20190914 - 12074496_508462519321838_7200751698128732291_n.jpg

oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengutuk tindakan penahanan terhadap Khalid Ismath, mantan Ketua Pemuda PSM, atas tuduhan di bawah Seksyen 4(1)B Akta Hasutan untuk siasatan yang berkaitan dengan posting twitter mengenai Raja Permaisuri Agung. Beliau telah ditahan di rumahnya di Klang oleh 3 orang anggota Polis Bahagian D5 Bukit Aman yang diketuai oleh Insp Zainol, pada jam lebih kurang 10.30 malam, 13 September 2019. Telepon bimbitnya juga telah dirampas semasa penahanan.

Khalid Ismath kini telah dibawa ke IPD Dang Wangi dan isterinya dimaklumkan oleh Polis bahawa beliau akan direman esok (14 September 2019).

PSM berpendapat bahawa penangkapan Khalid Ismath pada waktu malam di rumahnya adalah satu bentuk intmidasi yang boleh dielakkan. Jikalau perlu, polis boleh meminta beliau hadir ke balai polis untuk mengambil kenyataan di mana beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya. Raja Permaisuri Agung juga telah mengatakan pendirian baginda mengenai posting twitter berkenaan dan tidak pernah mengaitkan sesiapa. Khalid sendiri sebelum ini sudahpun menafikan beliau membuat apa-apa posting mengenai DYMM Permaisuri Agung.

Kerajaan Pakatan Harapan sudahpun membuat keputusan sebelum ini untuk memansuhkan Akta Hasutan yang merupakan akta penjajah. Maka, PSM berpendirian bahawa penggunaan Akta ini secara berterusan merupakan satu pencabulan hak asasi manusia dan ia harus dihentikan.

PSM meminta supaya Khalid Ismath dibebaskan dengan serta-merta. Tindakan Polis mahu mereman seseorang sebelum membuat siasatan adalah satu tindakan yang bercanggah dengan prosedur Kanun Acara Jenayah. Kami berharap Ketua Polis Negara baru akan memastikan polis tidak menghukum seseorang sewengan-wenang dan kedaulatan undang-undang (rule of law) harus diutamakan.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *