“Ketidaksamarataan ekonomi telah hilang kawalan.” Begitu katanya laporan terbaru terbitan Oxfam yang bertajuk “Masa untuk peduli: Kerja penjagaan yang tidak dibayar dan dibayar gaji yang rendah dan krisis ketidaksamarataan global” (Time to care: Unpaid and underpaid care work and the global inequality crisis).
Oxfam ialah sebuah badan bukan kerajaan bantuan kebajikan antarabangsa yang memfokus pada usaha membasmi kemiskinan dunia. Oxfam menerbitkan laporan tentang keadaan ketidaksamarataan ekonomi dunia setiap tahun bersempena dengan persidangan tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Laporan Oxfam pada tahun 2020 yang diterbitkan baru-baru ini, telah mendedahkan realiti dunia di mana kemiskinan masih berterusan dan ketidakadilan sosial semakin teruk kerana sistem kapitalis global yang dikuasai oleh golongan korporat yang kaya raya.
Duduk tidak sama rendah: 2,153 orang terkaya lebih kaya daripada 4.6 bilion orang
Menurut laporan Oxfam, golongan terkaya 1% di dunia dianggarkan mempunyai kekayaan lebih 2 kali ganda berbanding kekayaan yang dimiliki oleh 6.9 bilion orang penduduk dunia. 2,153 orang hartawan daripada golongan terkaya 1% ini, mempunyai kekayaan yang lebih banyak berbanding 4.6 bilion orang di dunia.
Oxfam telah membuat kira-kira yang menunjukkan bahawa untuk mengumpul satu perlima daripada kekayaan purata 5 orang hartawan terkaya di dunia, anda perlu menabung sebanyak USD 10,000 (lebih kurang RM 40 ribu) sehari sejak zaman pembinaan piramid di Mesir.
Dalam realiti hari ini, Bank Dunia menganggarkan bahawa hampir separuh daripada penduduk dunia hidup dengan pendapatan kurang daripada USD 5.50 (lebih kurang RM 22) sehari.
Satu lagi penemuan dalam laporan Oxfam yang mengejutkan adalah, jumlah kekayaan 22 orang lelaki yang terkaya di dunia hari ini adalah lebih banyak daripada jumlah kekayaan semua wanita di benua Afrika. Benua Afrika bukannya kecil, dan jumlah penduduk wanita di benua ini mencecah 670 juta orang. Adakah ini bermakna 22 orang lelaki yang terkaya di dunia ini begitu rajin bekerja sehingga kekayaan yang dicipta oleh mereka lebih banyak daripada 670 juta orang wanita di Afrika?
Di negara kaya G7 (Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Perancis, Jerman, Itali dan Kanada) sahaja, gaji purata pekerja di negara-negara ini dari tahun 2011 hingga 2017 hanya meningkat sebanyak 3%, sedangkan dividen yang dibayar kepada pemegang saham yang kaya meningkat sebanyak 31%. Adakah pemegang saham yang kaya ini 10 kali ganda lebih rajin bekerja berbanding pekerja-pekerja biasa?
Yang “lebih menarik” lagi, pengiraan Oxfam mendapati bahawa jika 2 orang yang terkaya di dunia duduk di atas kekayaan mereka yang ditimbun dengan wang kertas USD 100, mereka akan sampai di angkasa lepas. Berbanding dengan golongan kelas menengah di negara kaya, mereka hanya duduk pada ketinggian kerusi. Untuk majoriti rakyat di dunia, mereka hanya duduk di atas lantai.
Wanita bekerja 12.5 bilion jam setiap hari tanpa dibayar
Laporan Oxfam terbaru telah mengetengahkan satu isu penting yang sering terlepas pandang oleh ramai orang, iaitu ramai wanita di dunia hari ini sedang memikul beban kerja yang berat tetapi tidak mendapat ganjaran yang sepatutnya.
Wanita yang melakukan kerja di rumah, dari mengumpulkan kayu api dan air, membersihkan rumah dan memasak untuk pencari nafkah keluarga yang biasanya lelaki, sehingga menjaga kanak-kanak dan orang tua di rumah, walaupun kerja-kerja ini sangat penting untuk memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan ekonomi, tetapi mereka tidak mendapat ganjaran yang sepatutnya, malah ramai yang masih hidup dalam kemiskinan. Tanggungjawab kerja penjagaan yang berat dan kebanyakannya tidak diberi ganjaran, telah mengekalkan ketidaksamarataan gender dan ekonomi.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, wanita di seluruh dunia menghabiskan jumlah masa sebanyak 12.5 bilion jam setiap hari untuk melakukan kerja secara percuma, atau tidak dibayar apa-apa ganjaran. Pengiraan Oxfam menunjukkan bahawa kerja-kerja wanita ini menambah nilai sekurang-kurangnya USD 10.8 trilion (lebih kurang RM 44 trilion) kepada ekonomi, iaitu 3 kali ganda saiz ekonomi teknologi. Walaupun angka ini amat besar, tetapi hanya anggaran yang kurang dan angka yang sebenar jauh lebih tinggi. Namun, kebanyakan faedah kewangan pergi kepada golongan terkaya, dengan majoriti mereka ialah lelaki. Sistem yang tidak adil ini mengeksploitasi dan meminggir wanita yang termiskin dalam masyarakat, sementara meningkatkan kekayaan dan kuasa yang dipegang dalam tangan golongan elit mahakaya.
Di peringkat global, 42% wanita pada umur bekerja sebenarnya tidak mampu melakukan kerja sepenuh masa yang menjana pendapatan untuknya kerana tanggungjawab penjagaan yang dipikul mereka yang tidak dibayar, berbanding dengan hanya 6% lelaki yang menghadapi masalah yang sama. Di negara berpendapatan rendah, wanita di kawasan luar bandar menghabiskan sebanyak 14 jam sehari untuk melakukan kerja penjagaan yang tidak dibayar apa-apa. Penyelidikan Oxfam mendapati bahawa wanita dalam isi rumah termiskin di negara berpendapatan rendah berada dalam keadaan paling susah. Wanita di Uganda, Zimbabwe, India, Filipina dan Kenya, menghabiskan masa 40 minit lebih banyak setiap hari dalam aktiviti harian seperti mengumpul air dan bahan api berbanding mereka mereka yang lebih kaya.
80% daripada sejumlah 67 juta orang pekerja domestik di dunia ialah wanita, dengan 90% daripada mereka tidak mempunyai akses kepada perlindungan sosial, dan lebih separuh daripada mereka tidak mempunyai had masa kerja dalam seminggu.
Dengan penuaan penduduk, dunia sedang menghadapi krisis penjagaan dan beban ke atas pekerja-pekerja penjagaan hanya akan bertambah. Di samping itu, krisis iklim akan menjejaskan wanita secara tidak seimbang, dengan mereka perlu berjalan lebih jauh untuk mencari sumber air dan menghabiskan lebih banyak masa untuk mengatasi masalah penyakit.
Perlukan perubahan sistem: Dunia yang lebih adil untuk semua
Ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial yang berterusan di dunia ini perlu ditangani dan dibasmi. Kerajaan di seluruh dunia perlu bertindak segera untuk membina satu ekonomi bersifat kemanusiaan yang benar-benar menjamin kesejahteraan masyarakat, bukannya tidak berhenti-henti mengejar keuntungan dan kekayaan untuk golongan korporat yang kaya raya.
Ekonomi yang bersifat kemanusiaan akan memastikan setiap orang mempunyai kerja yang dibayar dengan gaji yang bermaruah, di mana tiada orang hidup dalam keadaan takut pada jatuh sakit, dan di mana setiap orang kanak-kanak mempunyai peluang untuk mengembangkan potensinya.
Ahli-ahli ekonomi feminis, masyarakat sivil dan mereka yang memperjuangkan hak pekerja penjagaan, telah mencadangkan satu set penyelesaian yang mengutamakan semula kerja penjagaan secara radikal, yang dikenali sebagai kerangka “4R”:
- Recognize: Mengiktiraf kerja penjagaan yang tidak dibayar dan dibayar dengan gaji yang amat rendah, yang dilakukan terutamanya oleh wanita, sebagai sejenis kerja atau pengeluaran yang mempunyai nilai sebenar.
- Reduce: Mengurangkan jumlah jam masa yang digunakan ke atas tugasan penjagaan yang tidak dibayar, melalui akses yang lebih baik kepada peralatan penjimatan masa dan kemudahan menyokong penjagaan yang mampu dan bermutu.
- Redistribute: Mengagihkan semula kerja penjagaan yang tidak dibayar lebih adil di dalam rumahtangga dan pada masa yang sama memindahkan tanggungjawab untuk kerja penjagaan yang tidak dibayar untuk ditanggung oleh kerajaan dan sektor swasta.
- Represent: Mewakili penjaga yang paling dipinggirkan dan memastikan mereka dapat bersuara dalam pembentukan dan penyampaian dasar, perkhidmatan dan sistem yang mempengaruhi kehidupan mereka.
Menurut Oxfam, sekiranya kerajaan-kerajaan di dunia meningkatkan kadar cukai ke atas golongan terkaya 1% , akan dapat membantu banyak dalam menangani masalah kerja penjagaan yang tidak dibayar. Pertambahan cukai sebanyak 0.5% ke atas kekayaan golongan terkaya 1% untuk 10 tahun akan datang, sudah mencukupi untuk mencipta 117 juta pekerjaan penjagaan dalam sektor-sektor seperti pendidikan, kesihatan dan penjagaan orang tua.
Jurang kekayaan antara yang kaya dengan yang miskin perlu dikurangkan, sementara hak untuk pekerja-pekerja penjagaan dan kepentingan kerja mereka untuk komuniti perlu diiktiraf. Oxfam telah mencadangkan supaya kerajaan dan pihak korporat bekerjasama untuk:
- Melabur dalam akses universal untuk bekalan air yang selamat, sanitasi dan sistem tenaga domestik, di samping juga penjagaan kanak-kanak, penjagaan orang tua dan penjagaan orang kurang upaya (OKU).
- Membasmi kekayaan yang melampau untuk membasmi kemisninan tegar, dengan mengenakan cukai lebih tinggi ke atas golongan kaya dan berpendapatan tinggi, di samping mengatasi kelemahan sistem percukaian dan mengubahsuai peraturan percukaian global yang tidak mencukupi untuk menangani pengelakan cukai.
- Menggubal undang-undang untuk melindungi hak semua penjaga dan mendapatkan gaji sara hidup untuk pekerja-pekerja penjagaan.
- Pastikan penjaga-penjaga mempunyai pengaruh ke atas proses membuat keputusan.
- Mencabar norma memudaratkan dan kepercayaan seksis yang menganggap kerja penjagaan sebagai tanggungjawab wanita sahaja serta mengekalkan ketidaksamarataan ekonomi dan gender.
- Mementingkan penjagaan dalam dasar dan praktik perniagaan, seperti pengwujudan pusat jagaan bayi dan baucar penjagaan kanak-kanak, waktu kerja yang fleksibel serta cuti bergaji.
Cadangan ini bukannya sesuatu yang sangat mustahil untuk direalisasikan. Cabarannya adalah sama ada kerajaan-kerajaan yang dipengaruhi oleh golongan korporat sanggup melakukan perubahan yang drastik tetapi perlu terhadap sistem yang sedia ada atau tidak.
Kita perlu sedar bahawa sistem kapitalis global yang mengutamakan keuntungan korporat telah membawa kepada masalah ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial yang hebat di dunia hari ini. Hanya sekadar pembaharuan yang bersifat reformis tidak akan mengubah asas sistem yang masih mengeksploitasi rakyat terbanyak untuk keuntungan golongan korporat. Kita perlu meneruskan usaha membina gerakan rakyat dari bawah untuk mencabar sistem yang tidak adil ini, dan mendesak mana-mana kerajaan yang memerintah untuk melaksanakan dasar yang menjamin kesejahteraan rakyat jelata dengan menyekat (jika bukan menghapuskan) kuasa golongan korporat yang mahakaya.
One thought on “Dunia semakin tidak adil: 22 orang lelaki terkaya lebih kaya daripada semua wanita di Afrika”