20190724puerto-rico-hoy.jpgSatu gelombang protes besar-besaran sedang melanda Puerto Rico, sebuah tanah jajahan Amerika Syarikat (AS) di Caribbean, bukan sahaja menggugat kedudukan Gabenor Ricardo Rosselló, tetapi juga mencabar kuasa penjajahan AS yang bertapak di kepulauan tersebut sejak tahun 1898.

(KEMASKINI 25 JULAI 2019: Setelah protes beterusan untuk 2 minggu, Ricardo Rosselló telah mengumumkan bahawa dia akan undur dari jawatannya berkuatkuasa 2 Ogos 2019. Satu kemenangan penting untuk kebangkitan rakyat Puerto Rico. )

Rakyat Puerto Rico mula turun berprotes di jalanan pada 11 Julai 2019 untuk menuntut perletakan jawatan Ricardo Rosselló sebagai Gabenor Puerto Rico. Rakyat berprotes setiap hari di jalanan sejak itu. Pada 17 Julai 2019, dianggarkan seramai 500,000 orang berprotes di San Juan, ibu negeri Puerto Rico; sementara protes juga diadakan di bandar-bandar lain di kepulauan tersebut, dan juga oleh diaspora Puerto Rico di luar kepulauan itu.

Protes yang lebih besar lagi tercetus pada 22 Julai 2019, dengan anggaran 750,000 orang berprotes di San Juan, selepas Ricardo Rosselló enggan meletak jawatan sebagai Gabenor.

Jumlah penduduk di kepulauan Puerto Rico sekarang ini lebih kurang 3.2 juta orang, dengan lebih kurang 2.3 juta orang tinggal di kawasan metropolitan San Juan. Boleh dikatakan lebih kurang ¼ daripada jumlah penduduk Puerto Rico ataupun 30% daripada jumlah penduduk di San Juan terlibat dalam aksi protes terbaru pada 22 Julai 2019, satu nisbah penglibatan aksi yang amat tinggi.

20190724 - 67175529_10157496323572363_5257059134448074752_n

Puerto Rico ialah sebuah tanah jajahan AS yang digolongkan sebagai “wilayah teratur tak diperbadankan” (unincorporated territory), terletak di timur laut Lautan Caribbean dan lebih kurang 1,600 km ke tenggara dari Miami, AS. Puerto Rico mula dijajah oleh Sepanyol pada akhir abad ke-15, kemudiannya diceroboh dan diduduki tentera AS pada tahun 1898 ketika berlakunya Perang AS-Sepanyol. Pada tahun 1917, Kongres AS meluluskan undang-undang yang memberikan kewarganegaraan AS kepada mereka yang lahir di Puerto Rico. Gerakan memperjuangkan kemerdekaan Puerto Rico mula berkembang pesat pada tahun 1930-an, tetapi dipukul secara kejam termasuk Peristiwa Pembunuhan Besar-besaran di Ponce pada 21 Mac 1937. Pilihanraya untuk Gabenor mula dilaksanakan pada tahun 1948, tetapi dimenangi oleh golongan elit politik yang pro-AS. Parti Nasionalis Puerto Rico mengadakan pemberontakan untuk menentang penjajahan AS pada tahun 1950-an tetapi digagalkan. Perlembagaan Puerto Rico digubal pada tahun 1952.

Gelombang protes di Puerto Rico baru-baru ini tercetus daripada skandal korupsi dan pembongkaran isi kandungan perbualan kumpulan dalam aplikasi Telegram yang kontroversi. Pada 10 Julai 2019, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menahan 2 orang bekas anggota Kabinet Kerajaan Rosselló dan 3 orang kontraktor kerajaan atas pertuduhan korupsi. Sementara itu, isi kandungan perbualan kumpulan dalam aplikasi Telegram yang melibatkan Rosselló bersama sebahagian anggota kabinetnya dan penasihat politiknya telah didedahkan oleh Pusat Kewartawanan Siasatan Puerto Rico, di mana perbualan tersebut mengandungi komen-komen yang bersifat rasis, seksis, homofobik dan anti-wanita. Mereka dalam kumpulan perbualan tersebut juga mengejek mangsa bencana ribut taufan Maria yang melanda pada tahun 2017, di samping membincangkan isu berkaitan dengan kontrak dan dana kerajaan.

Rakyat yang marah dengan skandal kerajaan telah turun berdemonstrasi. Beberapa orang pegawai tinggi dalam Kerajaan Rosselló telah meletak jawatan berikutan skandal terbaru ini. Rosselló mengumumkan bahawa dia tidak akan bertanding dalam pilihanraya Gabenor pada tahun depan, tetapi enggan meletak jawatan sebagai Gabenor dengan serta-merta. Protes di jalanan diteruskan kerana keengganan Rosselló untuk undur dari posisinya.

20190724 - 263bc00c014844da6012faa4bbeb7f9b

Ricardo Rosselló mengambilalih jawatan Gabenor Puerto Rico pada 2 Januari 2017, setelah menang dalam Pilihanraya Gabenor pada tahun 2016 dengan memperoleh 660,510 undi (bersamaan 41.8% daripada undi popular). Rosselló ialah anak kepada Pedro Rosselló yang menjadi Gabenor Puerto Rico dari tahun 1993 hingga 2001. Rosselló merupakan anggota Parti Progresif Baru, sebuah parti politik aliran utama yang menyokong Puerto Rico menjadi salah sebuah negeri AS. Rosselló juga menganggotai Parti Demokratik AS.

Kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat Puerto Rico yang ditunjukkan dalam aksi protes besar-besaran terbaru ini, mempunyai punca yang jauh lebih mendalam, termasuk status Puerto Rico yang masih dijajah AS, dasar “penjimatan” (pengurangan perbelanjaan sosial) yang diamalkan oleh Lembaga Kawalan Fiskal yang dilantik secara terus oleh Kerajaan AS atas alasan “penstrukturan semula hutang” dan juga kegagalan kerajaan Puerto Rico dalam membantu mangsa ribut taufan Maria.

20190724 - 21bf82523e9ee5f816d6f64882b1d071

Lembaga Kawalan Fiskal yang ditubuhkan di bawah Akta Pengawasan, Pengurusan dan Kestabilan Ekonomi Puerto Rico (PROMESA) yang digubal oleh Kongres AS pada tahun 2016, telah memaksa Kerajaan Puerto Rico untuk melaksanakan dasar “penjimatan” (austerity) yang melibatkan pemotongan hebat terhadap peruntukan untuk kesihatan, pencen dan pendidikan, dengan alasan menyelesaikan masalah hutang. Kediktatoran Lembaga Kawalan Fiskal terhadap belanjawan Puerto Rico, dengan kuasa mutlaknya terhadap ekonomi di situ, adalah penjelmaan kekuasaan penjajahan AS di kepulauan tersebut dalam bentuk yang sedang memusnahkan kehidupan rakyat tempatan. Institusi perbankan di Wall Street yang bersifat pemangsa telah meraih keuntungan lumayan daripada krisis hutang Puerto Rico, dan rakyat biasa Puerto Rico pula terpaksa menanggung segala penderitaan akibat daripada sesuatu krisis yang puncanya tiada kaitan dengan mereka.

Bencana ribut taufan Maria yang melanda Puerto Rico pada tahun 2017, telah meragut nyawa seramai 4,645 orang. Kerajaan Puerto Rico gagal membantu mangsa ribut taufan dan proses pemulihan yang lambat selepas bencana juga berkait secara langsung dengan dasar penjajahan AS di Puerto Rico. Rakyat biasa Puerto Rico masih mengalami kesengsaraan daripada bencana ribut taufan Maria selepas 2 tahun. Komen yang menghina mangsa bencana dalam perbualan Rosselló dengan penasihat politiknya menjadi batu api kepada letusan kebangkitan rakyat Puerto Rico yang amat hebat.

Rakyat Puerto Rico sedang mencipta sejarah di tanah jajahan AS tersebut dengan kebangkitan yang hebat pada ketika ini yang mencabar status quo. Perjuangan rakyat untuk pembebasan Puerto Rico akan terus mara ke depan.

20190724 - 67102559_10219060880822616_6865113070667038720_n
Penyanyi terkenal Puerto Rico, Ricky Martin (yang pegang bendera pelangi), turut menyertai protes jalanan di San Juan.
201907243897b1fdccc558c223b3ab8fec24c0ba
Demonstran membanjiri jalan menuju ke rumah kediaman rasmi Gabenor di San Juan.
20190724 - b3ab44e372c72c8affbdf64f8972b0c2
Rakyat Puerto Rico berprotes di sepanjang Lebuhraya Las Americas di San Juan.

One thought on “Puerto Rico: Rakyat bangkit cabar penjajahan AS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *