20200226 - 88060289_10221856059217441_3758010905560875008_n
(Foto oleh Hardy Zakaria Kassim)

SHAH ALAM – 26 FEBRUARI 2020: Masyarakat Orang Asli dari Kuala Langat menyerahkan satu memorandum pada hari ini kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan kerajaan untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Rombongan masyarakat Orang Asli lebih 200 orang yang menyerahkan memorandum di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, terdiri daripada mereka yang datang dari 4 buah perkampungan di Kuala Langat, Selangor. Menurut Rahman Pahat, Tok Batin untuk kampung Orang Asli di Pulau Kempas, Bukit Cheeding dan Bukit Kecil, yang hadir semasa penyerahan memorandum, terdapat seramai 1,845 Orang Asli tinggal di kawasan yang akan terjejas kerana cadangan penyahwartaan terbaru ini.

“Hutan simpan ini ialah rumah kami. Kami tinggal di sini sejak dulu sampai sekarang, dan kami sayangkan hutan ini,” begitu katanya Tok Batin Rahman Pahat.

20200226 - 87972728_10221856072857782_4127401749696741376_n
(Foto oleh Hardy Zakaria Kassim)

Memorandum bantahan Orang Asli ini telah diterima oleh Borhan Aman Shah, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Wakil perkampungan masyarakat Orang Asli yang terjejas oleh penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara juga telah menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Istana Selangor dua minggu sebelum ini.

Kerajaan Selangor telah bercadang untuk menyahwartakan 930.93 hektar daripada 957.63 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara bagi tujuan pembangunan bercampur. Cadangan ini telah menerima bantahan hebat daripada ramai orang, termasuk pertubuhan-pertubuhan alam sekitar dan juga masyarakat Orang Asli tempatan.

20200226 - 87266554_10221856069377695_5663106132885897216_n
(Foto oleh Hardy Zakaria Kassim)

Hutan sangat penting untuk masyarakat Orang Asli kerana mereka bergantung pada sumber hutan untuk kelangsungan kehidupan secara berkomuniti dan hutan menjadi pelindung identiti kebudayaan masyarakat Orang Asli. Hutan ialah identiti masyarakat Orang Asli. Sekiranya hutan terus dimusnahkan, masyarakat Orang Asli akan kehilangan segala untuk kehidupan komuniti yang lestari. Jika Hutan Simpan Kuala Langat Utara dinyahwartakan dan dibangunkan untuk keuntungan korporat, tiada lagi tanah hutan di kawasan situ untuk masyarakat Orang Asli tempatan meneruskan kehidupan mereka.

Masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Temuan di Kuala Langat Utara bertekad untuk memperjuangkan hak tanah adat mereka dan cuba menghalang kemusnahan hutan yang menjadi tempat perlindungan mereka. Perjuangan mereka ini turut mendapat sokongan daripada suku kaum Orang Asli yang lain, kerana corak kehidupan masyarakat Orang Asli tanpa mengira suku kaum akan hilang bersama dengan kemusnahan hutan. Perjuangan masyarakat Orang Asli untuk mempertahankan hutan dan kelestarian alam sekitar ini juga memerlukan sokongan daripada seluruh rakyat yang sedia mendukung keadilan sosial.

Jangan hancurkan identiti dan kehidupan masyarakat Orang Asli dengan kemusnahan hutan!

20200226 - 87940650_10221856068177665_6762523855496937472_n
(Foto oleh Hardy Zakaria Kassim)

Tandatangan petisyen Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *