Medan Tahrir di bandar Kaherah dibanjiri oleh demonstran pada hari Jumaat, dengan slogan tuntutan untuk menjatuhkan rejim yang memerintah. Babak ini tidak asing bagi ramai orang pada tahun 2011 ketika berlakunya kebangkitan rakyat dunia Arab yang digelar “Musim Bunga Arab” (Arab Spring). Babak ini telah “diulang tayang” baru-baru ini, apabila ribuan orang, dengan kebanyakannya anak muda, telah turun berprotes di jalanan di bandar-bandar seperti Kaherah, Iskandariah, Damietta, Suez dan sebagainya, untuk menuntut supaya Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dilucutkan kuasanya.
Protes jalanan yang terbaru di Mesir ini tercetus berikutan penyebaran video oleh Mohamed Ali, seorang kontraktor pembinaan yang hidup dalam buangan di Sepanyol, yang menuduh Abdel Fattah al-Sisi dan kepimpinan tentera Mesir terlibat dalam korupsi dan membazirkan dana awam. Pemimpin Kerajaan Mesir mengatakan tuduhan tersebut sebagai “tipu dan fitnah”, tetapi gagal menghalang protes yang mengejutkan pada 20 September 2019. Mohamed Ali juga menyeru untuk perarakan “sejuta orang” pada 27 September 2019 akan datang ini.
Namun, selepas protes minggu lalu, Kerajaan pimpinan Abdel Fattah al-Sisi telah mula menggunakan kekerasan untuk cuba menghancurkan gelombang kebangkitan rakyat terbaru yang boleh menggugat kekuasaannya ini.
Seperti yang pernah berlaku ketika Kebangkitan Dunia Arab tahun 2011, demonstran di Mesir telah dilayan dengan gas pemedih mata dan peluru getah daripada polis. Lebih kurang 500 orang telah ditahan polis beberapa hari selepas aksi protes. Sebahagian akses internet juga telah diputuskan untuk menyekat kebangkitan rakyat.
Aksi protes massa agak jarang berlaku selepas Abdel Fattah al-Sisi berkuasa sejak tahun 2013. Presiden yang merupakan bekas jeneral yang mengetuai kudeta tentera pada tahun 2013 ini telah menggunakan kaedah penangkapan besar-besaran dan pelbagai cara represif untuk memukul pembangkang di negara itu.
Abdel Fattah al-Sisi mengambilalih kuasa pemerintahan negara Mesir pada bulan Julai 2013, setelah melakukan kudeta tentera yang menjatuhkan Presiden Mohamed Morsi ketika itu. Abdel Fattah al-Sisi kemudiannya menang dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2014 dan 2018 yang diadakan dalam keadaan yang represif dan tidak adil. Kerajaan pimpinan Abdel Fattah al-Sisi memperkenalkan banyak dasar yang menyekat ruang demokrasi. Perhimpunan melebihi 10 orang tanpa kelulusan kerajaan adalah diharamkan sejak tahun 2013. Sekurang-kurangnya 60,000 orang, dengan kebanyakannya penyokong kepada Mohamed Morsi yang djatuhkan dalam kudeta, telah ditahan dalam tempoh 6 tahun yang lalu.
Protes baru-baru ini adalah letusan kemarahan rakyat Mesir terhadap dasar Kerajaan Abdel Fattah al-Sisi yang represif di samping amalan korupsi dan nepotisme yang wujud dalam pemerintahannya. Sama ada protes ini akan berkembang menjadi pemberontakan rakyat yang hebat atau dipatahkan oleh kerajaan secara keras, rakyat Mesir bakal memberikan jawapan melalui tindakan mereka.
One thought on “Mesir: Gelombang protes hadapi penindasan rejim kuku besi al-Sisi”