20200223 - coronavirus-2

Pekerja-pekerja pembersihan yang ditempatkan di jabatan hospital yang disahkan terdapat jangkitan COVID-19 dalam kalangan kakitangan, dinafikan saringan COVID-19 oleh pihak syarikat kontraktor yang mengupah mereka. Adakah syarikat kontraktor Edgenta UEMS tidak mempedulikan keselamatan dan nyawa pekerjanya?

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah pada hari ini (25-3-2020), seramai 37 orang petugas kesihatan di Hospital Teluk Intan disahkan positif jangkitan virus COVID-19.

Petugas-petugas yang dijangkiti COVID-19 ini adalah dari Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan. 37 orang berkenaan telah diarahkan untuk dikuarantin dan sebahagian daripada mereka dihantar ke Hospital Ipoh untuk rawatan selanjutnya.

Tetapi, seramai 7 orang pekerja pembersihan di Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan dilarang daripada ujian saringan COVID-19 oleh penyelia Edgenta UEMS di hospital tersebut. Alasan yang diberi oleh penyelia Edgenta UEMS adalah sekiranya pekerja disuruh untuk bercuti, maka tiada pengganti untuk melakukan kerja mereka.

Selain Jabatan Keselamatan, petugas-petugas kesihatan di Jabatan X-Ray Hospital Teluk Intan juga diarahkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19. Namun, seorang pekerja pembersihan yang ditempatkan di Jabatan X-Ray juga dilarang untuk melakukan saringan.

Pekerja-pekerja pembersihan juga merupakan sebahagian daripada barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus dalam usaha melawan wabak COVID-19, tetapi kumpulan pekerja bawahan ini telah diabaikan dan tidak diberi kelengkapan yang sama seperti petugas barisan hadapan yang lain.

Kenapa timbul keadaan ini? Kenapa pekerja pembersihan langsung tidak diberi perhatian, dan sekarang ini kesihatan mereka pula diabaikan oleh majikan?

Masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Teluk Intan, jelas merupakan kecuaian dan tindakan sambil lewa daripada pihak majikan, Edgenta UEMS.

Edgenta UEMS, anak syarikat UEM Edgenta Berhad, ialah pemegang kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital kerajaan di negeri Utara Pantai Barat Semenanjung termasuk negeri Perak, sejak 1 Januari 2020. Kontrak perkhidmatan pembersihan ini adalah disubkontrakkan daripada Edgenta Mediserve, juga anak syarikat UEM Edgenta, yang yang memegang konsesi untuk perkhidmatan sokongan hospital-hospital di negeri-negeri Utara Pantai Barat Semenanjung untuk selama 15 tahun. UEM Edgenta pula merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki penuh oleh Khazanah Nasional. Kenapa syarikat GLC ini tidak mempedulikan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja bawahan yang diupahnya pada saat-saat genting ini?

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) menyeru pada Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan serta-merta terhadap kecuaian ini dan memperbetulkan keadaan demi menjamin keselamatan pekerja-pekerja pembersihan di barisan hadapan perjuangan menentang COVID-19.

One thought on “Kenapa Edgenta UEMS abaikan kesihatan pekerja pembersihan di Hospital Teluk Intan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *