20200417 - 92954522_938817843228714_6537131505175494656_n
(foto oleh Patrick Gherdoussi / Libération)

Pekerja-pekerja Perancis, telah mengambilalih dan menduduki sebuah restoran McDonald’s yang tertutup di bandar Marseille, untuk menukarkannya kepada pusat pengagihan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukannya pada ketika krisis pandemik koronavirus.

Pekerja-pekerja yang mengambilalih restoran McDonald’s yang terletak di kawasan Saint-Barthélemy di utara bandar Marseille ini sejak awal bulan April 2020, mendapat sokongan daripada kumpulan-kumpulan seperti Kesatuan Kejiranan Popular Marseilles (Syndicat des Quartiers Populaires de Marseille, SQPM).

Pekerja-pekerja di Restoran MacDonald’s ini mengumpulkan makanan daripada penduduk-penduduk pekedai-pekedai dan bank makanan yang berdekatan. Makanan yang tidak tahan lama disimpan dalam peti sejuk besar dalam restoran makanan segera yang tertutup itu. Sukarelawan-sukarelawan yang memakai kelengkapan perlindungan diri mengambil giliran 24 jam sehari untuk menerima sumbangan barangan dan makanan, kemudiannya diagihkan dalam bentuk kotak, sama ada secara penghantaran terus atau melalui kumpulan-kumpulan penduduk, kepada mereka yang memerlukan makanan di kawasan kejiranan yang berdekatan. Kawasan Saint-Barthélemy dan kawasan lain di utara bandar Marseille merupakan kawasan penumpuan kelas pekerja yang kebanyakannya miskin dan agak terjejas. Kadar pengangguran di situ mencecah 25%, jauh lebih tinggi daripada kadar purata seluruh negara Perancis 8.5%. Ramai penduduk di situ menghadapi masalah untuk menampung keperluan harian mereka, dan 39% daripada penduduk tempatan hidup di bawah garis kemiskinan. Penularan wabak COVID-19 memburukkan lagi keadaan hidup penduduk di situ, dengan ramai orang hanya mendapat sokongan yang amat terhad.

Salim Grabsi, seorang aktivis SQPM yang merupakan salah seorang penggerak pengambilalihan restoran McDonald’s ini, berkata, “Kami menerima banyak makanan yang dihantar kepada kami. Kami mempunyai makanan yang mencukupi untuk mengisi ratusan kotak sehari.”

Kamel Guemari, seorang aktivis kesatuan sekerja tempatan, berkata, “Dalam keadaan kecemasan sebegini, jika kita tidak mengambil tindakan untuk membantu kejiranan kita, siapa akan buat?”

Pihak pengurusan syarikat McDonald’s di Perancis telah membantah tindakan pengambilalihan restoran oleh pekerka-pekerjanya, namun para pekerja tidak mempedulikannya dan terus mengambilalih restoran tersebut untuk membantu rakyat tempatan yang memerlukan bantuan. Yang ironinya, ketika pihak pengurusan restoran hendak mengekalkan restoran McDonald’s di Saint-Barthélemy, syarikat McDonald’s sedang cuba membuka semula restoran-restoran lain di Perancis, bukan untuk membantu rakyat tetapi hanya untuk meneruskan bisnisnya untuk mengaut keuntungan. Kesatuan sekerja di Perancis telah memberi amaran bahawa tindakan McDonald’s hendak membuka semula restoran mendatangkan risiko yang tidak perlu kepada pekerja-pekerjanya.

Pekerja-pekerja di restoran McDonald’s di Saint-Barthélemy yang bergabung dalam kesatuan memang agak berani melawan pihak pengurusan McDonald’s sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam beberapa insiden. Pekerja-pekerja McDonald’s di Saint-Barthélemy pernah berjuang pada tahun 2018 untuk menghalang penjualan restoran tersebut yang membawa risiko pembuangan pekerja. Kesatuan pekerja McDonald’s juga berjuang untuk menuntut pengiktirafan kesatuan dan memperbaiki syarat-syarat kerja. Kemudiannya berlaku insiden aktivis kesatuan Kamel Guemari hampir dilanggar kereta di tempat letak kereta, dan satu kes cubaan membunuh aktivis kesatuan itu telah difailkan. Syarikat McDonald’s telah dituduh cuba menyingkirkan Kamel Guemari yang memimpin perjuangan kesatuan pekerja, dan didakwa cuba membuat testimoni palsu untuk memecatnya.

20200417 - 92948159_938817836562048_4928341716504674304_o
(Foto arkib lama) Pekerja-pekerja restoran McDonald’s di Saint-Barthélemy semasa memprotes terhadap pihak pengurusan McDonald’s pada tahun 2018. Sepanduk di tengah itu tertulis perkataan dalam Perancis yang bermaksud “Kami mahukan hak yang samarata untuk semua orang di mana-mana sahaja!” Sepandok yang di kanan pula tertulis “(McDonald’s) mengelak cukai. Kami kerja di sini. Kami tinggal di sini. Kami rehat di sini.”

Negara Perancis merupakan negara yang kelima teruk dilanda pandemik COVID-19 pada ketika ini dengan lebih 108 ribu orang disahkan dijangkiti virus SARS-CoV-2 sejak kes pertama dilaporkan pada 24 Januari 2020, dan hampir 18 ribu orang mati kerananya (mengikut statistik sehingga 17 April 2020). Pekerja-pekerja Perancis menerima impak yang teruk akibat daripada kegagalan Kerajaan Perancis untuk menangani krisis ini, dan pihak majikan pula bergegas untuk membuka semula bisnis untuk pengeluaran bukan industri penting tanpa mengambilkira kesihatan ribuan pekerja. Berbeza dengan pihak majikan yang menumpu pada keuntungan, pekerja-pekerja McDonald’s di Marseilles mengambilalih tempat kerja mereka, bukan untuk menjana apa-apa keuntungan, tetapi untuk menggunakan apa yang ada pada mereka untuk menangani krisis ini dengan membantu sesiapa yang memerlukan bantuan.

Pekerja-pekerjalah yang berada di posisi yang paling sesuai dalam menyusun semula pengagihan sumber masyarakat, bukan untuk keuntungan pemodal tetapi untuk membantu rakyat dalam mengharungi krisis. Inilah solidariti pekerja yang sebenar!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *