Pada 1 Mei 2020 yang lalu, iaitu ketika dunia menyambut Hari Pekerja Antarabangsa di bawah bayangan ancaman pandemik COVID-19, berlakunya penangkapan besar-besaran terhadap pekerja-pekerja migran tanpa dokumen di Kuala Lumpur. Penangkapan besar-besaran ini berlaku di kawasan Masjid India yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan yang Diperketatkan (PKPD). Dilaporkan seramai 586 orang, termasuk kanak-kanak bawah umur, telah ditahan oleh pihak berkuasa.
Tindakan penangkapan besar-besaran terhadap pekerja-pekerja migran ini terjadi selepas Kerajaan menarik balik janjinya untuk untuk menangkap pekerja migran tanpa dokumen dan pelarian pada ketika penularan wabak COVID-19. Sebelum ini, Kementerian Kesihatan pernah mengumumkan sebelum itu bahawa pekerja-pekerja migran tanpa dokumen dan pelarian tidak perlu takut pada penangkapan ketika tampil ke hadapan untuk ujian saringan virus penyakit, sebagai usaha mewujudkan kepercayaan daripada golongan pekerja migran di Malaysia supaya bekerjasama dalam usaha membendung pandemik COVID-19. Wabak jangkitan koronavirus yang terbaru ini menular dalam masyarakat tanpa mengira kaum, agama, taraf kewarganegaraan dan status dokumen.
Penangkapan besar-besaran terhadap pekerja-pekerja migran tanpa dokumen ini telah menimbulkan kebimbangan banyak pihak dalam masyarakat sivil, kerana tindakan sebegini bukan sahaja tidak akan membantu dalam membendung penularan wabak COVID-19, sebaliknya akan memudaratkan keadaan, kerana pekerja-pekerja migran akan hilang kepercayaan kepada Kerajaan Malaysia dan menjadi lebih takut lagi untuk tampil ke hadapan supaya membuat ujian saringan jangkitan virus, sehingga meningkatkan lagi risiko penularan wabak dalam masyarakat setempat yang tidak dikesan.
Penangkapan besar-besaran dan penahanan besar-besaran akan mewujudkan keadaan yang bertentangan dalam mengamalkan penjarakan sosial yang merupakan salah satu langkah penting dalam menyekat penyebaran virus COVID-19. Ini akan membahayakan lagi kesihatan bukan sahaja pekerja-pekerja migran, tetapi juga mengancam kesihatan awam untuk seluruh masyarakat di Malaysia.
Yang membimbangkan juga adalah, sehari selepas itu, pada 2 Mei 2020, Tashny Sukumaran, seorang wartawan yang melapor untuk South China Morning Post, telah dipanggil oleh polis untuk disoal siasat berkenaan dengan laporannya mengenai peristiwa penangkapan besar-besaran terhadap pekerja-pekerja migran pada 1 Mei 2020. Tashny disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu “dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan”. Yang ironinya, berita tentang seorang wartawan dipanggil polis untuk siasatan ini timbul sehari sebelum Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang jatuh pada 3 Mei setiap tahun. Adalah tidak masuk akal untuk pihak berkuasa menyiasat wartawan yang hanya melaporkan berita tentang sesuatu insiden yang benar-benar berlaku. Tindakan ini jelas sedang mengancam kekebasan akhbar di negara kita, dan merupakan satu tamparan hebat kepada negara Malaysia yang dikatakan mencapai kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Kebebasan Akhbar tahun ini (yang berada di tempat ke-101, meningkat 22 tangga berbanding dengan tempat ke-123 pada tahun 2019, dan jauh lebih baik berbanding tempat ke-145 pada tahun 2018).
Baru-baru ini, terdapat juga penularan sentimen anti-pelarian dalam media sosial, khususnya mensasarkan pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di Malaysia. Sentimen anti-pelarian ini telah diapi-apikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial, dengan menyebarkan pelbagai berita palsu, fitnah dan kenyataan yang menabur kebencian terhadap golongan pelarian. Perbuatan sebegini telah memperhebatkan prejudis dan sentimen xenofobia dalam kalangan masyarakat Malaysia yang telah dipengaruhi oleh pelbagai retorik perkauman selama ini.
Isu migrasi merupakan satu isu kompleks yang memerlukan penyelesaian dengan penglibatan pelbagai pihak dan mengambilkira semua pemegang taruh, termasuk masyarakat antarabangsa. Tindakan melakukan penangkapan dan penahanan secara besar-besaran tidak akan menyelesaikan masalah ini sekali gus, malah hanya mengundang lebih banyak masalah kemanusiaan kepada golongan yang paling dipinggir di negara kita, khususnya pada ketika negara kita dan seluruh dunia sedang berdepan dengan krisis pandemik.
Gabungan Hak untuk Pembelaan Pekerja Migran telah menyeru untuk menghentikan penangkapan besar-besaran terhadap golongan migran. Kerajaan harus menangani isu pekerja migran tanpa dokumen dengan cara yang rasional dan objektif selepas pandemik COVID-19 berakhir. Pihak berkuasa juga harus menghentikan penahanan pelarian yang memegang kad UNHCR dan pencari suaka yang sedang tunggu untuk diperiksa oleh UNHCR.
Sementara itu, pada ketika seluruh masyarakat perlu berganding bahu untuk menangani wabak COVID-19, kerajaan harus memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) membendung wabak, seperti penjarakan sosial, di pusat-pusat tahanan dan penjara.
One thought on “Penangkapan besar-besaran terhadap migran boleh jejas usaha lawan COVID-19”