Cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara telah dibantah oleh pelbagai pihak.
Kerajaan Selangor bercadang untuk menyahwartakan 930.93 hektar daripada 957.63 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara bagi tujuan pembangunan bercampur. Perkara ini dimaklumkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melalui penyiaran notis penyiasatan awam dalam media akhbar tempatan pada 5 Februari 2020.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 21 Februari 2020, Sharan Raj selaku Penyelaras Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata, “kenyataan defensif oleh Menteri Besar Selangor mengenai penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara menunjukkan pemahaman lemahnya tentang hutan. Menteri Besar mengatakan bahawa kawasan hutan yang diwartakan keluar itu akan digantikan dengan satu lagi kawasan hutan di Sabak Bernam dengan menwartakannya kepada hutan simpan, adalah tidak masuk akal. Ekosistem hutan tidak dapat digantikan begitu sahaja kerana hutan bukannya tanah tandus. ”
Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, cadangan untuk memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara adalah disebabkan 40% kawasan itu tidak lagi mempunyai elemen hutan dara selain bagi mengelak aktiviti pembakaran hutan. Adakah Menteri Besar berpendapat bahawa cara untuk mengelakkan pembakaran hutan adalah memusnahkan terus hutan itu?
Amirudin Shari berkata bahawa Kerajaan Negeri Selangor berpendapat bahawa kawasan yang dinyahwartakan itu sesuai dibangunkan seiring dengan pembangunan sekeliling selain turut terbabit dalam jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Amirudin juga berkata bahawa Kerajaan Negeri akan menggantikan kawasan hutan yang dinyahwartakan itu dengan kawasan hutan yang lebih luas di tempat lain. Amirudin mengatakan bahawa cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih di peringkat awal, dan masyarakat serta komuniti berkaitan boleh mengemukakan pandangan atau bantahan mengenainya kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebelum 5 Mac 2020.
Sharan Raj mempertikaikan idea bahawa hutan yang dimusnahkan boleh digantikan dengan kawasan hutan di tempat lain. “Hutan Simpan Kuala Langat Utara merupakan paru-paru hijau yang terakhir yang tinggal di Barat Daya Selangor. Hutan tersebut berfungsi sebagai pembekal udara semulajadi dan penapis bahan pencemar untuk kawasan sekitarnya seperti Kuala Langat, Putrajaya, Puchong, Kota Kemuning dan Jenjarom,” begitu katanya Sharan.
“Hutan simpan ini berfungsi sebagai singki karbon dan singki air hujan yang dapat mengurangkan kesan perubahan iklim dan banjir masing-masing. Selain itu, hutan simpan yang dicadangkan untuk dinyahwartakan itu juga merupakan tempat penghunian untuk spesies haiwan yang jarang ditemui seperti BMadu, Tupai Terbang Kecil Selangor dan Ikan Pelaga Merah Langat,” ulas Sharan.
Sharan juga mengkritik kenyataan Menteri Besar Selangor yang tidak peka pada keperluan masyarakat Orang Asli yang berada di situ untuk lebih satu abad. Hutan Simpan Kuala Langat Utara merupakan sumber khazanah yang penting untuk lebih 2,000 Orang Asli suku kaum Temuan yang masih bergantung padanya untuk kelangsungan hidup. Pemusnahan hutan akan menghancurkan kehidupan seluruh masyarakat Orang Asli di situ.
“Notis yang dikeluarkan oleh Kerajaan Selangor menyebut tentang tanah tersebut akan digunakan untuk pembangunan bercampur. Jelas bahawa Menteri Besar mahu menjual tanah tersebut kepada pemaju untuk pembangunan bandar berskala besar,” tambah Sharan.
PSM menggesa Kerajaan Selangor supaya mendahulukan rakyat dan alam sekitar berbanding dengan keuntungan, dan patut segera membatalkan rancangan untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Penyahwartaan atau pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara akan membawa pelbagai kesan buruk, antaranya:
- Pengabaian hak masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan yang telah tinggal lebih dari 134 tahun (sekurang-kurangnya sejak tahun 1886).
- Pembukaan kawasan hutan bagi tujuan pembangunan bercampur akan menjejaskan rangkaian ekologi, mengakibatkan kehilangan habitathidupan liar, termasuk flora, dan kepupusan akuatik.
- Meningkatkan risiko kebakaran tanah gambut di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan kawasan sekitarnya;
- Meningkatkan risiko penurunan paras tanah dan banjir di kawasan tersebut.
- Meningkatkan risiko banjir atau kekurangan air. Ini akan memusnahkan tanaman kelapa sawit yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli.
- Gangguan ekologi pada lembangan Sungai Langat dan Sungai Klang.
- Pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (termasuk penebangan pokok, pengorekan tanah gambut dan pembinaan saliran) membawa kepada pelepasan 5.5 juta tan gas karbon dioksidayang akan menyumbang kepada pemanasan tempatan dan pemanasan global, maka memburukkan lagi krisis iklim.
- Tiada lagi kawasan penting untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, rekreasidan eko-pelancongan yang menjadikannya satu hab untuk kepentingan sosio-ekonomi setempat.
Mengekalkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, akan dapat melindungi ekosistem dan kepelbagaian biologi di situ, termasuk spesies flora dan fauna yang terancam kritikal, bagi menjamin keseinambungan dan kelestarian alam sekitar, di samping melindungi identiti kebudayaan populasi masyarakat Orang Asli yang bergantung pada hutan. Rakyat Selangor dan Malaysia berhak untuk memiliki persekitaran hidup yang sihat, dengan tiada hutan simpan dinyahwartakan untuk “pembangunan” yang menguntungkan korporat tetapi mengorbankan masa depan rakyat jelata yang lestari.
Tandatangan petisyen Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di sini.
Menteri Besar Selangor di-kataii orang Azmin.
Jika Menteri Besar di-buang, harap boleh menyelatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara