak, kita mahu dia keluar dari negara kita. Balik ke Myammar negara asal. Balik ke Cox Bazaar. Kita tidak mahu mereka lagi di negara ini. Keluar sekarang!

Myammar masih berperang. Mereka akan mati ditetak, dibakar, dirogol di sana. Cox Bazaar sudah sangat padat, penuh dibanjiri manusia, dengan pelbagai masalah kompleks. Pulau di pinggir Bangladesh di mana pelarian akan dihantar, tidak subur langsung, dan sangat senang dibanjiri. Bagaimana nak hidup di situ?

Bagaimana lebih 150,000 pelarian mahu segera meninggalkan Malaysia. Ibu yang mendakap mereka selama ini menghalau keluar. Sempadan pun tutup sebenarnya. Di mana nak pergi? Apa perlu mereka buat sekarang? Supaya rakyat Malaysia puas hati dan terima kehadiran mereka?

Korban untuk fakir miskin

Pada Hari Raya Haji, kaum Muslim di seluruh dunia akan menjalankan Korban dan mengagihkan daging kepada fakir-miskin. Bolehkah semua kaum di Malaysia termasuk yang bukan Islam juga memilih untuk korbankan kebencian terhadap pelarian Rohingya yang berada di negara kita pada hari yang sama? Ini kerana Suruhan Tuhan meminta insannya saling berkasih sayang sayu berdendang ke hati kita.

Nabi Ibrahim cukup taat kepada suruhan Tuhan yang menyuruh Nabi korbankan anaknya. Tidak ada sangsi langsung. Nabi Ibrahim cukup percaya Tuhan akan beri yang terbaik, akan membawa kebaikan kepadanya yang taat kepada Perintah Tuhan.

Adakah kita sangsi kepada Perintah Tuhan, yang menyuruh kita saling kasih mengasihi, tolong menolong, kerana takut kita sendiri akan kerugian? Kenapa Nabi Ibrahim tidak takut dia kerugian? Tidak takut kehilangan anaknya sendiri? Kerana begitu percaya Tuhan akan sentiasa melindungi umatnya dan membawa kebaikan. Adakah kita mencontohi Nabi Ibrahim dalam ketakutan kita terhadap pelarian Rohingya?

Kita takut pelarian Rohingya ambil pekerjaan kita? Kita takut pelarian Rohingya duduk rumah kita? Kita takut pelarian Rohingya kotor? Betulkah kita ini tidak berupaya mengatasi ketakutan ini?

Ya, kadar pengangguran bertambah. Tapi adakah selama ini, pekerjaan kita sebenarnya dirampas oleh pelarian Rohingya. Mereka melakukan kerja-kerja yang orang lain enggan melakukan. Dengan upah yang begitu sedikit. Seperti kerja dengan lori sampah, sapu tepi jalan, kumpul besi buruk.

Bolehkah kita bersimpati dengan orang pelarian yang menderita dan membuka hati kita terhadap kesengsaraan mereka? Inilah rayuan saya kepada semua rakyat Malaysia – marilah kita mengikis persepsi negatif terhadap kaum pelarian Rohingya yang wujud di hati dan minda ramai antara kita. Marilah kita mengorbankan perasaan kebencian terhadap kaum pelarian.

==========

Nik Aziz Afiq bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (Pemuda PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *