20190717 -iPhone_IMG_6873.jpg

oleh Gandipan Nantha Gopalan

Kenyataan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa kerajaan sedang mengkaji semula pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sebenarnya tidak mengejutkan. Kita semua tahu bahawa Dr. Mahathir yang memperkenalkan PPSMI pada tahun 2003 hasil daripada perbincangan Kabinet pada tahun 2002. Pemuda PSM berpendapat bahawa proses mengkaji semula PPSMI tidak harus terburu-buru dan harus melibatkan pihak-pihak berkepentingan, terutamanya tenaga pengajar dan pihak ibu bapa.

Penglibatan pihak berkepentingan sangat penting dalam isu ini kerana hasil pelaksanaan PPSMI sebelum ini sangat top-down dan telah menerima kecaman hebat daripada rakyat. Antara impak pelaksanaan yang ketara dapat kita lihat melalui kajian Trends in Mathematics and Science Study, di mana kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007. PPSMI ini juga dikatakan mewujudkan satu jurang pencapaian yang lebar antara sekolah di bandar dan di luar bandar. Situasi ini berlaku akibat tahap penguasaan seseorang murid dalam Bahasa Inggeris yang lemah yang seterusnya telah menyebabkan murid tersebut ketinggalan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Sebaliknya, PPSMI juga dikatakan boleh mewujudkan lapisan masyarakat yang sedia mengharungi arus globalisasi ini.

Semua pendapat di atas yang memang telah dan sedang dibincangkan oleh rakyat harus diambil kira semasa mengambil keputusan. Pemuda PSM berpendapat bahawa sistem pendidikan negara kita bukan pentas untuk kepimpinan baru mengambil kesempatan untuk menunjukkan kehebatan mereka. Sistem pendidikan haruslah menjadi sesuatu yang inklusif di mana pemerkasaan berlaku bukan hanya untuk murid dari kawasan bandar tetapi juga untuk murid dari kawasan luar bandar. Sesuatu pembaharuan dalam sistem pendidikan harus mengambil kira faktor kesediaan semua pihak yang melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PPSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *