Sejak kewujudannya, perkembangan ekonomi kapitalis berlaku secara tidak seimbang, dan bukannya dalam satu garis lurus. Ekonomi kapitalis tidak bergerak menuju ke depan secara berterusan, licin dan stabil.  Era pengembangan ekonomi dan era kemelesetan ekonomi muncul secara selang-seli. Selain daripada turun-naik jangka masa pendek dalam kitaran perniagaan (business cycle, di mana muncul hampir setiap 10 tahun sekali sebelum ini, dan sekarang ini lebih kurang 4-5 tahun sekali), juga wujudnya turun-naik jangka masa panjang dalam ekonomi kapitalis. Ini dikenali sebagai “gelombang panjang” (long wave) dalam perkembangan kapitalisme.

Alexander Parvus (1867-1924), seorang Marxis Rusia, telah membangunkan hipotesis tentang gelombang panjang dalam kitaran ekonomi pada tahun 1890-an. Hipotesisnya kemudian diambilalih dan dibangunkan selanjutnya oleh J. Van Gelderen (1891-1940), seorang ahli ekonomi Belanda, dalam tulisannya yang diterbitkan pada tahun 1913. Namun, perbincangan mereka tentang kitaran panjang ekonomi tidak mendapat perhatian bidang akademik pada masa itu, kerana ekonomi kapitalis di Eropah pada masa itu masih berada dalam era pengembangannya yang “makmur”.

Apabila ekonomi kapitalis dunia mengalami kemelesetan pada era antara dua Perang Dunia, teori gelombang panjang mulai mendapat perhatian. Nikolai Kondratiev (1892-1938), seorang ahli ekonomi Rusia, telah mengemukakan pelbagai data empirikal dan membuktikan secara sistematik bahawa wujudnya gelombang panjang dalam perkembangan ekonomi dunia. Kondratiev mencadangkan bahawa wujudnya kitaran ekonomi jangka masa panjang selama 50-60 tahun, (termasuk pengembangan dan kemelesetan), yang dikenali sebagai Gelombang Kondratiev.

20200402 - 1ffc432a3c9587e07509a3635b2b81b2
Gelombang Kondratiev

 

Kondratiev telah mengenalpasti 3 fasa dalam kitaran:

  1. Pengembangan (expansion)
  2. Genangan(stagnation)
  3. Kemelesetan(recession)

Terdapat satu tempoh antara fasa 1 dan fasa 2 yang dikenali sebagai titik perubahan (turning point), iaitu waktu di mana berlakuknya keruntuhan ekonomi.

Kondratiev dalam penulisannya pada tahun 1920-an, telah menggunakan teorinya untuk menerangkan perkembangan kitaran ekonomi dalam gelombang panjang pada abad ke-19:

  • 1790-1849, dengan tahun 1815 sebagai titik perubahan.
  • 1850-1896, dengan tahun 1873 sebagai titik perubahan.
  • Kitaran baru bermula pada 1896.

Kondratiev menumpukan perbincangan tentang gelombang panjang pada harga dan kadar faedah. Fasa pengembangan dicirikan oleh peningkatan dalam harga barang dan kadar faedah yang rendah, manakala fasa kemelesetan memperlihatkan penurunan dalam harga dan kadar faedah yang tinggi.

Kondratiev memberi dua penjelasan bagaimana gelombang panjang boleh terjadi:

  1. Perniagaan cenderung untuk melabur terlalu banyak pada kemuncak gelombang panjang, dan dengan itu menghabiskan sumber-sumber yang ada. Ia perlu tunggu sehingga gelombang panjang mencecah dasarnya supaya lebih sumber boleh dikumpulkan untuk pelaburan selanjutnya.
  2. Pada peringkat yang tertentu dalam gelombang panjang, wujudnya lebih inovasi dalam pasaran yang membawa kepada kemakmuran ekonomi. Apabila inovasi berkurang, ekonomi turut menjunam.

Selepas Kondratiev, terdapat cendekiawan daripada pelbagai aliran turut mengkaji persoalan tentang gelombang panjang, mereka termasuklah Joseph Schumpeter (1883-1950), Léon H. Dupriez (1901-1986) dan Leon Trotsky (1879-1940). Apabila kapitalisme Eropah dan Amerika Syarikat melangkah ke zaman kemakmuran yang baru selepas Perang Dunia II, kajian tentang teori gelombang panjang ini hampir “dilupakan”, namun Ernest Mandel (1923-1995), seorang ahli ekonomi Marxis di Belgium, telah menjadi satu-satunya cendekiawan yang memberi perhatian banyak dalam mengkaji teori gelombang panjang.

Trotsky yang tidak bersetuju dengan Kondratiev, telah menggunakan Teori Krisis Kapitalisme untuk menerangkan gelombang panjang. Teori ini berasaskan pandangan bahawa sistem kapitalis itu adalah tidak stabil. Mengikut Trotsky, fasa penurunan dalam gelombang panjang adalah disebabkan krisis dalam sistem kapitalis itu sendiri dan akan menyebabkan kehancurannya; hanya dengan penemuan sumber-sumber baru, seperti minyak petroleum atau emas, dapat menyelamatkan kapitalisme sebelum itu, dan membawa kepada kemakmuran baru dalam pengembangan gelombang panjang.

Debat antara Kondratiev dan Trotsky tentang gelombang panjang

Pandangan Kondratiev: Teras untuk teorinya adalah pelaburan modal – apabila ekonomi berada pada tahap kemakmuran, akan wujudnya pelaburan sumber modal yang terlampau banyak, sehingga mewujudkan fasa kemelesetan, di mana modal yang berlebihan akan dibatalkan dalam kemelesetan; simpanan sumber modal yang dikumpulkan kerana penurunan nilai modal semasa fasa kemelesetan, kemudiannya akan dipusatkan untuk pelaburan secara besar-besaran, sehingga mewujudkan fasa pengembangan yang baru.

Pandangan Trotsky: Gelombang panjang adalah produk daripada kecenderungan penurunan kadar keuntungan purata. Fasa kemelesetan yang panjang tidak akan membawa kepada satu fasa pengembangan yang baru secara automatik dan timbul secara dalaman daripada sistem kapitalis. Perlunya faktor luaran yang mewujudkan syarat-syarat jangka masa panjang untuk memudahkan pengumpulan modal, supaya ekonomi kapitalis dapat memasuki fasa pengembangan yang baru.

Dalam gelombang panjang dengan fasa pengembangan dan fasa kemelesetan, masih wujudnya kitaran perniagaan yang pendek, hanya terdapat perbezaan dari segi tempoh masa dan magnitud untuk kemakmuran dan kemelesetan. Dalam fasa pengembangan gelombang panjang, tempoh masa untuk keadaan ekonomi melambung naik lebih panjang dan magnitudnya lebih jelas, tempoh kemelesetan lebih pendek dan tidak begitu teruk; manakala dalam fasa kemelesetan gelombang panjang, keadaan adalah sebaliknya, tempoh kemakmuran berkurang dengan hebatnya dan krisis semakin teruk.

Gelombang panjang dalam sejarah dunia moden

Setakat ini, wujudnya sekurang-kurang 5 kali gelombang panjang dalam ekonomi kapitalis global:

i. Gelombang panjang pertama

Fasa pengembangan   1789-1816

Fada kemelesetan   1816-1848

ii. Gelombang panjang kedua

Fasa pengembangan   1848-1873

Fada kemelesetan   1873-1896

iii. Gelombang panjang ketiga

Fasa pengembangan   1896-1913

Fada kemelesetan   1913-1945

iv. Gelombang panjang keempat

Fasa pengembangan   1940/45 – 1967/73

Fada kemelesetan   1968/72 – 1989/91

v. Gelombang panjang kelima

Fasa pengembangan   1991 – 2008

Fada kemelesetan     2008 – ???

Mandel membuat ramalan pada tahun 1964 bahawa fasa pengembangan ekonomi kapitalis pasca Perang Dunia II akan berakhir pada penghujung tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an, memasuki fasa kemelesetan yang baru. Fasa kemelesetan jangka masa panjang untuk ekonomi kapitalis sedunia bermula sejak krisis minyak pada tahun 1973. Fasa kemelesetan selepas tahun 1973, ditandakan dengan berakhirnya ekonomi Keynesian dan bermulanya “kebangkitan” ekonomi neoliberal. Era ini diwar-warkan oleh media arus perdana sebagai era “globalisasi”. Namun, “globalisasi” ini sebenarnya hanya merupakan satu kata ganti nama untuk gelombang panjang kemelesetan yang terbaru. Fasa kemelesetan ini tidak berakhir dengan kejatuhan Tembok Berlin dan “kemenangan” pasaran bebas di seluruh dunia, malah menjadi semakin serius apabila melangkah masuk ke abad ke-21.

ernest-mandel-e2188a5f-45cc-4ad2-9036-eb22b253218-resize-750
Ernest Mandel

Teori gelombang panjang yang dikembangkan oleh Mandel amat berbeza dengan teori yang dibawa oleh aliran lain. Mandel melanjutkan teorinya daripada “Teori Krisis Kapitalisme” yang dibangunkan oleh Trotsky. Teori gelombang panjang Mandel adalah “bukan bersifat penentu” (non-deterministic), iaitu tiada apa-apa perkara yang boleh menjamin bahawa gelombang panjang kemelesetan akan akhirnya memberi laluan kepada gelombangan panjang pengembangan yang baru.

Mandel juga mengkaji fenomena gelombang panjang melalui kadar pengumpulan modal dan perubahan pada kadar keuntungan. Oleh itu, Mandel mengatakan bahawa peralihan kapitalisme dari gelombang panjang pengembangan kepada gelombang panjang kemelesetan, adalah hasil daripada hukum operasi ekonomi kapitalis, iaitu penurunan berterusan kadar keuntungan purata. Walaupun dari gelombang panjang pengembangan kepada gelombang panjang kemelesetan itu adalah hasil “secara dalaman” hukum ekonomi kapitalis, tetapi untuk gelombang panjang kemelesetan beralih ke gelombang panjang pengembangan pula, bukannya dimulakan secara automatik daripada kuasa penggerak dalamannya.

Kejutan sistem dalam gelombang panjang

Syarat yang diperlukan bagi mewujudkan momentum untuk gelombang pengembangan yang baru, adalah faktor bukan ekonomi, iaitu “kejutan sistem”. Kejutan sistem yang dimaksudkan ini termasuklah perang penaklukan yang dilancarkan oleh kuasa imperialis untuk merampas wilayah jajahan baru, penemuan sumber asli yang baru, ataupun berlakunya peristiwa masyarakat yang hebat seperti revolusi, revolusi balas dan sebagainya.

Mari kita lihat bagaimana 5 kali gelombang pengembangan kapitalisme dalam sejarah itu berlaku:

  1. Pada tahun 1789, tercetusnya Revolusi Perancis, sistem demokratik borjuasi mula bertapak di Eropah Barat dan Amerika Syarikat. Ini menyediakan asas sistem politik yang mendorong gelombang pengembangan pertama dalam ekonomi kapitalis.
  2. Pada tahun 1848, tercetusnya gelombang Revolusi Eropah yang menular ke seluruh benua itu, dan juga penemuan lombong emas di California. Ini  secara tiba-tiba memperluaskan pasaran dunia untuk ekonomi kapitalis. Kadar keuntungan purata meningkat secara mengejut, skop perindustrian negara barat telah diperluaskan, sehingga mencetuskan Revolusi Industri, dan meningkatkan kadar perolehan modal.
  3. Gelombang pengembangan pada tahun 1890-an, disebabkan oleh penaklukan dan penjajahan secara besar-besaran oleh kuasa imperialis ke atas wilayah-wilayah di Asia dan Afrika. Penyebaran penjajahan secara meluas, membuka jalan keluar untuk modal yang berlebihan, dan membekalkan kuasa-kuasa imperialis dengan bahan mentah berharga rendah yang diperah dari tanah jajahan. Oleh sebab kemunculan keadaan yang menguntungkan modal, maka memberi peluang kepada revolusi teknologi baru, iaitu penciptaan kuasa elektrik. Ini telah membolehkan kadar keuntungan berasa pada tahap yang tinggi untuk satu jangka masa yang panjang.
  4. Titik perubahan pada tahun 1940-an, juga bukan disebabkan oleh hukum ekonomi kapitalis. Pada tahun 1930-an hingga 1940-an, perluasankuasa fasis, Perang Dunia II, permulaan Perang Dingin dan kemunculan McCarthyisme di Amerika Syarikat, semuanya memberi impak yang amat hebat kepada gerakan kelas pekerja antarabangsa, sehingga membolehkan kadar nilai surplus yang diperah oleh kelas kapitalis meningkat secara mendadak.
  5. Kejatuhan negara-negara yang diperintah oleh parti komunis di Eropah Timur pada penghujung tahun 1980-an, telah mengubah imbangan kuasa di dunia dan membuka pintu kepada fasa pengembangan ekonomi kapitalis global yang baru. Pembangunan pesat teknologi maklumat (IT) juga menjadi pemangkin kepada pengembangan ekonomi dunia.

Amat jelas sekali, 5 gelombang pengembangan yang berlaku sebelum ini tidak dihasilkan secara automatik apabila gelombang kemelesetan mencecah garisan penamatnya, malah disebabkan oleh berlakunya peristiwa bersejarah yang mempunyai kuasa kejutan yang amat hebat.

Fasa pengembangan dalam gelombang panjang juga berkaitan rapat dengan peperangan. Kondratiev sendiri mengatakan bahawa, perluasan pengeluaran mendorong modal untuk mencari pasaran baru dan bahan mentah baru, sehingga menimbulkan ketegangan di peringkat antarabangsa. Immanuel Wallerstein (1930-2019), ahli sains sosial yang membangunkan “Teori Sistem Dunia”, juga berhujah bahawa kekerapan perang berhubungkait rapat dengan gelombang panjang ekonomi kapitalis, iaitu peperangan besar-besaran biasanya akan tercetus sebelum memasuki peringkat peningkatan pengeluaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *