oleh V Selvam
Pemberhentian kerja hampir 45,000 orang pekerja pembersihan di sekolah kerajaan baru-baru ini, yang disebabkan oleh syarat-syarat baru dalam kontrak Kementerian Pendidikan, mendedahkan sifat diskriminasi dalam sistem kontrak yang diamalkan oleh kerajaan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan ini kerana kerajaan jelasnya menyalahgunakan maksud kontrak tempoh tetap. Sejak penswastaan perkhidmatan pembersihan dan keselamatan di sekolah pada pertengahan tahun 1990-an, semua pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang bekerja secara langsung di bawah kerajaan sebelum itu, menjadi pekerja kontrak kepada kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan setiap tiga tahun.
Kementerian Pendidikan melantik kontraktor menerusi sistem tender untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di semua sekolah di seluruh negara. Kontrak ini adalah kontrak tempoh tetap untuk jangkamasa tiga tahun. Apabila tamatnya tempoh kontrak, pekerja berada dalam keadaan tidak menentu sementara mereka menunggu kontraktor baru yang sama ada mengupah mereka atau tidak. Kitaran ini berterusan setiap tiga tahun dan pekerja berada dalam keadaan yang pelik, di mana mereka mungkin bekerja secara berterusan di sekolah yang sama, melakukan tugas yang sama, tetapi diupah oleh kontraktor yang berbeza-beza setiap tiga tahun tanpa terputusnya perkhidmatan mereka di sesebuah sekolah itu. Walaupun pekerjaan itu sentiasa wujud dan kekal; tetapi ia sengaja disamarkan/diwarnakan sebagai kontrak jangka tetap. Ini satu penipuan.
Kontrak tempoh tetap sepatutnya hanya digunakan untuk kerja-kerja bermusim, sekali selesai atau sementara, di mana kerja itu tidak lagi wujud atau dijangka selesai dalam tempoh kontrak atau di mana perkhidmatan pekerja hanya diperlukan buat sementara waktu. Tetapi keperluan untuk pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di sekolah sentiasa diperlukan sehingga sekolah tersebut wujud dan beroperasi. Sebab itulah PSM menyatakan bahawa penawaran kerja sebagai kontrak adalah salah dan disengajakan demi mengurangkan tanggungjawab majikan (kontraktor) ke atas pekerja.
Menyedari kemungkinan kontrak tempoh tetap disalahgunakan oleh majikan, Artikel 2 (3) Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization, ILO) No. 158, berkenaan dengan penamatan pekerjaan, secara khususnya menyatakan bahawa harus ada jaminan perlindungan untuk mencegah kontrak tempoh tetap daripada disalahgunakan oleh mana-mana majikan untuk mengelakkan perlindungan pekerja yang diperuntukkan oleh konvensyen.
PSM sangat terkejut apabila menyedari tentang tindakan pihak Kerajaan yang telah membenarkan amalan diskriminasi sedemikian untuk terus mengeksploitasi pekerja demi membenarkan kelas kontraktor yang bersifat pencari sewa untuk memperolehi keuntungan. Disebabkan oleh terma-terma dalam kontrak tempoh tetap, pekerja-pekerja kontrak kehilangan manfaat yang dijamin di bawah undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955. Walaupun mereka telah bekerja secara berterusan untuk pekerjaan yang sama selama bertahun-tahun, oleh kerana kontrak mereka berakhir setiap tiga tahun, mereka akan dianggap sebagai pekerja baru setiap tiga tahun. Maka, mereka tidak akan menikmati cuti tahunan, cuti sakit atau penambahan kelayakan cuti mengikut tahun perkhidmatan mereka. Mereka tidak menerima kenaikan gaji setiap tahun. Mereka hanya menerima gaji minimum asas yang ditetapkan oleh kerajaan. Apabila ditamatkan perkhidmatan, mereka tidak berhak menerima sebarang pampasan pemberhentian kerja seperti termaktub dalam Akta Pekerjaan 1955.
PSM menyeru pada Kementerian Pendidikan untuk segera menghentikan amalan diskriminasi ini dan menghapuskan sistem kontrak tempoh tetap dan menggantikannya dengan kontrak perkhidmatan kerja tetap untuk semua pekerja.
Amalan menggunakan kerja kontrak dan/atau menyumberkan luar kerja untuk pekerjaan yang kekal untuk jangka masa panjang adalah salah di sisi undang-undang. Ia melanggar Akta Kerja 1955 dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan negara kita yang menjamin Hak untuk Mencari Nafkah. Kami menyeru pada Kementerian Pendidikan dan Kerajaan untuk membetulkan ketidakadilan yang sangat jelas ini, dengan menyediakan pekerjaan tetap dan memberi jaminan pekerjaan kepada pekerja-pekerja yang menderita dalam kesunyian untuk sekian lama sejak pelaksanaan sistem kontrak.
==========
V. Selvam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM). Selvam juga merupakan seorang aktivis kesatuan sekerja dan Pegawai Perhubungan Perusahaan untuk kesatuan sekerja.
Tulisan ini asalnya dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Cecilia An.
One thought on “Sistem kontrak untuk kerja pembersihan sekolah: Salahguna peruntukan kontrak tempoh tetap!”