PUTRAJAYA – 19 FEBRUARI 2020: Wakil penduduk rumah pangsapuri kos rendah Gugusan Dedap, Kota Damansara, Selagor, menyerahkan satu memorandum pada hari ini kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, untuk meminta campurtangan Menteri menyiasat isu berkaitan dengan kepincangan yang berlaku semasa pengambilan tanah di mana terletaknya pangsapuri mereka.
Pemilik-pemilik sah untuk unit pangsapuri kos rendah di Blok 1 hingga Blok 5 Gugusan Dedap, telah mendapati mereka tertipu apabila wang pampasan pengambilan tanah di kawasan perumahan mereka telah dilarikan oleh Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut. Tanah Lot 50794 PN 26621, di Kota Damansara, iaitu di mana kawasan perumahan pangsapuri Gugusan Dedap terletak, telah diambil untuk projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH). Wang sejumlah RM5,014,500 telah dibayar oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan(JKPTG) kepada Akaun Badan Pengurusan Bersama (JMB) Blok 1-5 Pangsapuri Gugusan Dedap, namun pemilik-pemilik unit pangsapuri tidak mengetahui perkara ini sehingga mereka menanya sendiri. Sekarang ini para pemilik unit pangsapuri kos rendah Gugusan Dedap tidak mendapat apa-apa sedangkan tanah di mana rumah mereka berada telah diambil.
Kes pecah amanah oleh JMB ini tidak akan berlaku jika semua pemilik unit pangsapuri kos rendah ini diberi notis dan makluman yang mencukupi sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Pemgambilan Tanah 1960 (Akta 486) sebelum pembayaran pampasan dibuat oleh JKPTG. Oleh yang demikian, pemilik-pemilik unit pangsapuri kos rendah Gugusan Dedap menggesa campurtangan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli supaya melakukan penyiasatan tentang perkara ini dan mendapatkan keterangan mengenai proses terperinci yang telah dijalankan oleh JKPTG dalam urusan pengambilan tanah.
Memorandum yang diserahkan kepada Kementerian pada hari ini telah diterima oleh Fazly Razally selaku Setiausaha Politik kepada Menteri. Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), turut hadir bersama wakil penduduk ketika penyerahan memorandum.