18 Mei 2020 menandakan ulangtahun ke-40 peristiwa Kebangkitan Gwangju di Korea Selatan.
40 tahun dahulu, pada 18 hingga 27 Mei 1980, rakyat di bandar Gwangju dan wilayah Jeolla Selatan yang terletak di barat daya Semenanjung Korea, bangkit secara spontan untuk menuntut demokrasi, tetapi usaha murni tersebut dipatahkan secara kejam oleh pemerintah kediktatoran tentera pada masa itu. Walaupun kebangkitan rakyat tersebut digagalkan oleh kekuasaan diktator tentera yang didukung oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat, tetapi ia telah menjadi pemangkin penting kepada proses pendemokrasian di Korea Selatan. Mahasiswa-mahasiswi dan pekerja-pekerja menjadi barisan hadapan dalam perjuangan demokrasi yang hebat ini.
Kebangkitan Rakyat Gwangju walaupun merupakan perjuangan rakyat yang spontan, tetapi ia tidak berlaku secara tiba-tiba tanpa sebab. Di mana adanya penindasan, di situ adanya perjuangan rakyat. Penindasan yang dihadapi oleh Korea Selatan bukannya sesuatu yang baru. Sejarah perjalanan perjuangan demokrasi di Korea Selatan adalah berliku-liku. Selepas tamatnya Perang Dunia II, walaupun Semenanjung Korea bebas daripada pemerintahan penjajah imperialis Jepun, tetapi ia telah dipecahkan kepada dua, malah tercetusnya Perang Korea selama tiga tahun. Selepas gencatan senjata yang memberhentikan Perang Korea, Semenanjung Korea dipisahkan menjadi dua buah negara, Korea Selatan dan Korea Utara. Pemisahan Semenanjung Korea ini merupakan satu manifestasi Perang Dingin.
Korea Selatan, ataupun juga dikenali sebagai Republik Korea, terletak di bawah pengaruh lingkungan kuasa imperialis Amerika Syarikat ketika zaman Perang Dingin, dan telah melalui tiga pemerintahan kediktatoran yang anti-komunis. Yang pertama sekali ialah pemerintahan autoritarian Syngman Rhee pada tahun 1948-1960. Selain membencikan komunis, Syngman Rhee juga bersikap keras dengan sesiapa sahaja yang membangkangnya. Pada tahun 1960, tercetusnya Revolusi April yang menjatuhkan pemerintahan Syngman Rhee, dan diktator tersebut dilarikan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat untuk mendapatkan perlindungan di Hawaii. Demokrasi berparlimen yang diwujudkan berikutan Revolusi April hanya bertahan untuk seketika sahaja, dan dihancurkan oleh kudeta ketenteraan yang dipimpin oleh Park Chung-hee pada bulan Mei 1961. Pemerintahan kediktatoran oleh Park Chung-hee berlarutan selama 18 tahun, sehingga dia dibunuh pada 26 Oktober 1979 oleh Kim Jae-gyu selaku Pengarah Perkhidmatan Perisikan Pusat Korea (KCIA) pada masa itu. Tidak lama selepas kematian Park Chung-hee, jeneral tentera Chun Doo-hwan melancarkan kudeta pada 12 Disember 1979, dan memperkukuhkan kuasanya melalui satu lagi kudeta pada 17 Mei 1980. Kudeta pada 17 Mei 1980 yang memperluaskan kekuasaan Chun Doo-hwan, telah menjadi pencetus kepada peristiwa Kebangkitan Rakyat Gwangju sehari selepas itu.
Sebelum pembunuhan Park Chung-hee, sudah pun tercetus gerakan protes di seluruh Korea Selatan. Salah satu peristiwa penting yang mencetuskan gelombang protes rakyat ialah aksi protes pekerja-pekerja wanita muda di Syarikat Perdagangan YH yang menggulung tikar pada bulan Ogos 1979, di mana seorang pekerja dibunuh apabila polis dikerahkan untuk mengusir keluar pekerja-pekerja yang menduduki bangunan syarikat tersebut.
Pada awal bulan Mei 1980, tercetusnya gelombang protes rakyat yang menuntut pembatalan undang-undang darurat dan perletakan jawatan Chun Doo-hwan. Pada 15 Mei 1980, lebih 70,000 orang berdemonstrasi di bandar Seoul, ibu negara Korea Selatan. Pada 16 Mei 1980, terdapat 30,000 orang berprotes di Gwangju. Pada 17 Mei 1980, Chun Doo-hwan memperkukuhkan kuasa dengan memperluaskan skop undang-undang darurat, termasuk menutup universiti, melarang persidangan parlimen, mengharamkan semua aktiviti politik dan menyekat kebebasan akhbar dengan lebih lanjut lagi. Ramai ahli politik pembangkang dan aktivis pelajar ditahan.
Pada 18 Mei 1980, pelajar-pelajar mula berhimpun di pintu masuk Universiti Kebangsaan Chonnam di Gwangju, dan tercetusnya konflik dengan pasukan tentera yang dikerahkan untuk memasuki kampus universiti. Tentera mengenakan sekatan ke atas bandar Gwangju pada 19 Mei 1980, pasukan tentera payung terjun dikerahkan untuk mematahkan protes jalanan rakyat. Pada 20 Mei 1980, lebih 200,000 orang rakyat Gwangju turun ke jalanan dan bertempur dengan tentera yang cuba mematahkan kebangkitan rakyat. Media yang dikawal oleh kerajaan tidak melaporkan apa-apa yang berlaku di Gwangju pada masa itu. Pada 21 Mei 1980, oleh sebab tentera melepaskan tembakan terhadap demonstran yang berhimpun di hadapan bangunan kerajaan Wilayah Jeolla Selatan, sebahagian demonstran menyerbu gedung senjata dan balai polis berdekatan. Rakyat yang berprotes melengkapkan diri mereka dengan senjata untuk bertempur dengan tentera kerajaan diktator, dan memaksa pihak tentera berundur keluar dari pusat bandar. Berikutan pengunduran tentera itu, rakyat yang seramai lebih kurang 250,000 orang telah mengisytiharkan bahawa Gwangju bebas daripada pemerintahan tentera.
Pada 22 Mei 1980, tentera yang mengepung bandar Gwangju melakukan sekatan ke atas semua jalan yang memasuki bandar tersebut dan memutuskan segala rangkaian komunikasi. Rakyat di Gwangju menubuhkan “Jawatankuasa Penyelesaian Rakyat” dan “Jawatan Penyelesaian Pelajar”. Jawatankuasa Penyelesaian Rakyat cuba berunding dengan pihak tentera, dengan tuntutan membebaskan mereka yang ditahan, membayar pampasan kepada mangsa kezaliman tentera dan mendapatkan janji untuk tidak mengambil tindakan terhadap militia rakyat yang melucutkan senjata. Namun, rundingan menemui jalan buntu kerana pihak tentera berpendirian tegas dalam mengarahkan semua militia rakyat untuk melucutkan senjata. Apabila berita tentang penindasan zalim oleh tentera terhadap protes di Gwangju mula tersebar, tercetusnya protes anti-kerajaan di tempat lain di seluruh wilayah Jeolla Selatan.
Tentera cuba memasuki semula bandar Gwangju pada 26 Mei 1980. Rakyat Gwangju berbaring di atas jalanraya untuk cuba menghalang kemaraan tentera tetapi tidak berjaya. Tentera telah menggunakan kereta kebal, kereta berperisai, dan helikopter untuk melancarkan serangan ke atas rakyat Gwangju yang mencabar kekuasaan Chun Doo-Hwan. Tentera Korea telah menggunakan helikopter tentera buatan Amerika Syarikat untuk menembak demonstran di jalanan Gwangju. Kebangkitan rakyat Gwangju dipatahkan pada 27 Mei 1980. Dianggarkan hampir 2,000 orang mati dalam peristiwa Gwangju.
Kebangkitan Rakyat Gwangju dipatahkan oleh kerajaan diktator yang disokong oleh Amerika Syarikat, menunjukkan bahawa Amerika Syarikat yang sentiasa menganggap dirinya sebagai “jaguh demokrasi” bukannya sekutu yang boleh dipercayai bagi mana-mana gerakan demokrasi. Lapan bulan selepas mematahkan kebangkitan rakyat di Gwangju dengan cara yang kejam, Chun Doo-hwan telah dijemput oleh Presiden Amerika Syarikat pada masa itu Ronald Reagan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat.
Walaupun kerajaan diktator Chun Doo-hwan yang mendapat restu daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat telah mematahkan kebangkitan rakyat Gwangju dengan kekerasan, tetapi api semangat kebangkitan rakyat Korea demi demokrasi dan pembebasan masih tetap membara. Perjuangan untuk demokrasi masih berterusan dalam pelbagai bentuk aksi. Tujuh tahun kemudian, pada tahun 1987, tercetusnya Gerakan Perjuangan Demokratik Jun, yang akhirnya membolehkan Korea Selatan beralih ke demokrasi. Namun, saki baki pemerintahan kediktatoran tentera masih kekal dengan kerajaan konservatif yang mengambilalih kuasa selepas pengunduran Chun Doo-hwan. Selepas mengalami krisis kewangan tahun 1997, golongan liberal membentuk kerajaan untuk selama 10 tahun di bawah Presiden Kim Dae-jung dan Roh Moo-hyun, tetapi mengamalkan dasar ekonomi neoliberal yang menghakis hak rakyat bawahan. Golongan konservatif berhaluan kanan berkuasa semula dalam Pilihanraya Presiden tahun 2007. Kemenangan Park Geun-hye, anak kepada diktator Park Chung-hee, dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2012, meneruskan pemerintahan golongan konservatif dengan corak pemerintahan autoritarian baru yang melemahkan kesatuan pekerja dan mengehadkan ruang penyertaan demokrasi untuk melindungi kepentingan kelas pemerintah kapitalis. Walau bagaimanapun, Park Geun-hye digulingkan pada tahun 2016 selepas satu gelombang protes rakyat yang hebat.
Walaupun sudah 40 tahun berlalu, peristiwa Kebangkitan Rakyat Gwangju masih memberi peringatan kepada rakyat sedunia bahawa demokrasi sejati tidak akan jatuh dari langit ataupun ia bukannya datang sebagai hadiah pemberian yang dibawa oleh kuasa imperialis seperti Amerika Syarikat. Demokrasi hanya dapat direalisasikan daripada gerakan perjuangan yang melibatkan segenap lapisan masyarakat. Demokrasi sejati tidak akan timbul dalam tempoh seminggu dua berjuang, tidak akan wujudnya keadaan “hari ini menang pilihanraya, esok segala masalah akan selesai”, tetapi perlu melalui proses yang berterusan dengan penglibatan rakyat yang aktif dan sedar. Malah, proses ini mungkin akan mengambil masa berdekad-dekad lama ataupun bergenerasi, supaya rakyat benar-benar dapat menikmati buah pembebasan yang sebenar dan berkekalan.
Kebangkitan Rakyat Gwangju akan terus menjadi obor yang memberi inspirasi kepada perjuangan rakyat.
4 thoughts on “Kebangkitan Rakyat Gwangju: Obor perjuangan demokrasi di Asia”