Sejak 23 September 2019, negara Indonesia dilanda gelombang kebangkitan pelajar yang terbaru, yang dicetuskan daripada bantahan terhadap penggubalan beberapa rang undang-undang yang bakal menyekat ruang demokrasi dan menghakis kesejahteraan rakyat Indonesia.
Protes mahasiswa berlaku di banyak tempat di seluruh Indonesia. Di Jakarta, polis menembak gas pemedih mata terhadap demonstran yang berhimpun di hadapan Kompleks Parlimen Indonesia. Dua orang peserta aksi disahkan mati di Jakarta oleh pihak polis Indonesia pada 25 September 2019, dengan seorang dikatakan mati terkorban dalam satu kemalangan jalanraya semasa demonstrasi di Jakarta, sementara seorang lagi ditemui mati dengan sebab yang belum dikenalpasti lagi. Di bandar Kendari, Sulawesi Tenggara, 2 orang pelajar mati dalam satu pertembungan antara demonstran dengan pihak polis di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Pronvisi di situ pada 26 September 2019.
Pelajar-pelajar yang berprotes di jalanan kerana mereka membantah beberapa rang undang-undang baru, termasuk Rang Undang-undang Pindaan Kanun Jenayah (RKUHP) yang menghakis kebebasan demokratik di samping bersifat diskriminasi, pindaan terhadap Undang-undang Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi (UU KPK) yang melemahkan peranan Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi (KPK), serta rang undang-undang lain yang menjejas kesejahteraan rakyat biasa untuk kepentingan pelabur, seperti Rang Undang-undang Tanah, Rang Undang-undang Buruh dan Rang Undang-undang Perlombongan.
Oleh sebab tekanan hebat berikutan kebangkitan gelombang protes pelajar, Presiden Indonesia Joko Widodo (atau lebih dikenali sebagai Jokowi) telah berkompromi untuk menangguhkan pengundian rang undang-undang berkenaan dalam Parlimen, kecuali pindaan undang-undang KPK yang sudah pun diluluskan sebelum ini.
Gerakan pelajar yang bermobilisasi dengan slogan #ReformasiDikorupsi ini telah mengemukakan “7 desakan”:
- Menolak Rang Undang-undang Pindaan Kanun Jenayah (RKUHP), RUU Perlombongan Mineral, RUU Pertanahan, RUU Permasyarakatan, RUU Ketenagakerjaan, RUU Keamanan dan Ketahanan Siber; Mendesak pembatalan Undang-undang KPK dan Undang-undang Sumber Daya Air; mendesak disahkannya RUU Penghapusan Kekerasan Seksual dan RUU Perlindungan Pekerja Rumah Tangga.
- Lucutkan jawatan pimpinan Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi (KPK) bermasalah yang dipilih oleh Dewan Perwakilan Rakyat.
- Haramkan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Nasional (POLRI) daripada memegang jawatan jabatan awam.
- Hentikan cengkaman tentera di Papua dan wilayah lain. Bebaskan tahanan politik Papua segera!
- Hentikan pendakwaan jenayah terhadap semua aktivis.
- Hentikan pembakaran hutan di Kalimantan dan Sumatra; dan menghukum syarikat yang bertanggungjawab terhadap kebakaran dan menarik balik permit mereka.
- Selesaikan semua masalah pencabulan hak asasi manusia dan membawa mereka yang mencabul hak asasi manusia ke muda pengadilan, termasuk mereka yang berada di kedudukan tertinggi dalam kerajaan. Pulihkan hak-hak mangsa dengan serta-merta.
7 desakan atau tuntutan utama gerakan pelajar ini telah merangkumi aspek yang penting dalam usaha memerangi gejala rasuah, mempertahankan demokrasi dan melindungi alam sekitar. Perhatian yang diberikan kepada isu pencabulan hak asasi manusia di Papua juga menunjukkan gerakan pelajar yang sedang bangkit ini tidak terpengaruh oleh sentimen nasionalis sempit yang dibawa oleh golongan konservatif. Tuntutan-tuntutan ini amat jelas menunjukkan aspirasi mahasiswa-mahasiswi Indonesia hari ini untuk sebuah negara demokratik yang melindungi hak dan sejahteraan rakyat di samping bebas daripada ancaman golongan oligarki yang merampas kekayaan masyarakat.
Walaupun Indonesia digelar sebagai negara demokratik yang terbesar di Asia Tenggara, tetapi selepas lebih 20 tahun menjatuhkan kediktatoran Suharto, ancaman unsur-unsur anti-demokratik daripada golongan oligarki dan konservatif masih sangat hebat. Kesejahteraan rakyat biasa sentiasa diancam oleh dasar dan tindakan kerajaan yang mengutamakan kepentingan pemodal. Keganasan pihak berkuasa yang amat hebat di Papua Barat baru-baru ini hanya mengingatkan orang ramai tentang sifat asas pemerintahan negara Indonesia masih tidak berubah banyak.
Aksi mobilisasi pelajar-pelajar Indonesia terbaru ini memberi nafas baru kepada politik Indonesia. Solidariti untuk kebangkitan mahasiswa-mahasiswi dan anak-anak muda Indonesia!
2 thoughts on “Indonesia: Apabila reformasi dikorupsi, anak muda bangkit beraksi”