Persidangan Sedunia Menentang Imperialisme telah diadakan pada 22-24 Januari 2020 di Caracas, Venezuela. Lebih 400 orang wakil daripada parti-parti politik dan gerakan sosial dari 70 buah negara, bersama dengan lebih 1,000 orang dari Venezuela, berhimpun dalam program yang bertemakan “Demi kehidupan, kedaulatan dan kedamaian” ini. Persidangan ini diadakan sebagai satu manifestasi menentang dasar imperialis dan neoliberal yang dibawa oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
Berikut ialah Deklarasi hasil daripada Persidangan Sedunia Menentang Imperialisme:
Deklarasi Persidangan Sedunia Menentang Imperialisme
Delegasi-delegasi Parti Politik dan Gerakan Sosial, berhimpun di bandar Caracas, ibu negara Republik Bolivar Venezuela, bersempena dengan “Persidangan Sedunia Menentang Imperialise”, selepas perbincangan, kami mencapai kesimpulan berikut:
Masa depan kemanusiaan sedang dalam bahaya yang hebat. Kedamainan di planet ini sedang diancam secara serius akibat daripada dasar agresi ketenteraan AS) dan sekutu-sekutunya, begitu juga dengan perlumbaan senjata yang hanya membawa keuntungan kepada korporat besar dalam perindustrian ketenteraan. Perang ialah mekanisme yang disukai perluasan imperialis, khususnya AS, dan kita saksikannya secara dramatik dalam kebanyakan konflik serantau baru-baru ini yang telah menjejaskan dengan teruknya rakyat Syria, Yemen, Iraq, Libya, Afghanistan dan seluruh rantau itu.
Begitu juga, umat manusia menderita daripada kemusnahan sebuah model ekonomi di mana penyebarannya yang bersifat bunuh diri menghancurkan alam semulajadi dengan obsesi yang tidak pernah mencukupi untuk memaksimumkan keuntungan. Itu adalah secara tepatnya logik sistem kapitalis, yang bukan sahaja menjejaskan fungsinya tetapi juga meletakkan kemanusiaan dalam bahaya kepupusan.
Model neoliberal yang melaksanakan globalisasi korporat besar di bawah dominasi negara-negara imperialis, telah menjadikan ekonomi dunia sangat rapuh. Krisis menjadi lebih kerap berlaku, dan spekulator kewangan besar menguasai planet ini. Pengagihan kekayaan yang dijana telah mewujudkan satu standard ketidaksamarataan, ketidakadilan dan pengecualian yang menjejaskan sebahagian besar penduduk dunia. Wabak kemiskinan dan kesengsaraan yang mempengaruhi berbilion-bilion rakyat seperti sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia. Tidak dapat dinafikan bahawa, perkembangan kapitalisme membiak fenomena yang tidak mampan, dari sudut pandangan sosial, politik dan etika.
Keadaan ini bertambah lagi dengan krisis etika yang terjadi daripada corak kehidupan lazim ekonomi pasaran, di mana kebudayaan nasional dan nilai manusia dikuburkan, untuk mewujudkan masyarakat konsumer. Kultus anti-nilai daripada kapitalisme menyumbang kepada peningkatan krisis keadaan manusia yang diwujudkan oleh model kewujudan bersama sekarang.
Imperialisme sedang dalam krisis dan ini menjadikannya lebih agresif, bahaya dan membinasakan. Dengan tamatnya dunia unipolar, imperialisme Amerika melaksanakan strategi dominasi global. Komitmen geopolitik Rumah Putih dalam menghadapi penentangan rakyat dan gangguan oleh kuasa-kuasa yang sedang membangun adalah mempertahankan hegemoninya, melalui dasar neo-kolonial yang mensasar pada mengambilalih pemilikan terhadap sumber-sumber semulajadi, khususnya sumber-sumber tenaga, mengawal pasaran dan mendominasi negara-negara secara politik.
Untuk mengekalkan susunan dunia yang tidak adil sekarang ini, imperialisme melanggar undang-undang antarabangsa awam, menukar dunia ini kepada medan besar untuk operasi ketenteraan, membangunkan secara unilateral langkah-langkah bersifat paksaan, mengenakan undang-undang di luar bidang kuasa wilayah, menyerang multilateralisme, mencabuli kedaulatan negara-negara dan menindas penentuan nasib sendiri rakyat. Dalam konsepsinya yang angkuh, sempadannya mencapai sejauh kepentingan bersifat perluasannya.
Selaras dengan dasar ini, imperialisme mengambil pendekatan untuk campurtangan ketenteraan, penyahstabilan politik terhadap kerajaan, perang dan sekatan ekonomi. Perancangan strategiknya menganggap NATO sebagai sayap ketenteraan global untuk neoliberalisme. Di samping itu, dalam kerangka Doktrin Perang Bukan Konvensionalnya, tindakan keganasan, penggunaan kumpulan separa tentera, pendakwaan terhadap pemimpin yang anti-imperialis dan pembunuhan yang mensasar, merupakan sebahagian daripada tindakan yang paling menonjol untuk dasar yang bersifat penghapusan kaum, yang membahayakan kemanusiaan.
Amalan sebegini telah “dihalalkan” melalui industri kebudayaan kapitalisme, transnasional besar dalam komunikasi dan penggunaan media sosial. Begitu juga, penggunaan “Data Raya” telah menjadi senjata yang hebat untuk mengubahsuai tingkah laku penduduk dan mempengaruhi keputusan politik mereka.
Dalam cubaan mengenakan “pemikiran tunggal”, orang yang berkuasa di dunia memanipulasi kepercayaan agama, cuba menjustifikasikan hubungan kuasa sekarang dengan mengorbankan demokrasi, pengenaan pasaran bebas, rasisme Eurosentrik, pemisahan minoriti, penindasan gender, sifat eugenik model pendidikan global, adalah antara banyak faktor yang lain, yang betul-betul memenuhi keperluan untuk kediktatoran modal.
Kapitalisme neolibral memperkuatkan eksploitasi terhadap kelas pekerja, selanjutnya menindas wanita untuk memaksimumkan keuntungan korporat transnasional besar, merampas masa depan daripada orang muda dan mengaburkan identiti masyarakat orang asal. Ini menunjukkan bahawa solusi untuk masalah besar dunia hari ini memerlukan model kewujudan bersama manusia yang baru.
Dalam konteks ini, dunia multi-pusat dan multi-polar muncul dengan kekuatan yang lebih besar. Pengukuhan politik dan ekonomi untuk kuasa-kuasa seperti Rusia dan China, bersama dengan negara-negara yang lain, menjadi pengimbang yang semakin serius kepada kuasa imperialisme Amerika. Jelas sekali, penentangan yang hebat di Timur Tengah, perjuangan rakyat di Amerika Latin dan Caribbean, telah membendung dan menolak ke belakang rancangan imperialisme.
Selain itu, pengalaman kerajaan-kerajaan yang progresif di seluruh dunia sudah muncul sebagai alternatif kepada neoliberalisme. Salah satu contoh ialah Revolusi Bolivar, yang dianggap sebagai rejukan anti-imperialis dengan kekuatan popular yang hebat dalam kerangka kesatuan sivik-tentera yang kuat dan berasaskan ideologi Libertador Simón Bolívar dan Komander Hugo Chávez.
Ini telah menimbulkan serangan kejam daripada imperialisme AS ke atas rakyat Venezuela, yang menaburkan maruah dan kasih sayang untuk Tanahair, mengesahkan jalannya menuju sosialisme dalam banyak proses pilihanraya yang menyokong demokrasi keterlibatan yang kuat yang wujud dalam negara ini. Hari-hari yang sukar untuk perjuangan popular telah menewaskan ancaman campurtangan ketenteraan AS, cubaan rampasan kuasa dan keganasan pengganas.
Contoh perlawanan ini, bersama dengan Nicaragua dan Kuba, serta kemajuan baru-baru ini di Argentina dan Mexico, telah membolehkan pengukuhan kuasa anti-imperialis dan akan membawa kepada pengukuhan mekanisme integrasi serantau yang baru (CELAC, ALBA-TPC, PETROCARIBE, dan sebagainya). Walaupun di Honduras, Paraguay, Brazil, Ecuador, El Salvador dan Bolivia, neo-kolonialisme telah memposisi semula sebagai sebahagian daripada edisi baru Doktrin Monroe, perjuangan popular diteruskan.
Di tempat lain di seluruh dunia, rakyat juga menentang, pemberontakan dan kerajaan popular mengamalkan kedaulatan mereka. Kesatuan anti-imperialis ialah satu matlamat strategik yang tiada kompromi.
Dalam konteks ini, “Persidangan Sedunia Menentang Imperialisme” menyatakan bahawa:
Kami menggesa rakyat sedunia untuk berjuang demi kehidupan, pemeliharaan alam semulajadi dan menentang keadaan struktural yang menjana perubahan iklim. Begitu juga, kami menuntut pada negara-negara maju untuk berusaha secara tegas untuk mencegah kemusnahan planet ini, dan khususnya untuk AS mengatasi pendiriannya yang primitif yang cuba mengabaikan kemusnahan teruk terhadap alam semulajadi dengan model pengeluaran sekarang yang berasaskan pengumpulan modal.
Kami sokongan tuntutan untuk membina sebuah susunan antarabangsa yang lebih adil yang meletakkan kepentingan rakyat di barisan terdepan dan membenarkan pembangunan keterangkuman sosial dan dasar yang adil untuk mengatasi ketidaksamarataan sosial dan ekonomi yang hebat yang wujud dalam kalangan negara-negara di dunia.
Kami menyeru pada rakyat dunia untuk mempertahankan kedamaian, kedaulatan rakyat dan menyertai perjuangan yang sah untuk proses sosioekonomi yang berasaskan platform meluas untuk perjuangan bersatu menentang musuh bersama, imperialisme AS.
Kami menolak pelaksanaan langkah-langkah bersifat paksaan unilateral yang haram oleh kuasa-kuasa imperialis, kerana dasar-dasar jenayah sebegini menjejaskan rakyat. Kami secara khususnya mengecam dasar genosidal sekatan ekonomi yang dikenakan ke tas negara-engara di dunia yang mengamalkan kedaulatan mereka.
Kami menolak militarisasi Amerika Kita dan khususnya kehadiran pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarika di Amerika Latin dan Caribbean.
Kami mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan tentera dan agresi lain yang dilakukan oleh imperialisme ke atas rakyat Timur Tengah. Khususnya, kami menolak pencabulan kedaulatan Syria dan Iraq, agresi ke atas Republik Islam Iran, serta pembunuhan kejam ke atas Komander Qasem Soleimani, seorang wira yang tumpas untuk rakyat yang memperjuangkan kebebasan.
Kami menuntut penghormatan kepada kedaulatan Venezuela, Cuba dan Nicaragua, serta sokongan kepada usaha Nicolás Maduro Moros, Presiden Berperlembagaan Republik Bolivar Venezuela, untuk mengekalkan kedamaian.
Kami mengutuk cubaan yang dirancang oleh Rumah Putih untuk menapis syarikat multi-negara TeleSur dan HispanTV. Ini merupakan pencabulan terhadap kebebasan bersuara rakyat.
Kami mengecam kudeta yang dirancang dari Washington, untuk menjatuhkan Presiden Evo Morales Ayma. Kami mengecam penindasan ganas dan rasisme terhadap rakyat Negara Plurinasional Bolivia.
Dengan itu, “Persidangan Sedunia Menentang Imperialisme” bersetuju untuk:
- Membina sebuah Platform Dunia Bersatu yang diorganisasi oleh benua, rantau, sub-rantau dan negara untuk berdepan dengan imperialisme. Struktur organisasi ini akan dibentuk mengikut ciri-ciri setiap wilayah.
- Menganjurkan “Persidangan Benua Menentang Imperialisme” dalam tahun 2020, yang bertujuan untuk membentuk platform benua, rantau dan sub-rantau yang bersatu yang dinyatakan dengan jelas berasaskan rancangan bersama untuk perjuangan menentang imperialisme.
- Menyeru untuk “Persidangan Sedunia Menentang Imperialisme yang Kedua” diadakan di Caracas, ibu negara Republik Bolivar Venezuela, untuk menentukan nama Platform Dunia Bersatu, serta artikulasi platform benua dan rantau yang berlainan dalam rancangan bersama yang akan menyatukan perjuangan rakyat.
Akhir sekali, “Persidangan Sedunia Menentang Imperialisme” bersetuju untuk mengambil Agenda Perjuangan yang diperkenalkan dalam “Persidangan Antarabangsa Pertama Pekerja-pekerja bersolidariti dengan Revolusi Bolivar”, yang disokong oleh “Kongres Wanita Antarabangsa yang Pertama”, “Kongres Antarabangsa Komun, Gerakan Sosial dan Kuasa Rakyat”, “Persidangan Antarabangsa Orang Asal Pertama”, “Kongres Antarabangsa Orang Keturunan Afrika” dan “Kongres Komunikasi Antarabangsa”, yang diadakan di Republik Bolivar Venezuela pada tahun 2019, dengan agenda yang merangkumi perkara di bawah:
- Menganjurkan satu hari antarabangsa untuk mobilisasi menyokong Revolusi Bolivar dan menentang neoliberalisme pada 27 Februari 2020 (bersempena dengan Ulangtahun ke-31 kebangkitan rakyat yang pertama di Caracas untuk menentang neoliberalisme).
- Seruan untuk mobolisasi sedunia demi kedamaian di Venezuela, di Amerika Kita dan menentang rancangan perang oleh Kerajaan Amerika Syarikat, pada bulan April 2020.
- Membangunkan hari antarabangsa untuk menolak Doktrin Monroe, menentang blokade dan Langkah-langkah Paksaan Unilateral yang lain pada bulan Jun 2020.
- Membentuk, sehingga Persidangan seterusnya, satu Suruhanjaya Penyelarasan untuk delegasi yang hadir dalam “Persidangan Sedunia Menentang Imperialisme yang Pertama”, dengan tujuan melaksanakan rancangan ini.