20190901 - img_20190901_064440

Pada ketika West Papua dilanda gelombang protes yang hebat, Kerajaan Indonesia sedang mempertingkatkan usaha untuk mematahkan kebangkitan rakyat Papua dengan menyekat ruang demokrasi untuk aktivisme yang menyokong perjuangan rakyat Papua untuk menentukan nasib sendiri.

Jurucakap Fron Rakyat Indonesia untuk West Papua (FRI-West Papua), Surya Anta Ginting, ditangkap oleh polis di Jakarta pada 31 Ogos 2019. Surya Anta ditahan atas dakwaan bahawa beliau terlibat dalam tindakan subversif berkaitan dengan aktivitinya yang menyokong perjuangan di Papua. Surya Anta pernah menyertai sebagai ahli panel dalam Forum Sosialisme 2015 di Kuala Lumpur anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Surya Anta bukannya satu-satu orang yang ditahan dalam dua hari yang lepas. Pada 30 Ogos 2019, 2 orang pelajar Papua ditangkap oleh pihak berkuasa di Depok, Jawa Barat. Polis telah menyerbu masuk ke asrama 2 orang pelajar Papua tersebut dan mengacukan senapang ke arah mereka semasa penangkapan. Satu lagi tangkapan berlaku semasa protes solidariti untuk tahanan yang diadakan pada 31 Ogos 2019 di hadapan balai Polis Daerah Metropolitan Jakarta Raya.

Kemudiannya, berlaku lagi tangkapan pada 31 Ogos 2019 di Jakarta Selatan, dengan 3 orang wanita Papua yang tinggal di rumah kediaman pelajar Papua ditangkap dalam satu operasi bersama tentera dan polis. Ketika penangkapan tersebut, pasukan keselamatan telah menghalang semua orang di situ daripada mengambil gambar atau foto.

Semua penangkapan dalam dua hari yang lepas ini dilakukan tanpa sebarang waran tangkap. 8 orang yang ditangkap itu ialah Surya Anta Ginting, Carles Kossay, Dano Tabuni, Ambrosius Mulait, Isay Wenda, Naliana Wasiangge, Wenebita Wasiangge dan Norince Koyoga. Selain penangkapan terhadap aktivis yang menyokong perjuangan rakyat Papua, pihak polis Indonesia juga melakukan pemeriksaan mengejut terhadap tempat-tempat penginapan pelajar Papua di kawasan Metropolitan Jakarta Raya tanpa sebarang sebab yang kukuh. Pihak berkuasa Indonesia nampaknya sedang mensasarkan orang Papua di luar West Papua, khususnya pelajar Papua, dalam usaha melenyapkan suara yang bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Papua untuk menentukan nasib sendiri.

Adalah ironi kepada Indonesia selaku negara demokratik yang terbesar di Asia Tenggara ini, kerana sedang pihak berkuasa Indonesia memperhebatkan penindasan terhadap rakyat Papua. Tindakan sebegini akan terus mengapi-apikan lagi diskriminasi dan rasisme secara sistematik terhadap orang Papua, memburukkan lagi keadaan yang sudahpun amat tegang untuk orang Papua, serta mengancam keselamatan untuk rakyat Papua di dalam dan di luar wilayah Papua.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Gabungan Masyarakat Sivil untuk Demokrasi di Indonesia, masyarakat sivil Indonesia menyeru untuk:

  • Menghentikan operasi pemeriksaan mengejut terhadap asrama pelajar Papua;
  • Menghentikan penangkapan sewenang-wenang, dan mengambil inisiatif untuk mengadakan dialog yang berterusan sebagai usaha dalam menyelesaikan konflik di Papua secara damai;
  • Mendesak pihak pasukan keselamatan supaya bertindak secara profesional dengan mengangkat prinsip-prinsip hak asasi manusia dalam menangani situasi terkini.

Masyarakat sivil Indonesia menyatakan kebimbangan mereka bahawa langkah berketerlaluan yang diambil oleh pihak polis Indonesia akan memburukkan lagi keadaan di Papua sekarang.

2 thoughts on “Aktivis pendukung perjuangan Papua ditahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *