20190716- 66595194_10156153003580825_3244221336788140032_n - Copy.jpg

Resolusi Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-21

 14 Julai 2019, Kajang

  1. Hak pekerja – Jaminan kerja, pendapatan dan kesejahteraan untuk pekerja:
  • Kerajaan harus melaksanakan gaji minimum RM1800
  • Laksanakan hari rehat wajib, supaya memastikan setiap pekerja dapat menikmati hari rehat mingguannya tanpa dikehendaki membuat kerja lebih masa (OT) pada hari itu. Kurangkan had masa kerja lebih masa pada hari kerja dan kuatkuasakan secara tegas kerja 8 jam sehari. Untuk menangani peningkatan masalah kesihatan dalam masyarakat, pekerja perlu diberi lebih ruang dan masa untuk berehat serta menjalankan aktiviti rekreasi.
  • Kerajaan harus menghapuskan sistem kerja kontrak untuk kerja tetap di premis kerajaan, dan menyerap semua pekerja berkenaan sebagai kakitangan awam.
  1. Rumah – Kerajaan harus membina sekurang-kurangnya 200,000 unit rumah sewa beli dalam satu tahun, dan harga rumah mampu milik perlu ditetapkan pada paras di bawah RM100,000.
  1. Perlindungan alam sekitar:
  • Kerajaan perlu mengisytihar Darurat Krisis Iklim dengan segera dan mengambil tindakan-tindakan yang sewajar untuk menanganinya.
  • Kerajaan perlu mencari jalan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan plastik pakai buang (single-use plastic) di peringkat nasional.
  • Hentikan segala pemberian lesen dan permit kelulusan (AP) untuk aktiviti mengimport sisa sampah ke dalam negara kita. Akta-akta berkaitan perlu dikaji semula agar tiada lagi sisa sampah dari luar negara diimport ke Malaysia.
  • Kerajaan harus membentuk satu Suruhanjaya Khas Bebas untuk menyiasat isu-isu pencemaran alam sekitar yang berbangkit dan menyediakan laporan tentang setiap isu berkenaan dalam tempoh masa 3 bulan. Tindakan harus diambil ke atas pihak yang dikenalpasti sebagai punca masalah berkenaan.
  • Kerajaan perlu mendapatkan persetujuan orang awam sebelum membuat apa-apa keputusan yang mendatangkan impak besar kepada alam sekitar.
  1. Kerajaan perlu mengembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan selewat-lewatnya pada tahun 2021.
  1. Tingkatkan pengangkutan awam, termasuk pelaksanaan pengangkutan awam percuma oleh kerajaan negeri supaya perkhidmatan bas dapat melalui kawasan penempatan untuk golongan B40 dan kawasan penempatan semula setinggan.
  1. Kesihatan – Kerajaan harus mengambil langkah-langkah yang serius untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam dan menambahkan bilangan hospital awam bagi kemudahan rakyat jelata.
  1. Hak pendidikan:
  • Kerajaan perlu memastikan mata pelajaran sains dan matematik dapat diajar dalam bahasa ibunda di sekolah rendah.
  • Kerajaan perlu memastikan bahawa semua rakyat mendapat peluang pendidikan di institusi pendidikan awam tanpa mengira agama dan kaum, serta mengutamakan golongan B40.
  1. Pertanian – Kerajaan perlu memperuntukkan tanah kepada petani dan penternak untuk diusahakan, di samping mencari jalan untuk untuk meningkatkan hasil pertanian dan industri makanan tempatan, demi mencapai tahap mampu sara diri dalam pembekalan makanan.
  1. Orang Asli – Kerajaan perlu melindungi hak tanah adat untuk Orang Asli, serta menyelesaikan masalah kesihatan, kemiskinan dan masalah lain yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli dengan segera.
  1. Perlindungan hak rakyat bebas daripada gangguan:
  • Kerajaan perlu menggubal Akta Gangguan Seksual. Peruntukan tentang gangguan seksual dalam Akta Kerja sekarang ini tidak mencukupi, kerana gangguan seksual boleh berlaku dalam pelbagai cara di mana-mana sahaja.
  • Kerajaan perlu mengambil langkah untuk menghentikan serangan, ancaman dan diskriminasi terhadap golongan LGBT.
  1. Jaminan kesejahteraan hidup rakyat khususnya golongan bawahan:
  • Kerajaan perlu mengkaji semula dan mengemaskini pendapatan garis kemiskinan nasional supaya ia lebih mencerminkan realiti dan mengambil langkah yang sewajar untuk membasmi kemiskinan.
  • Kerajaan perlu mengambil tindakan konkrit untuk mengawal harga barangan asas dan memastikan penguatkuasaan kawalan harga barang.
  • Kerajaan harus melaksanakan skim pencen untuk semua warga emas.
  1. Pembaharuan institusi menuju negara bebas rasuah:
  • Kerajaan harus mewujudkan sistem pembiayaan untuk semua parti politik dengan dana awam, bagi membendung politik wang.
  • Selaras dengan usaha membanteras rasuah dan mengkukuhkan institusi awam di negara kita, semua pemegang jawatan tinggi dalam institusi awam, termasuk hakim-hakim, perlu mengisytihar harta setiap tahun.
  1. Kewarganegaraan – Kerajaan harus meluluskan kewarganegaraan untuk bayi terdampar yang tidak dapat dikenalpasti kewarganegaraan ibubapanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *