20190717 - tamil nesan.jpgGOMBAK – 17 JULAI 2019: Bekas pekerja akhbar Bahasa Tamil, Tamil Nesan, membuat aduan polis pada hari ini di Ibupejabat Polis Daerah, berkenaan dengan penyelewengan oleh pihak majikan yang memberhentikan kerja mereka tanpa pampasan.

Seramai 40 orang pekerja di akhbar Tamil Nesan telah dibuang kerja sejak bulan Mac 2019. Pekerja yang dibuang kerja ini tidak mendapat gaji bulan terakhir mereka dan juga pampasan pemberhentian kerja mengikut tempoh perkhidmatan. Syarikat tersebut telah berjanji untuk membayar gaji kepada pekerja shingga akhir bulan Mac, tetapi janji telah dimungkiri dengan pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja tidak menerima apa-apa bayaran gaji bulan Mac sehingga kini.

Sementara itu, pekerja-pekerja di Tamil Nesan juga mendapati bahawa pihak majikan telah menyeleweng dalam caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) untuk satu jangka masa yang panjang. Pekerja-pekerja mendakwa bahawa pihak majikan telah membuat pemotongan daripada gaji mereka tetapi gagal membayar caruman tersebut kepada KWSP atau PERKESO. Tindakan majikan sebegini boleh dikatakan telah melakukan penipuan yang boleh digolongkan sebagai jenayah komersial. Oleh yang demikian, bekas pekerja Tamil Nesan yang berkenaan membuat aduan polis untuk menggesa pihak polis supaya menyiasat majikan yang melakukan penyelewengan itu.

Turut hadir bersama bekas pekerja Tamil Nesan semasa membuat aduan polis pada hari ini ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *