20190929 - Food-Panda-new-logo

Pekerja-pekerja Foodpanda, sebuah syarikat penghantar makanan atas talian, akan mengadakan mogok, untuk membantah pengenalan skim pembayaran baru yang bakal menjejaskan jaminan pendapatan mereka. Menurut laporan media, mogok ini akan diadakan oleh penghantar makanan (rider) Foodpanda di luar Lembah Klang untuk selama 3 hari mulai 30 September 2019.

Dilaporkan mogok penghantar makanan Foodpanda telah dirancang di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang. Penghantar-penghantar makanan di Johor sudah pun mengadakan satu protes di pejabat Foodpanda di Johor Bahru, untuk menyatakan bantahan mereka terhadap skim pembayaran baru yang akan diperkenalkan mulai 30 September 2019.

20190929 - 578b0a2344a8a5971efb7383dcbfbda5
Pekerja-pekerja Foodpanda bermogok dan berprotes di Johor Bahru. (foto oleh abdö)

Pada takat ini, penghantar-penghantar makanan Foodpanda menerima bayaran RM4 sejam dan pembayaran tambahan sebagai tips untuk setiap penghantaran. Bayaran tips mengikut pesanan adalah antara RM3 hingga RM5 berasaskan prestasi penghantar. Skim pembayaran baru pula menghapuskan bayaran asas setiap jam, dan meningkatkan bayaran berasaskan setiap pesanan antara RM4.50 hingga RM7.

Penghantar-penghantar makanan Foodpanda tidak berpuas hati dengan skim pembayaran baru tersebut kerana bakal menjejaskan jaminan pendapatan mereka yang sudah agak sedikit itu. Syarikat Foodpanda cuba menafikan bahawa skim pembayaran baru tidak akan menjejaskan pendapatan penghantar makanan atas alasan “skim yang disemak semula itu akan membolehkan mereka memperoleh lebih banyak pendapatan berasaskan kepada pesanan yang mereka terima”. Namun, penghantar-penghantar makanan tidak akan mendapat apa-apa pendapatan sekiranya langsung tiada pesanan dalam sehari. Ini khususnya mengancam jaminan pendapatan penghantar makanan yang bekerja di lokasi yang kurang pelanggan Foodpanda di luar Lembah Klang.

Syarikat Foodpanda juga mengatakan bahawa “penghantar makanan diberi insentif dengan bonus RM100 selepas menyelesaikan 60 jam bekerja seminggu”, tetapi ini bermakna penghantar makanan hanya menerima bonus sebegini dengan bekerja lebih 10 jam sehari untuk 6 hari seminggu. Jika pekerja di kilang perlu menerima bayaran kerja lebih masa (OT) selepas 8 jam sehari, tetapi penghantar makanan Foodpanda hanya terima bayaran tambahan selepas 10 jam sehari. Adakah ini sesuatu yang adil untuk pekerja?

Bayaran tambahan RM1 bagi setiap pesanan antara pukul 11 malam hingga 9 pagi setiap hari, juga bukannya sesuatu yang munasabah, kerana pesanan pada tempoh waktu tersebut bukannya banyak, tambahan pula ia ialah kerja pada waktu tengah malam yang mengorbankan masa tidur untuk pekerja.

Foodpanda ialah sebuah syarikat penghantaran makanan atas talian antarabangsa yang beribupejabat di Jerman, dengan operasinya wujud dengan jenama foodpanda di negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Hong Kong, Taiwan, India, Pakistan dan sebagainya.

20190929 - EFe4QBSUwAAXVC5
Suara hati penghantar makanan Foodpanda (foto oleh abdö)

Situasi yang dihadapi oleh penghantar-penghantar makanan Foodpanda Malaysia ini mendedahkan masalah serius yang wujud dalam ekonomi gig.

Ekonomi gig merupakan “inovasi” sistem ekonomi kapitalis yang bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan kapitalis besar. Kapitalis kewangan yang menjadi pemilik kepada platform atas talian menikmati keuntungan lumayan daripada pengwujudkan kerja-kerja yang “fleksibel” dan “sementara”. Hubungan majikan-pekerja telah dikaburkan di bawah ekonomi gig, dengan pekerja-pekerja diupah sebagai “kontraktor” atau “pekerja bebas” (freelancer), namanya sedap didengar tetapi hakikatnya hanya penerima upah yang tiada jaminan kerja seperti pekerja sepenuh masa yang diupah di bawah ekonomi tradisional.

Ekonomi gig sedang menjadi satu trend yang tidak boleh dielakkan dalam era ekonomi kapitalis semakin terjerumus dalam krisis. Perkembangan bisnes berasaskan platform perkhidmatan atas talian seperti perkhidmatan e-hailing Grab dan pesanan makanan atas talian Foodpanda, adalah sebahagian daripada trend penyusunan semula ekonomi kapitalis untuk menjamin keuntungan pemodal dengan menghakis lebih lanjut lagi hak pekerja dan jaminan hidup bermaruah untuk pekerja.

Mengikut Bank Dunia, lebih kurang 26% tenaga kerja di Malaysia sekarang ini digolongkan sebagai freelancer, dan angka ini semakin meningkat. Walaupun kerja-kerja bebas atau freelance dikatakan memberikan kemudahan waktu kerja yang fleksibel untuk pekerja, tetapi tidak menjamin pendapatan dan perlindungan tetap untuk pekerja. Semakin ramai pekerja dihumban ke dalam situasi tidak menentu dan menjadi “prekariat” (kelas pekerja yang tiada perlindungan dan jaminan hidup yang tetap).

Selain membolehkan golongan pemodal mencuci tangan daripada tanggungjawab mereka dalam melindungi hak dan jaminan kerja untuk pekerja, ekonomi gig juga melemahkan kuasa tawar-menawar pekerja kerana sistem kerja yang bersifat “kontrak” atau “sementara” ini menjadikan pekerja-pekerja sukar untuk berorganisasi dalam kesatuan sekerja seperti di bawah ekonomi tradisional. Pekerja-pekerja yang tiada kesatuan menyebabkan sukar untuk mereka menyampaikan pandangan mereka mengenai struktur gaji dan kebajikan yang sepatutnya dinikmati oleh mereka, sementara pihak pemodal dapat mengubah sistem pembayaran seperti yang berlaku pada Foodpanda terbaru ini.

Namun demikian, pekerja masih dapat menunjukkan kuasa mereka dengan melakukan aksi mogok. Jadi, mogok penghantar makanan Foodpanda adalah tindakan penting untuk menyampaikan mesej jelas bahawa pekerja tidak boleh dibuli sewenang-wenangnya dengan sistem kerja yang membiak ketidakjaminan hidup untuk pekerja.

2 thoughts on “Pekerja foodpanda mogok untuk jaminan pendapatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *