oleh Ben Nizari

Saya tertarik apabila seorang penulis Harakah, iaitu saudara Mohd Nasir Abdullah, hilang pertimbangan dan terus menyerang kaum sosialis secara membabi buta apabila seorang tokoh veteran, iaitu Syed Husin Ali, menyatakan perjuangan PAS hari ini sudah tidak sama dengan perjuangan PAS semasa era pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy.

Dalam satu majlis memperingati Dr Burhanuddin Al-Helmy yang diadakan di Auditorium Fakulti Ekonomi Universiti Malaya pada 28 September yang lalu, Dr Syed Husin mengkritik PAS hari ini sebagai kurang nasionalis, sempit dalam beragama dan anti kepada golongan bukan Islam dan bukan Melayu dan ini bertentangan dengan PAS sewaktu era Dr Burhanuddin yang mana PAS pada waktu tersebut disifatkan oleh Syed Husin sebagai lebih progresif.

Dengan membuang segala jiwa besar yang dianjurkan oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap hubungan sesama manusia, saudara Nasir Abdullah yang entah apa dendamnya ke atas saudara Syed Husin melepaskan peluru tabur terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM), walhal saudara Syed Husin itu, buat pengetahuan saudara Nasir Abdullah, tidak pernah ada kena mengena dengan PSM.

Ironinya, saudara Nasir Abdullah mengakui sosialisme memperjuangkan keadilan sosial dan mengutamakan nasib rakyat bawahan, serta menolak pemimpin yang menindas rakyat. Beliau mengiktirafnya sebagai bagus dan memberikan hujah bahawa semua ini sudah ada dalam Islam dan telah diperincikan. Maka ini adalah kebenaran bahawa apa yang dilakukan oleh PSM itu sebagai nilai dan sikap Islam dan saya tidak ragu-ragu mengatakan gerak kerja yang dilakukan oleh PSM itu lebih Islam daripada apa yang dikerjakan oleh PAS.

Saudara Nasir Abdullah menyatakan praktikal yang ditunjukkan oleh pemimpin Islam terdahulu membuktikan keadilannya. Beliau begitu romantis dengan karektor pemimpin Islam terdahulu sehingga terlupa bahawa sehingga ke hari ini masih terdapat ramai rakyat berada dalam kondisi tertindas, dan kaum sosialis terutamanya PSM begitu gigih memperjuangkan nasib-nasib kaum tertindas ini kerana matlamat kaum sosialis jelas: memberdayakan rakyat bawahan, meningkatkan taraf ekonomi mereka sehinggalah rakyat Malaysia secara keseluruhannya boleh hidup setara dalam keadaan makmur dan harmoni. Kaum sosialis bahkan mempunyai musuh yang jelas, iaitu kapitalis dan orang-orang yang melakukan penindasan.

Justeru saya agak hairan tentang kaedah Islam yang dimaksudkan saudara Nasir Abdullah sebagai tidak mahu dilaksanakan oleh kaum Sosialis kerana banyak nilai-nilai Islam ada dalam perjuangan sosialisme.

Oleh kerana tiada lagi peluru atau senjata untuk mempertikaikan kerja-kerja kaum sosialis membantu masyarakat tertindas maka PAS menerusi pena saudara Nasir Abdullah menurun-taraf kemuliaan ilmu dengan membawa hujah bahawa terdapat “seorang” orang sosialis yang berwuduk dengan cara yang salah? Lebih teruk hujah ini disandarkan kepada orang yang terpercaya bukannya menerusi mata kepala saudara Nasir Abdullah sendiri. Tidakkah ini lebih sebagai gosip berbanding hujah?

Sekiranya PAS tidak bersetuju dengan kenyataan Syed Husin tentang perbezaan perjuangan PAS semasa zaman Dr Burhanudin dengan PAS hari ini maka apakah PAS tidak ada modal lagi untuk melawan hujah tersebut dengan membuktikannya melalui kerja-kerja yang telah dilakukan oleh parti Islam tersebut daripada memfitnah kaum sosialis sebagai tidak menggunakan kaedah Islam dalam kerja-kerjanya? Jika PAS melakukan kerja bakti mereka dengan baik, PAS tidak perlu tersinggung dengan kenyataan saudara Syed Husin dan kemudian secara caca merba menyodok kaum sosialis. Tulisan saudara Nasir Abdullah hanya membenarkan kritikan yang disebut oleh saudara Syed Husin.

Seorang penulis yang berkualiti dan baik akan membuat kajian lebih lanjut tentang musuh mereka (jika sosialis dianggap sebagai musuh). Sekiranya musuh mereka melakukan kerja lebih baik daripada mereka, maka apa yang perlu dilakukan sangat mudah iaitu, muhasabah diri. Cermati dan teliti PAS di era Dr. Burhanudin, tentang apa yang dilakukan dan bagaimana PAS pada waktu itu melakukannya supaya khidmat PAS kepada rakyat dapat diperbaiki dari masa ke semasa berbanding menyerang Syed Husin secara peribadi. Saya beranggapan bahawa serangan peribadi adalah kerja orang-orang rigid yang tidak matang dan sentiasa mahu senang dalam membuat kerja.

20190930 - HOS_Tjokroaminoto,_20_Mei_Pelopor_17_Agustus,_p43.jpg
Tjokroaminoto

PAS seharusnya belajar daripada almarhum Tjokroaminoto, walaupun beliau memiliki latar pengetahuan keislaman yang cukup baik, namun itu tidak membuatkan dirinya menjadi jumud dan kaku. Saudara Iswara N Raditya dalam tulisannya di laman Tirto menyatakan bahawa bagi Tjokroaminoto, Islam dan sosialisme itu bukanlah dua kutub yang berseberangan dan menjadi pertentangan. Sebaliknya, keduanya berupaya saling melengkapi dan menghasilkan perpaduan yang sangat baik.

Saudara Iswara juga mengangkat satu petikan daripada sebuah buku karangan Tjokroaminoto, “Beliau dalam kursusnya tidak mencela (Karl) Marx dan (Friedrich) Engels, bahkan berterima kasih kepada keduanya sebab teori Histori Materialisme Marx dan Engels telah menambah jelasnya bagaimana kesatuan sosialisme yang dibawa Nabi Muhammad, sehingga kita sebagai orang Islam merasa beruntung sebab tidak perlu mengambil teori yang lain lagi,” (Amelz, H.O.S. Tjokroaminoto: Hidup dan Perjuangannya, 1952: 36).

Kepada saudara Nasir Abdullah, apa saja dendam atau ketidakpuashatian saudara terhadap Syed Husin perlulah diselesaikan secara peribadi tanpa perlu mengheret pihak lain atau meng-kambing-hitam-kan sesebuah ideologi demi menguatkan hujah dan memuaskan hati saudara secara peribadi.

Rujukan: H.O.S. Tjokroaminoto Memadukan Islam dan Sosialisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *