Gelombang protes besar-besaran tercetus di Ecuador untuk menentang dasar ekonomi neoliberal terbaru yang diperkenalkan oleh Presiden negara itu Lenín Moreno.
Pada 3 Oktober 2019, jalanraya dan lebuhraya di seluruh Ecuador telah disekat oleh bas, teksi, lori dan kereta yang memprotes terhadap kerajaan pimpinan Moreno. Kumpulan masyarakat orang asal, pelajar-pelajar dan kesatuan sekerja bersama-sama mengadakan aksi protes. Kesatuan pekerja pengangkutan mengumumkan mobilisasi berterusan dan mengadakan mogok tanpa had tempoh.
Di bandar Quito, ibu negara Ecuador, polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstran.
Presiden Lenín Moreno mengisytihar “darurat” yang memberikannya kuasa yang meluas seperti menggunakan dana kerajaan, menapis media, mengerahkan polis dan tentera, dan menutup hab pengangkutan atas nama “keselamatan”. Walaupun dengan wujudnya “darurat” dan represi hebat daripada polis, rakyat Ecuador masih meneruskan mobilisasi untuk protes. Menteri Pertahanan Ecuador mengatakan bahawa seramai 277 orang telah ditahan pada 3 Oktober 2019.
Presiden Lenín Moreno mengumumkan satu set langkah-langkah “penjimatan” (austerity) pada 1 Oktober 2019, berdasarkan perjanjiannya dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan dana daripada institusi kewangan tersebut. “Pakej Neoliberal” yang diperkenalkan oleh Kerajaan pimpinan Moreno termasuk penghapusan subsidi petroleum dan diesel yang sudah wujud selama 4 dekad, perubahan cukai dan “pembaharuan” undang-undang buruh. “Pembaharuan undang-undang buruh” yang diperkenalkan bakal menjejaskan hak pekerja yang dimenangi melalui perjuangan yang berpanjangan, termasuk mengurangkan separuh masa cuti untuk pekerja sektor awam, dan pekerja akan mendapat ganjaran kurang 20% apabila kontrak kerja sementara diperbaharui. Di samping itu, IMF mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Morena untuk mengurangkan pekerja sektor awam dan meningkatkan penyertaan pihak swasta dalam syarikat milik kerajaan.
Menteri Ekonomi Ecuador, Richard Martínez, berkata pada 2 Oktober 2019 bahawa kerajaan Ecuador mahu menghapuskan subsidi minyak dan melakukan “pembaharuan cukai” yang dapat menjimatkan USD 2.27 bilion setahun untuk negara itu. Kerajaan Ecuador bercadang untuk mengurangkan defisit fiscal dari anggaran USD 3.6 bilion tahun ini kepada paras kurang dari USD 1 bilion pada tahun 2020.
Kerajaan pimpinan Moreno telah mencapai perjanjian bernilai USD 4.2 bilion dengan IMF pada bulan Februari 2019, yang melibatkan pelaksanaan pakej “penjimatan” yang bersifat neoliberal. Rakyat di Ecuador malah di seluruh Amerika Latin amat sedar tentang kesan buruk dasar “penjimatan” yang dibawa oleh IMF, kerana ramai pernah dan sedang mengalami kesusahan akibat dasar-dasar “penjimatan” yang menghancurkan kehidupan mereka.
Kesatuan sekerja dan organisasi masyarakat di Ecuador telah lantang menyuarakan bantahan mereka terhadap langkah-langkah “penjimatan” sebegini, kerana ia merupakan satu lagi serangan terhadap jaminan kesejahteraan rakyat bawahan oleh kerajaan yang hendak mengambil hati institusi kewangan antarabangsa yang hanya bertujuan menyelamatkan sistem kapitalis global.
Lenín Moreno berkuasa selepas menang dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2017, dengan janjinya untuk meneruskan warisan “revolusi warganegara” dan pentadbiran Rafael Correa yang berhaluan kiri. Namun, Moreno telah berpaling tadah dan mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepadanya tidak lama kemudian. Moreno berulang kali menunjukkan kesetiaannya terhadap kuasa imperialis dan institusi kewangan antarabangsa. Kerajaan pimpinan Moreno mengamalkan dasar neoliberal yang berhaluan kanan, termasuk pengurangan perbelanjaan awam, liberalisasi perdagangan, pengfleksibelan undang-undang buruh dan sebagainya. Kerajaan Moreno memberikan pengampunan kepada golongan pelabur yang melakukan penipuan sebelum ini dan merancang untuk mengurangkan lagi kadar cukai untuk syarikat besar.
“Pembaharuan ekonomi” bersifat neoliberal, perjanjian dengan IMF, perjanjian ketenteraan dengan Amerika Syarikat, pembatalan suaka untuk Julian Assange yang berlindung di Kedutaan Ecuador di UK, dan sokongan kepada puak pembangkang berhaluan kanan di Venezuela, jelas menunjukkan bahawa Moreno merupakan seorang pengkhianat kepada warisan perjuangan rakyat Ecuador yang memperjuangkan integrasi Amerika Latin dan anti-imperialis. Moreno hanya meneruskan dasar yang diamalkan oleh kerajaan sebelum Correa yang bersekongkol dengan kepentingan kuasa imperialis dan oligarki kelas kapitalis.
Rakyat Ecuador akan terus bermobilisasi dan berjuang menentang serangan neoliberal yang dibawa oleh pengkhianat rakyat yang menjadi boneka IMF.
3 thoughts on “Ecuador: Protes besar-besaran bantah dasar neoliberal”