20191007 - Copy

oleh Hassan Abdul Karim

1. Dua minggu telah berlalu sejak Kongres Maruah Melayu diadakan pada 6 Oktober 2019 lalu di Shah Alam, Selangor. Kongres itu adalah satu perhimpunan aman yang telah berlangsung dengan aman. Hak berhimpun secara aman itu dijamin dan dilindungi oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10.

2. Walaupun Kongres itu satu perhimpunan aman, tetapi bagaimana dengan ucapan, laungan, tuntutan, serta usul yang disuarakan dan diluluskan di dalam Kongres tersebut? Hal ini perlu dibincang dan dianalisis kerana ia boleh membawa keadaan tidak aman kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

3. Hak bersuara dan membuat tuntutan serta menzahirkan pandangan juga dijamin oleh undang-undang dan perlembagaan negara. Namun begitu, kebebasan bersuara tersebut tidaklah bersifat mutlak. Ada batas yang perlu dijaga. Sekiranya suara, pandangan, tuntutan dan usul Kongres tersebut bersifat ekstrim dan boleh menimbulkan keadaan permusuhan dan ketegangan di kalangan rakyat, maka ada undang-undang dan peraturan yang akan berkuatkuasa.

4. Sebagai seorang Melayu dan seorang ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat pelbagai kaum di kawasannya, saya ingin bertanya kepada pihak penganjur Kongrers Maruah Melayu itu dan semua pemimpin-pemimpin Melayu yang hadir di kongres berkenaan, sama ada yang berucap atau tidak berucap. Soalan saya mudah sahaja iaitu berbunyi begini: Bagaimana pula kalau ada orang-orang Cina ingin mengadakan Kongres Maruah Cina sebagai membalas Kongres Maruah Melayu? Kemudian bagaimana kalau kaum India pula datang dengan cadangan untuk mengadakan Kongres Maruah India? Diikuti pula rakyat kita keturunan Kadazan, Murut, Dusun, Iban dan, Bidayuh juga ingin mengadakan Kongres Maruah kaum masing-masing? Apakah hanya kaum Melayu sahaja yang boleh mengadakan Kongres Maruahnya? Bagaimana dengan yang lain? Ke arah mana negara kita hendak kita bawa sekiranya selepas lebih 62 tahun Persekutuan Tanah Melayu Merdeka dan 56 tahun Malaysia ditubuhkan jika kaum-kaum di dalam negara kita tampil dengan tuntutan, seruan, jeritan, laungan dan usul dari Kongres Maruah masing-masing? Apakah kita sebenarnya sudah gagal membina sebuah Bangsa Malaysia yang merdeka dan bersatu padu?

5. Sebagai seorang ahli parlimen, semasa saya mengangkat sumpah pada 16 Julai 2018 selepas Pilihanraya Umum Ke-14 yang bersejarah, bahawa saya telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia. Saya memulakan sumpah itu dengan membaca kalimah Bismillah. Sebagai seorang Islam, saya bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi rakyat Malaysia dari semua kaum, agama dan budaya supaya semuanya dapat hidup bebas, merdeka serta menikmati keadilan sosial di dalam sebuah negara Malaysia yang demokrasi yang bergerak atas landasan hukum yang adil lagi saksama.

6. Saya ingin menyatakan kepada semua para pemimpin Melayu, khususnya sama ada pemimpin politik ataupun tidak, sama ada di pihak kerajaan yang memerintah sekarang ataupun di pihak pembangkang supaya secara jujur dan ikhlas berani menerima hakikat bahawa negara Malaysia yang di dalamnya terdapat tiga wilayah, iaitu Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, Sabah dan Sarawak di Borneo, bukanlah negara untuk orang Melayu sahaja secara eksklusif. Ia juga bukan sebuah negara untuk orang-orang Islam sahaja secara eksklusif. Negara Malaysia ini adalah sebuah negara pelbagai kaum dan agama serta perlbagai budaya, satu kurniaan dari Allah, Tuhan Maha Pencipta untuk kita semua hidup rukun dan bersatu dalam sebuah negara yang dianugerahkan dengan kekayaan hasil bumi dan laut yang tidak terkira banyaknya.

7. Kepada kaum Melayu dan Islam yang menjadi kaum majoriti di negara ini, maka saya menyeru supaya kita bersikap inklusif, iaitu menerima kepelbagaian yang ada di negara kita dan itu sebenarnya adalah satu kekuatan serta satu kelebihan, dan sekiranya kita urus dan tadbir dengan baik secara beramanah, maka Malaysia ini akan menjadi sebuah negara yang maju, progresif dan bersatu.

8. Justeru itu, sebagai seorang ahli parlimen Melayu dan Islam, saya secara terbuka membuat seruan yang patriotik ini. Inilah jawapan saya terhadap Kongres Maruah Melayu yang diadakan dua minggu yang lalu. Maruah orang Melayu tidak dapat dibela dengan seruan dan usul yang sempit secara eksklusif hanya untuk kepentingan satu kaum sahaja. Maruah orang Melayu hanya dapat diperjuangkan di dalam kerangka bersama maruah Bangsa Malaysia keseluruhannya yang bergerak seiring untuk merapatkan jurang kaya miskin dan jurang maju mundur tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.

9. Sudah sampai masanya kita tidak bercakap atas nama kaum itu dan kaum ini. Kita bercakap atas nama semua warganegara yang menjadi rakyat Malaysia. Kalau kita mahu bercakap soal maruah, maka kita bercakap soal maruah seluruh rakyat dan seluruh warganegara. Maruah rakyat Malaysia. Maruah Bangsa Malaysia. Inilah jawapan saya terhadap Kongres Maruah Melayu tersebut.

==========

Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau pernah menjadi Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Tulisan ini diterbitkan pada asalnya di halaman facebook Hassan Karim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *