Screenshot_2020-04-16 donald-trump-who-1 jpg (WEBP Image, 1200 × 800 pixels) - Scaled (81%)

Pada ketika dunia sedang dilanda pandemik, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pada 14 April 2020 bahawa Kerajaan AS memutuskan untuk menghentikan sumbangan dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pengumuman ini dibuat pada ketika angka kematian seluruh dunia yang disebabkan oleh wabak COVID-19 telah mencecah 130,000 orang, dan negara AS sendiri merupakan negara yang paling teruk dilanda wabak tersebut. Kes positif di AS telah melebihi 600,000 (antaranya lebih 50,000 kes sudah sembuh), dengan jumlah kematian melebihi 28,000. Namun, pada ketika penularan wabak COVID-19 di dalam AS masih belum terkawal, Trump telah meneruskan sandiwara politik sempitnya dengan mengorbankan kepentingan kesihatan rakyat sedunia.

Amat jelas sekali, tindakan Kerajaan AS pimpinan Trump untuk memangsakan WHO merupakan satu gimik untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kegagalan Kerajaan AS membendung penularan wabak COVID-19. Walaupun kes pertama jangkitan COVID-19 yang disahkan di AS pada 20 Januari 2020, tetapi Kerajaan Persekutan AS telah bertindak sambil lewa dalam menghadapi krisis wabak ini. “Pasukan Petugas Koronavirus Rumah Putih” yang diketuai oleh Naib Presiden AS Mike Pence ditubuhkan pada 29 Januari 2020, dan Trump mengumumkan untuk melarang pelawat dari China, namun tidak ada apa-apa lagi yang signifikan selain itu selepas itu untuk beberapa minggu sehingga situasi menjadi semakin serius memasuki bulan Mac 2020. Malah, Trump sendiri pada awalnya menafikan ancaman COVID-19 dengan berulang kali membuat kenyataan bahawa keadaan penularan wabak adalah terkawal, malah dia pada satu ketika menganggap COVID-19 hanya selesema biasa. Trump juga mempermainkan politik sempitnya dengan memanggil Koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2) yang menyebabkan COVID-19 sebagai “Virus China” yang bertujuan untuk menyindir dan menjatuhkan nama sebuah negara yang menjadi pesaing ekonomi kepada negara AS pada ketika ini. Ada juga pegawai kerajaan AS menggunakan panggilan seperti “Virus China” dan “Kung-Flu” untuk memprovokasi sentimen perkauman anti-Asia di negara itu. Kerajaan AS menuduh Kerajaan negara China cuba menyekat informasi ketika wabak koronavirus tercetus di bandaraya Wuhan pada penghujung bulan Disember 2020. Memang Kerajaan China pernah mengambil beberapa tindakan yang tidak menyampaikan maklumat yang sebenar kepada rakyatnya, tetapi maklumat tentang koronavirus itu telah dikongsikan kepada dunia melalui WHO sejak awal lagi. Masalahnya Kerajaan AS hanya menganggap ini hanya masalah China dan berpeluk tangan untuk seketika sebelum keadaan menjadi di luar kawalan di negaranya sendiri.

Trump mahu mencari pihak yang boleh disalahkan untuk mengalihkan tuduhan ke atas kegagalannya dalam menangani wabak COVID-19. Oleh itu, Trump menjadikan kambing hitamnya. Trump menuduh WHO gagal menangani pandemik COVID-19 dan melancarkan satu penyiasatan ke atasnya, maka turut menghentikan sumbangan dana kepada WHO untuk ketika ini. Sesetengah pihak termasuk Kerajaan AS menganggap WHO terlalu dipengaruhi oleh pesaing ekonominya, negara China. Negara AS merupakan penyumbang dana terbesar kepada WHO, menyumbangkan lebih kurang 20% daripada jumlah belanjawan WHO dalam kitaran dua-tahun 2018-2019. AS menyumbangkan sebanyak USD237 juta sebagai bayaran yuran keahlian WHO (22% daripada jumlah bayaran keahlian WHO) dan USD656 juta yang dijanjikan untuk program-program WHO yang tertentu, termasuk pembasmian polito, perkhidmatan kesihatan dan nutrisi, penyakit boleh dicegah dengan vaksin, tuberkulosis, HIV dan sebagainya. Kekurangan dana disebabkan tindakan AS yang langsung tidak bertanggungjawab ini pasti akan memberi kesan yang teruk kepada usaha membendung wabak dan perlindungan kesihatan awam sedunia, khususnya pada negara yang kurang membangun.

Tindakan Kerajaan AS pimpinan yang bersikap pentingkan diri sendiri dan berpolitik sempit ini telah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak. António Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengatakan dalam kenyataannya bahawa WHO “sedang berada di barisan hadapan, menyokong negara-negara anggota dan masyarakat mereka, khususnya negara-negara yang paling lemah antara mereka, dengan panduan, latihan, kelengkapan dan perkhidmatan menyelamatkan nyawa yang nyata.” “Saya percaya bahawa WHO perlu disokong, kerana ia sangat penting kepada usaha dunia untuk memenangi perang ke atas COVID-19,” kata Guterres. “Ini bukan masanya untuk mengurangkan sumber-sumber bagi operasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau mana-mana pertubuhan kemanusiaan yang lain dalam perjuangan melawan virus ini. Seperti yang saya pernah berkata sebelum ini, ini masanya untuk perpaduan dan untuk komuniti antarabangsa bekerja secara bersama-sama dalam solidariti untuk menghentikan virus ini dan kesan-kesannya yang buruk.”

Richard Horton, ketua pengarang jurnal perubatan The Lancet, berkata dalam hantaran twitternya bahawa keputusan Trump untuk menghentikan sumbangan dana kepada WHO merupakan “jenayah kepada kemanusiaan”.

Nampaknya Kerajaan AS pimpinan Trump masih berdegil untuk menjadi pembuli dunia nombor satu dengan pandangan politiknya yang sempit, dan mendatangkan bahaya kepada rakyat seluruh dunia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *