Wakil daripada Forum Kesihatan Rakyat (People’s Health Forum) telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri Malaysia pada 20 Mac 2020, yang mengemukakan cadangan mengenai langkah-langkah tambahan yang harus dilaksanakan untuk mengawal wabak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19). Memorandum tersebut disokong oleh 52 buah organisasi dan 56 orang individu.
Forum Kesihatan Rakyat ialah satu inisiatif yang diwujudkan oleh beberapa organisasi dan individu yang memperjuangkan hak asasi manusia untuk kesihatan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga merupakan salah sebuah organisasi yang memulakan dan menyertai inisiatif ini.
Organisasi-organisasi dan individu-individu yang menandatangani memorandum ini merakamkan penghargaan mereka setinggi-tingginya terhadap usaha yang telah dan sedang diambil oleh kakitangan dalam Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani wabak COVID-19. Langkah-langkah KKM untuk mengesan dan merawat kes, mengenalpasti dan mengasingkan kontak, telah memainkan peranan besar dalam menyekat penularan penyakit ini dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, ahli-ahli akademik, aktivis-aktivis kesihatan dan para pengamal perubatan sedang mengikuti perkembangan wabak COVID-19 yang sedang menular di Malaysia dan juga di peringkatan antarabangsa. Oleh yang demikian, melalui surat yang diserahkan kepada Kerajaan Malaysia ini, mereka yang prihatin telah mengemukakan berapa cadangan mengenai langkah-langkah tambahan yang harus dilaksanakan untuk memantapkan lagi respons negara kita dalan mengawal ancaman kesihatan serius ini.
Cadangan mengenai langkah-langkah tambahan untuk menangani wabak COVID-19 adalah seperti berikut:
1. Berkaitan pengasingan kontak kes-kes COVID-19
Pengumuman Menteri Kesihatan pada 11 Mac 2020 berkaitan penubuhan Tabung COVID- 19 di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk membantu pesakit dan kontak COVID-19, adalah dialu-alukan. Namun, usaha ini harus diperkukuhkan dengan:
- Penubuhan jawatankuasa bersama di peringkat bandar/daerah yang melibatkan Jabatan Kesihatan, Pihak BerkuasaTempatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menghubungi kontak-kontak (melalui telefon), mengenalpasti keperluan mereka dan menghantar ke rumah-rumah mereka bekalan makanan, ubat-ubatan yang biasa diambil mereka, dan barangan keperluan lain bagi mereka yang tidak mempunyai ahli keluarga yang boleh menjalankan tugasan.
- Pembukaan asrama sementara untuk menempatkan kontak-kontak yang duduk di dalam keadaan rumah yang sesak, seperti rumah pangsa kos rendah di mana pengasingan yang berkesan tidak dapat diamalkan (kerana rumah kecil dan harus berkongsi tandas ). Asrama pusat sukan atau asrama kolej tempatan harus diambilalih buat sementara untuk tujuan menempatkan kontak-kontak yang tidak mampu mengasingkan dirinya di rumahnya supaya penularan virus Covid 19 dapat dihentikan.
2. Perintah Kawalan Pergerakan
Keputusan kerajaan untuk mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 hingga 31Mac 2020, adalah diterima baik. Ini merupakan langkah yang amat perlu pada takat ini untuk menyekat dan memberhentikan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat. Jika tindakan tegas ini tidak diamalkan, penularan COVID-19 akan membebankan perkhidmatan kesihatan kerajaan ke tahap menjejaskan rawatan yang diberikan kepada pesakit barah, pesakit HIV dan pesakit kronik lain yang sedang dirawati di hospital-hospital kita.
Namun, ada beberapa isu penting yang tidak diperjelaskan dalam pengumuman Perdana Menteri pada 16 Mac 2020. Antaranya:
- Situasi pekerja harian, terutama pekerja wanita di sektor perkhidmatan di bandar,umpamanya pembantu di restoran dan kedai kopi. Gaji mereka dikira setiap hari, dan jika kedai makan itu ditutup, mereka tidak akan dibayar sebarang pampasan. Ramai antara mereka akan menghadapi masalah dalam menampung keperluan anak-anak mereka dalam dua minggu sepanjang tempoh Perintahan Kawalan Pergerakan.
- Kita harus mempertimbangkan juga situasi pekerja-pekerjadengan gaji bulanan di kilang-kilang, kedai-kedai jualan barang dan premis lain yang akan diberi cuti oleh majikan mereka oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan ini. Situasi mereka harus diperjelaskan. Adakah cuti yang mereka diberi ini cuti tanpa gaji, ataupun cuti bergaji? Bagaimana pula dengan majikan yang sedang menghadapi masalah kekekangan wang (cash flow) kerana tiada perniagaan tetapi kena membayar sewa dan gaji?
- Ada ramai pembeli rumah yang akan menghadapi masalah melaksanakan bayaran ansuran terhadap pinjaman rumah mereka ataupun pinjaman perniagaan bagi bulan ini dan bulan hadapan kerana pendapatan mereka mengecut. Situasi mereka juga harus diambil berat dan ditangani.
Syor Forum Kesihatan Rakyat untuk menangani isu-isu ini adalah:
- Pemberian catuan (ration) makanan untuk semua keluarga yang menghadapi masalah memperolehi bahan makanan kerana tiada wang. Jawatankuasa di peringkat daerah harus ditubuhkan dengan penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO-NGO kebajikan di daerah tersebut untuk mengenalpasti keluarga-keluarga yang sedang menghadapi masalah ini. Peruntukan yang mencukupi harus disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk melaksanakan program ini.
- Majikan dengan jualan yang melebihi RM 300,000 setahun harus dikehendaki membayar gaji pokokpenuh untuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Manakala majikan yang lebih kecil boleh diberi kelonggaran untuk membayar gaji separuh semasa tempoh penutupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Bank SME ataupun sebuah institusi yang serupa harus menyediakan satu dana khas untuk dipinjam kepada majikan-majikan yang menghadapi masalah “aliran tunai” (cash-flow) supaya mereka dapat membayar gaji pekerja mereka. Pinjaman ini harus dikenakan kadar bunga yang serendah mungkin.
- Semua bank mesti diberi arahan untuk tidak mengenakan sebarang penalti terhadap mana-mana peminjam yang tidak dapat mematuhi bayaran ansuran untuk dua bulan ini. (Selain daripada langkah melanjutkan tempoh membayar balik pinjaman selama 2 bulan lagi).
Langkah-langkah yang disyorkan di atas bukan sahaja dapat menghulur bantuan kritikal kepada pihak-pihak yang sangat memerlukannya, tetapi juga akan menjana permintaan kasar dalam ekonomi tempatan dan membendung kecenderungan ke arah kegawatan ekonomi.
3. Pengendalian pekerja asing
Terdapat 2 juta orang pekerja asing dengan dokumen perjalanan dan mungkin 4 juta orang lagi yang tidak mempunyai dokumen. Mereka sekarang dikenakan caj tinggi apabila disiasat dan dirawat di hospital dan klinik kerajaan. Oleh itu, ramai antara mereka segan datang ke klinik dan hospital awam di bawah KKM. Surat Setiausaha Bahagian Kewangan KKM bertarikh 29 Januari 2020 menyatakan bahawa pesakit yang disyaki mengidap COVID-19 akan disiasat dan dirawat secara percuma. Namun, surat tersebut tidak menjelaskan sama ada siasatan/rawatan yang dilakukan selepas pesakit itu didiagnosiakan sebagai bukan pengidap COVID-19 juga dilakukan secara percuma. Surat KKM itu juga menyebut “pesakit yang tidak menunjuk sebarang simptom akan dikenakan fi pesakit luar sebanyak RM40 dan caj-caj lain yang berkenaan.” Jika pekerja asing masih dikenakan caj tinggi untuk rawatan terhadap masalah perubatan lain, keengganan pekerja asing untuk datang ke hospital kerajaan akan berterusan dan ini akan mengganggu usaha kita dalam mengawal penularan COVID-19 di dalam masyarakat kita.
Syor Forum Kesihatan Rakyat adalah:
- Menangguhkan pelaksanaan Caj Baru Perubatan bagi Warga Asing (2014) untuk enam bulan yang akan datang.;
- Mengurangkan caj terhadap mereka kepadakadar caj warganegara Malaysia buat masa ini; dan
- Menyebarkan maklumati ini secara meluas dalam kalangan masyarakat pekerja asing.
Satu isu lagi yang harus dikendali untuk mendapatkan kerjasama masyarakat pekerja asing adalah isu penangkapan dan pendakwaan terhadap mereka yang diklasifikasi sebagai PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin). Kerisauan mereka terhadap kemungkinan ini akan menyebabkan mereka mengelakkan diri daripada datang ke institusi kerajaan. PATI yang dikesan positif tidak akan memberi nama dan alamat kontak-kontaknya kerana takut semua kawannya akan ditangkap dan dipenjarakan. Oleh kerana jumlah PATI di negara kita begitu besar, keengganan mereka berkerjasama akan menimbulkan masalah besar untuk program kita mengawal wabak COVID-19.
Syor Forum Kesihatan Rakyat:
- Isytiharkan satu moratorium selama 6 bulan terhadap PATI. Pihak kerajaan memberi jaminan bahawa PATI tidak akan ditangkap atau didakwa atau dihantar balik ke negara mereka atas kesalahan ketiadaan dokumen perjalanan yang sah untuk satu tempoh tertentu .
Syor tambahan: Menubuhkan jawatankuasa bersama dengan komuniti-komuniti pekerja asing untuk membantu KKM dalam mengenalpasti dan mengesan kontak kes-kes COVID-19 di kalangan mereka, di samping menyampaikan maklumat kesihatan kepada golongan pekerja asing. Kerajaan juga harus menyediakan asrama khas untuk menempatkan kontak-kontak yang dikesan.
4. Keselamatan kakitangan KKM
Rakyat Malaysia amat berhutang budi kepada para doktor, jururawat, paramedik yang lain dan pekerja sokongan hospital yang mendedahkan diri mereka pada pesakit-pesakit yang dikenalpasti ataupun disyaki menghidapi penyakit COVID-19.
Syor Forum Kesihatan Rakyat:
- Memastikan mereka dibekalkan dengan alat keselamatan seperti topeng muka (mask) dan pakaian perlindungan dalam kuantiti yang mencukupi.
- Mengadakan sesi perbincangan/kaunseling bersama mereka supaya isu-isu yang merisaukan mereka dapat dibincang dan cara-cara mengatasi isu-isu ini dapat dikenalpasti.
Syor yang digariskan di atas memerlukan koordinasi antara beberapa jabatan dan kementerian. Oleh itu, adalah amat perlu sebuah Jawatankuasa Nasional yang melibati KKM, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, harus ditubuhkan. Jawatankuasa Nasional ini harus dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri supaya keputusan segera dapat diambil berkaitan pengendalian wabak COVID-19.
Forum Kesihatan Rakyat juga berharap bahawa peruntukan yang mencukupi diberi kepada KKM dan kementerian serta agensi yang lain untuk melaksanakan semua program yang membanteras wabak COVID-19 ini.
Organisasi-organisasi yang menyokong memorandum Forum Kesihatan Rakyat ialah:
- Agora Society
- Aliran
- All Women’s Action Society (AWAM)
- Arts-ED Penang
- Bersih 2.0
- Beyond Borders Malaysia
- Centre for Independent Journalism (CIJ)
- Childline Foundation
- Citizens’ Health Initiative
- Engage
- Federation of Reproductive Health Associations, Malaysia
- Foreign Spouses Support Group
- Galen Centre for Health & Social Policy
- Health Equity Initiatives
- IDRIS Association
- In Between Cultura
- Institute for Education Development, Social, Religious, and Cultural Studies (INFEST)
- International Domestic Workers Federation (IDWF)
- International Women’s Rights Action Watch Asia Pacific (IWRAW-AP)
- Justice For Sisters
- KRYSS Network
- Labour Law Reform Coalition
- Local Unionist Networks (Malaysia)
- Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
- Malaysian Campaign For Equal Citizenship
- MyPJ (Persatuan Penduduk Petaling Jaya)
- North South Initiative
- Our Journey
- Parti Sosialis Malaysia (PSM)
- Penang Forum
- Penang Heritage Trust
- Penang Hills Watch
- Penang Stop Human Trafficking Campaign
- Peoples Like Us Support Ourselves (PLUsos)
- Persatuan Komuniti Prihatin Selangor & KL
- Persatuan Penduduk Galing Besar Kuantan
- Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
- Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
- Pertubuhan IKRAM Malaysia
- Pertubuhan Solidariti Hijau Kuantan
- Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau & Kesihatan (MyWATCH)
- Positive Malaysian Treatment Access & Advocacy Group (MTAAG+)
- Pusat KOMAS
- Sahabat Alam Malaysia
- Save Malaysia Stop Lynas
- Saya Anak Bangsa Malaysia
- Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
- Tanjung Bungah Residents Association (TBRA)
- Third World Network
- Toy Libraries Malaysia
- Women’s Aid Organisation
- Women’s Centre for Change (WCC)
One thought on “Langkah-langkah tambahan untuk kawal wabak COVID-19 – Syor daripada Forum Kesihatan Rakyat”