KAPAR, SELANGOR – 7 SEPTEMBER 2019: Penternak-penternak yang mengusahakan penternakan lembu dan kambing di ladang Sime Darby sekitar Kuala Selangor, telah membuat aduan polis ke atas syarikat Sime Darby, pada hari ini di Balai Polis Sungai Kapar Indah, oleh kerana pihak syarikat Sime Darby hendak melakukan pengusiran secara paksa terhadap mereka dari kawasan ladang Sime Dardy.
Pada 15 Ogos 2019, sebahagian penternak yang menjalankan aktiviti penternakan di kawasan ladang Sime Dardy mendapat notis pengusiran dari Sime Darby. Dalam notis tersebut, Sime Darby memberi masa sehingga 15 November 2019 untuk para penternak mengeluarkan semua ternakan dan kandang mereka dari kawasan ladang.
Penternak-penternak ini pada asalnya bekerja sebagai pekerja ladang di ladang Sime Darby di situ untuk lebih 3 generasi. Sejak mereka bekerja sebagai pekerja lagi, mereka sudah mula memelihara lembu di kawasan ladang Sime Darby. Selama ini, pihak Sime Darby tidak pernah menghalang mereka daripada menjalankan aktiviti penternakan. Sebagai pekerja ladang yang sekian lama bekerja di ladang Sime Darby dengan pendapatan rendah yang kekal di bawah garis kemiskinan, maka kebanyakan mereka mula menjalankan aktiviti penternakan di kawasan ladang untuk pendapatan sampingan. Aktiviti penternakan ini berlaku dengan pengetahuan sepenuh pihak Sime Darby. Kini, Sime Darby mengatakan bekas pekerja ini dan ternakan mereka sebagai penceroboh. Ini adalah sesuatu tidak masuk akal.
Para penternak membuat aduan polis pada hari ini untuk meminta pada pihak polis supaya memberi perlindungan keselamatan kepada semua penternak jika Sime Darby mengambil tindakan seperti merobohkan kandang mereka atau menghalau ternakan mereka tanpa melalui proses undang-undang yang betul. Pengusiran paksa tanpa perintah mahkamah adalah salah di sisi undang-undang.
“Pihak polis juga tidak boleh bersubahat dalam pengusiran paksa tanpa perintah mahkamah. Kami meminta pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana kami telah pun mendapat ugutan daripada pihak pengurusan Sime Darby berikutan notis larangan. Tindakan Sime Darby ini boleh mengancam keharmonian dan ketenteraman. Kami juga mahu pihak polis memainkan peranan neutral dalam isu ini apabila penternak-penternak membantah tindakan Sime Darby jika Sime Darby membawa masuk badan-badan Kerajaan seperti Polis, Pejabat Tanah, Jabatan Veterinari atau mana-mana badan yang hadir bersama wakil Sime Darby untuk tindakan pengusiran,” begitu tuntutan para penternak yang sedang menghadapi ancaman pengusiran ini.
Baru-baru ini, penternak-penternak di Kuala Selangor telah menghantar satu memorandum kepada Ibu Pejabat Sime Darby berkenaan notis larangan yang dikeluarkan terhadap mereka. Pihak Sime Darby memberitahu bahawa akan memberi maklum balas kepada mereka dalam masa terdekat.
Penternak-penternak ini mengatakan bahawa adalah wajar jika pihak polis menasihati pihak Sime Darby terlebih dahulu dalam isu ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini dan pengusiran paksa tanpa sebarang notis mahkamah.
One thought on ““Sime Darby, jangan usir kami!” seru penternak Kuala Selangor”