20190924 - Suara KPBI 70626924_927561807610628_1444410292057407488_n.jpg
(foto oleh Persatuan Buruh)

Ribuan pelajar di beberapa buah bandar di Indonesia, termasuk ibu negaranya Jakarta, telah turun ke jalanan pada 23 September 2019 untuk berdemonstrasi dengan tuntutan kepada kerajaan Indonesia untuk menghentikan usaha kelas pemerintah yang cuba menyekat ruang demokrasi dan kebebasan rakyat dengan penggubalan rang undang-undang yang kontroversi. Demonstrasi masih berterusan pada hari ini (24 September 2019).

Antara rang undang-undang yang menimbulkan kerisauan ramai di Indonesia ialah pindaan kepada Kanun Jenayah di negara itu yang dikenali sebagai Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP). Pindaan terhadap Kanun Jenayah ini bakal menghakis kebebasan demokratik untuk rakyat Indonesia, di samping mendiskriminasi golongan wanita, minoriti agama dan LGBT. Amat jelasnya peruntukan yang menyekat dalam cadangan pindaan Kanun Jenayah tersebut adalah cenderung kepada kehendak politik golongan konservatif dan reaksioner di Indonesia yang sentiasa mahu mengembalikan sistem pemerintahan “Orde Baru” zaman Suharto yang bersifat represif.

Selain itu, pelajar-pelajar yang berprotes juga membantah rancangan untuk meminda Undang-undang tentang Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi (KPK) dan Undang-undang Pertanahan, yang dianggap akan menjejaskan kepentingan rakyat biasa untuk memenuhi kehendak golongan pelabur yang hanya mahu mengaut keuntungan lumayan. Pindaan terhadap Undang-undang KPK dikatakan akan menjejaskan usaha membenteras rasuah di negara Indonesia, dengan kewibawaan Suruhanjaya Pembenterasan Korupsi sebagai sebuah badan yang bebas digadaikan.

20190924 - Indo - JP - Ghina Ghaliya - 2019_09_23_79878_1569247083._large
(Foto oleh Ghina Ghaliya / JP)

Oleh sebab mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak, Presiden Indonesia Joko Widodo yang juga lebih dikenali sebagai Jokowi, telah mengumumkan penangguhan pengundian untuk kelulusan pindaan Kanun Jenayah di Dewan Perwakilan Rakyat yang dijadualkan pada 24 September 2019. Namun, pelajar-pelajar masih meneruskan protes untuk mendesak pihak kerajaan supaya membatalkan sepenuhnya rang undang-undang yang anti-demokratik ini.

Demonstrasi pelajar di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat turut disertai oleh massa petani dan pekerja. Organisasi pekerja seperti Federasi Perjuangan Buruh Indonesia (FPBI) dan Kesatuan Pejuang Rakyat (KPR) menyatakan bantahan mereka terhadap Rang Undang-undang Pertanahan yang dianggap hanya untuk melindungi kepentingan pelabur.

Walaupun Indonesia telah melalui proses Reformasi yang menjatuhkan pemerintahan diktator sejak 20 tahun yang lalu, tetapi kekuasaan politik yang menentukan nasib rakyat biasa masih dimonopoli oleh golongan oligarki yang menguasai kepentingan ekonomi di negara itu. Pengaruh oligarki ini merentasi spektrum politik golongan elit, dari yang konservatif sehingga yang kononnya progresif. Penguasaan golongan oligarki inilah menyebabkan walaupun Indonesia digelar sebagai “Negara Demokrasi yang Terbesar di Asia Tenggara”, tetapi kesejahteraan rakyat bawahan Indonesia langsung tidak dijamin kerana penyertaan massa dalam proses politik dibantutkan oleh kekuasan golongan oligarki.

Oleh yang demikian, perjuangan untuk mempertahankan dan memperluaskan ruang demokrasi tidak boleh berhenti lagi di Indonesia, sementara usaha memperjuangkan kesejahteraan rakyat biasa masih berterusan.

20190924 - bandung 71674521_927561767610632_3534520036045619200_n
Perhimpunan di Bandung pada 23 September 2019. (foto oleh Persatuan Buruh)

Ada apa dengan pindaan KUHP?

Badan perundangan Indonesia telah menghabiskan masa beberapa dekad untuk cuba meminda Kanun Jenayah (KUHP) yang digubal sejak tahun 1945, iaitu semasa kemerdekaan Republik Indonesia. KUHP yang dirangka berasaskan pengubahsuaian yang sedikit terhadap kanun jenayah zaman penjajahan Belanda itu, dikatakan sudah lama ketinggalan zaman dan perlu dikemaskini bersesuaian dengan zaman sekarang. Namun, pindaan KUHP yang dikemukakan 20 tahun selepas Indonesia melalui Reformasi sejak tahun 1998 dan menjadi “negara demokrasi yang terbesar di Asia Tenggara” ini, telah memperkenalkan peruntukan yang regresif dan menyekat ruang demokrasi, sehingga menggadaikan hasil Reformasi selama dua dekad yang lalu.

Dalam draf pindaan Kanun Jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan Indonesia terbaru, terdapatnya banyak peruntukan yang kontroversi dan anti-demokrasi, antaranya:

  • Penyebaran fahaman komumis/Marxis melalui apa-apa platform di Indonesia ialah jenayah yang boleh dihukum penjara maksimum 7 tahun (atau maksimum 15 tahun jika fahaman sedemikian menyebabkan rusuhan orang awam yang menyebabkan kematian), dan mereka yang menubuhkan organisasi yang mengamalkan ideologi komunis boleh dipenjarakan maksimum 10 tahun. (Perkara 188 dan 189)

  • Sesiapa yang menghina Presiden atau Timbalan Presiden boleh dihukum penjara maksimum 4 tahun dan 6 bulan. (Perkara 219)

  • Sesiapa yang menghina kerajaan dan menyebabkan rusuhan awam boleh dipenjara maksimum 4 tahun. (Perkara 241)

  • Sesiapa yang membekalkan ubat atau meminta wanita mengandung untuk mengambil ubat bagi pengguguran boleh dihukum penjara maksimum 4 tahun. (Perakara 251)

  • Orang dewasa yang mempromosi, mengiklankan, menawarkan atau menunjukkan alat pencegah hamil kepada kanak-kanak boleh didenda sebanyak 1 juta Rupiah (bersamaan RM 296). (Perkara 414)

  • Hubungan seks di luar nikah boleh dihukum penjara maksimum 1 tahun. (Perakara 417)

  • Dua orang yang tinggal berkesedudukan di luar nikah ialah kesalahan jenayah yang boleh dilaporkan oleh pihak ketiga, termasuk ketua kampung, dan boleh dihukum penjara maksimum 6 bulan. (Perkara 419)

  • Sesiapa yang menjadi gelandangan di jalanan atau tempat awam yang dikatakan mengganggu ketertiban awam boleh didenda maksimum 1 juta Rupiah (bersamaan RM 296). (Perkara 432) – Walaupun hukuman terhadap gelandangan sudah dikurangkan berbanding penjara maksimum 3 bulan di bawah Kanun Jenayah yang sedia ada, gelandangan masih dianggap sebagai sejenis “jenayah”.

  • Wanita yang menjalankan atau mendapatkan bantuan daripada seseorang untuk menjalankan pengguguran boleh dihukum penjara maksimum 4 tahun. (Perkara 470)

  • Sesiapa yang menjalankan pengguguran untuk wanita mengandung dengan persetujuan boleh dihukum penjara maksimum 5 tahun. (Perkara 471)

  • Profesional perubatan yang membantu atau menjalankan pengguguran akan dibatalkan lesen perubatannya, dan perlu menjalani hukuman tambahan satu pertiga daripada pelanggaran Perkara 470 atau 471. (Perkara 472)

  • Hukuman minimum untuk korupsi dikurangkan daripada penjara 4 tahun kepada 2 tahun. (Perkara 604)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *