Screenshot_2020-04-11 https d1e00ek4ebabms cloudfront net production 70a92fa2-5c24-4be7-927b-25cb0521d267 jpg (WEBP Image, [...]
(foto oleh Yamil Lage/AFP/Getty)
Sekatan ekonomi yang dikenakan oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) ke atas negara-negara yang tidak sehaluan dengannya sedang mengganggu usaha negara-negara tersebut dalam menghadapi ancaman pandemik COVID-19.

“Pengenaan sekatan ekonomi melumpuhkan yang berterusan menjejaskan secara teruk hak asasi rakyat biasa untuk mendapatkan makanan yang mencukupi,” begitu katanya Hilal Elver, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak untuk Makanan.

Ketika dunia sedang menghadapi pandemik COVID-19, adalah perlu untuk kita sedar bahawa ramai orang yang terperangkap dalam konflik, terutamanya mereka yang berada di kem pelarian di seluruh dunia, seperti di negara Yaman, Sudan Selatan, Gaza dan Syria, yang telah mengalami kesukaran teruk untuk mendapat jaminan hak makanan mereka.

Sejarah telah menunjukkan bahawa sekatan ekonomi unilateral mendatangkan kesan dramatik dan memudaratkan ekonomi, sosial dan kebudayaan. Kesejahteraan orang awam amat terancam kerana sekatan ekonomi yang dikenakan oleh kuasa-kuasa besar.

Jawatankuasa Penganjur Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa telah melancarkan satu kempen twitter pada 9 April 2020 dengan seruan “Hentikan Sekatan, Selamatkan Nyawa!” (#EndSanctionsSaveLives) untuk memberi kesedaran tentang kejahatan tindakan sekatan ekonomi dan ancaman yang dikenakan oleh kuasa imperialis (seperti AS, Israel dan negara anggota Kesatuan Eropah) ke atas negara seperti Venezuela, Kuba, Iran dan Gaza (Palestin), serta kesan buruk sekatan ini ke atas negara-negara berkenaan.

Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB yang merupakan bekas Presiden Chile, menyatakan bahawa “sangat penting untuk mengelakkan keruntuhan sistem perubatan di mana-mana negara – memandangkan kes kematian, penderitaan dan penularan wabak lebih meluas  yang membawa kesan meletup.”

Bachelet telah menyeru untuk melonggarkan sekatan supaya membolehkan sistem perubatan melawan COVID-19 dan mengehadkan penularan di peringkat global. “Dalam konteks pandemik global, menghalang usaha perubatan di satu negara akan meningkatkan risiko untuk kita semua,” kata Bachelet.

António Guterres, Setiausaha Agung PBB juga membuat seruan yang serupa, “saya menggalakkan pengecualian sekatan yang dikenakan ke atas negara untuk memastikan akses kepada makanan, bekalan kesihatan utama dan sokongan perubatan COVID-19. Ini adalah masa untuk solidariti dan bukan untuk penyingkiran.”

20200411- 92547595_10159528912652388_4323444844727894016_n
Doktor-doktor Venezuela menjalankan lawatan rumah ke rumah untuk mengesan kes COVID-19.

Venezuela

  • Lebih daripada 300,000 orang rakyat Venezuela dilaporkan menghadapi risiko kesihatan kerana kekurangan akses kepada ubat-ubatan atau rawatan.
  • Sekatan berterusan yang dikenakan oleh imperialis AS ke atas Venezuela mungkin menyebabkan lebih daripada 100,000 kematian rakyat Venezuela pada tahun 2020 akibat kekangan akses kepada ubat-ubatan tepat pada masanya.
  • Sekatanyang dikenakan oleh AS adalah ugutan yang mempunyai akibat yang amat teruk bagi rakyat Venezuela. Hak Venezuela untuk mendapatkan ubat atau peralatan perubatan ditolak atas kehendak AS.

Iran

  • Perangkaan rasmi menunjukkan bahawa pada 10 April2020, seramai 68,192 orang di Iran dijangkiti virus dan 4,232 orang telah meninggal dunia kerana COVID-19, walaupun angka sebenar mungkin lebih tinggi.
  • Hampir 50 orang dijangkiti virus dalam masa sejam dan seorang mati akibat COVID-19 setiap 10 minit di Iran.
  • Keupayaan sistem kesihatan Iran telah merosot secara mendadak akibat ekatan ekonomi AS. Negara itu tidak dapat membiayai barang import kemanusiaan, termasuk ubat-ubatan dan peralatan perubatan.
  • Kenneth Roth, Pengarah Eksekutif Human Rights Watch menyatakan, “Adalah salah dan tidak bertanggungjawab untuk pentadbiran Trump menimbulkan kesengsaraan rakyat Iran dengan menghalang mereka daripada mendapat sumber-sumber perubatan kritikal yang diperlukan segera.”
  • Sebelum tercetus wabak COVID-19 lagi, sistem kesihatan Iran telah merasai tekanan kesan daripada sekatan. Impak ke atas mereka kini menjadi semakin teruk kerana sekatan yang menjejaskan keupayaan kerajaan untuk mengumpul dana atau mengimport barang keperluan.
  • Sekatan AS secara khusus telah menghalang Iran dalam membeli peralatan seperti ventilator, pengimbas CT, peralatan penyahcemaran, dan alat pernafasan bertopeng penuh yang penting semasa kecemasan kesihatan.
  • Pada 17 Mac 2020, AS mengenakan sekatan ke atas lima buah firma dari UAE yang berdagang dengan Iran ketika Iran sudah terperangkap dalam masalah wabak COVID-19.

Palestin

  • Walaupun ketika menghadapi pandemik COVID-19, Israel masih meneruskan kempen penjajahan dan keganasan di bumi Palestin. Pembinaan penempatan dan pencerobohan tanah secara haram serta tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin oleh tentera dan peneroka Israel masih berlarutan.
  • Bayangkan 2juta orang yang tinggal di kawasan seluas hanya 365 kilometer persegi, bermaksud kira-kira 5,400 orang setiap kilometer persegi, menjadikannya tempat yang paling padat penduduk di planet ini. Gaza bagaikan penjara yang terbesar di dunia. Penduduk Gaza tidak dapat melarikan diri dari sangkar yang telah dikunci.
  • Israel mengehadkan pintu masuk untuk SEMUA barang ke Gaza termasuk makanan, ubat, bekalan perubatan, minyak, gas dan barang keperluan lain.
  • Sumber elektrik juga dikawal ketat di Gaza oleh Israel. Kebanyakan orang hanya mempunyai 2-3 jam setiap hari untuk menggunakan Hospital hanya dapat beroperasi dengan alat penjana elektrik sendiri.
  • Israel masih menyekat masuk bahan binaan walaupun infrastruktur penting telah dimusnahkan di Gaza menerusi pengeboman udara.
  • Kemudahan kesihatan Gaza sangat Banyak hospital telah disasarkan dan dimusnahkan sepanjang kempen pengeboman oleh Israel.
  • Di Gaza, sebahagian besar penduduk hidup dalam kemiskinan dan duduk dalam jarak yang rapat, terutama di dalam kem pelarian. Malah, air merupakan sumber yang sukar diperolehi di Gaza. Dan setelah tiga kali peperangan, sejumlah besar penduduk Gaza tidak lagi mempunyai rumah sebagai tempat tinggal diri sendiri.
  • Kekurangan sumber bekalan di Gaza dan sistem kesihatan yang runtuh akan memburukkan lagi penyebaran viruspenyakit COVID-19. Pembatalan sekatan diperlukan untuk menangani apa yang mungkin menjadi bencana kemanusiaan terbesar dalam sejarah Gaza.
  • Serangan terus berlaku semasa krisis koronavirus. Antara 17 hingga 30 Mac 2020, peneroka Israel melancarkan sekurang-kurangnya 16 serangan dan menyebabkan 5 orang warga Palestin cedera di samping kerosakan harta benda yang teruk.
  • Israel mengambil kesempatan daripada krisis koronavirus untuk mempercepatkan pembinaan penempatan haram, perobohan rumah orang Palestin, pemusnahan tanaman, pemindahan tahanan Palestin dan pencerobohan.

Kuba

  • Sekatan AS ke atas negara Kubayang berdekad lama telah menghalang pembelian teknologi, bahan mentah, bahan uji, alat diagnostik, peralatan dan alat ganti, serta ubat untuk merawat penyakit serius seperti kanser.
  • Kuba berjaya menghantar pasukan perubatan yang terdiri seramai 593 orang pekerja kesihatan ke 14 buah negara dalam masa seminggu untuk menyokong operasi memerangi COVID-19 walaupun terdapat sekatan.
  • Sekatan AS merupakan salah satu serangan ke atas usaha Kuba yang sedang memerangi COVID-19. Ketibaan penutup muka, kit diagnostik dan alat pernafasan yang disumbang oleh Yayasan Alibaba merupakan salah satu contoh solidariti antarabangsa.
  • Embargo AS dipercayai menyebabkan Kuba menampung kerugian lebih USD130 bilion dalam masa enam dekad yang lalu.

Utamakan nyawa rakyat, hentikan ancaman imperialis! 

Setiausaha Agung PBB António Guterres telah menyeru untuk gencatan senjata global pada 23 Mac 2020, untuk memerangi ancaman pandemik COVID-19. “Keganasan virus ini menggambarkan kebodohan peperangan,” kata Guterres. “Itulah sebabnya kenapa hari ini, saya menyeru untuk gencatan senjata di seluruh pelusuk dunia. Ini masanya untuk mengenakan sekatan ke atas konflik bersenjata dan fokus bersama-sama pada perjuangan sebenar untuk nyawa kita.”

Dunia kita bukan sahaja perlu melakukan gencatan senjata untuk perang yang melibatkan operasi ketenteraan, tetapi juga perlu menghentikan “Perang Hibrid” yang dilancarkan oleh kuasa imperialis AS ke atas negara-negara yang tidak sehaluan dengan kepentingannya, termasuk sekatan ekonomi yang berterusan.

Kegilaan kuasa imperialis tidak akan menyelamatkan nyawa rakyat, malah menjejaskan usaha kita dalam memerangi ancaman kesihatan awam. Dalam keadaan krisis global, kita perlu memperhebatkan usaha kita mencabar kekuasaan imperialis dan membina solidariti antarabangsa yang mampu menyelamatkan dunia kita daripada kehancuran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *