20190530 - ipoh.jpgIPOH, PERAK: Penduduk-penduduk dari Kampung DBI dan Kampung KTM di Ipoh menyerah satu surat kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Perak pada 30 Mei 2019 untuk meminta satu temujanji dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan masalah perumahan yang dihadapi mereka dan mencari satu penyelesaian yang adil.

Mohanarani Rasiah, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), telah hadir bersama penduduk kampung semasa menyerahkan surat kepada Pejabat Menteri Besar Perak.

Sebelum ini, pada 7 Ogos 2018, penduduk-penduduk Kampung DBI dan Kampung KTM telah menyerahkan surat tentang isu perumahan mereka kepada Pejabat Menteri Besar Perak. Pada 13 Ogos 2018, mereka berjumpa dengan Nizran bin Noordin, Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Perak, dan memberitahu kepadanya tentang janji-janji yang ditaburkan oleh Kerajaan Negeri Perak sebelum ini untuk membina rumah teres bagi mereka. Nizran telah meyakinkan para penduduk bahawa beliau akan cuba mendapatkan lebih  banyak maklumat, dan mengaturn mesyuarat dengan semua pihak berkepentingan untuk membincangkan tuntutan penduduk di situ berkenaan dengan perumahan alternatif. Namun, selepas menunggu untuk 3 bulan, mereka masih tidak lagi dipanggil untuk mesyuarat seperti yang dijanjikan. Oleh itu, penduduk-penduduk Kampung DBI dan Kampung KTM menyerahkan satu lagi surat pada 29 November 2018 untuk bertanya tentang perkembangan.

Satu mesyuarat diadakan pada 22 Mac 2019 dan dipengerusikan oleh Khairul Shahril Amin selaku Pegawai Khas Menteri Besar Perak. Wakil penduduk Kampung DBI dan Kampung KTM telah membentangkan masalah perumahan yang dihadapi mereka dan hasrat mereka untuk mendapatkan perumahan alternatif. Dalam mesyuarat tersebut, Khairul telah mengemukakan rancangan kerajaan untuk membina 2,000 unit rumah pangsa di kawasan kuarters DBI di mana terletaknya rumah-rumah papan penduduk yang sedia ada. Khairul telah memberitahu pada para penduduk bahawa mereka boleh memohon untuk membeli unit rumah pangsa yang dirancang.

Penduduk-penduduk Kampung DBI dan Kampung KTM terkejut dengan pengumuman Khairul itu. Mereka berasa hairan dan bimbang dengan cadangan tersebut. Ini adalah sebab utama sejak awal lagi para penduduk cuba untuk berjumpa dengan Kerajaan Negeri dengan permintaan supaya mereka dilibatkan dalam proses perbincangan tentang perumahan alternatif, bukannya Kerajaan Negeri membuat keputusan secara sendiri tanpa mendengar cadangan daripada penduduk asal terlebih dahulu.

Kampung DBI dan Kampung KTM ialah penempatan peneroka bandar yang sudah wujud lama di kawasan Buntong, Ipoh, yang diduduki oleh bekas pekerja Dewan Bandaraya Ipoh (DBI) dan bekas pekerja KTM serta ahli keluarga mereka. Selepas pekerja-pekerja di DBI dan KTM itu bersara, mereka dibenarkan untuk membina rumah papan berhampiran dengan kuarters, kerana mereka tidak mampu membeli atau menyewa rumah di luar dengan gaji yang rendah. Kampungini telah dibanci dua kali, pada tahun 1987 dan 2006. Setiap Menteri Besar Perak telah berjanji akan menawarkan perumahan alternatif dalam bentuk lot tanah perumahan atau rumah teres, antaranya:

  • Pada tahun 1999, Menteri Besar masa itu Ramli Ngah Talib berjanji akan menyelesaikan tuntutan penduduk untuk lot di kawasan Kampung DBI.
  • Pada tahun 2000, Menteri Besar masa itu Tajol Rosli mengumumkan bahawa “rakyat miskin yang tidak mampu beli rumah akan diberi lot tanah”.
  • Pada tahun 2007, Datuk Bandar Ipoh membuat rancangan usahasama dengan Syarikat Manjong Development untuk membangunkan kawasan kuarters DBI dengan syarat  masalah perumahan penduduk kampung di situ diselesaikan oleh pemaju.  Satu perjanjian telah ditandatangani antara pemaju dan penduduk, di mana pemaju akan membina rumah teres kos sederhana yang akan dijual pada harga subsidi RM16,000 kepada setiap keluarga di situ.
  • Pada tahun 2009, Menteri Besar masa itu Zambry Abdul Kadir telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi “hak milik secara automatik kepada penduduk yang menduduki tanah kerajaan untuk 10 tahun”.
  • Pada tahun 2011, dalam surat balasan kepada SUHAKAM, Datuk Bandar Ipoh masa itu Roshidi Hashim telah memaklumkan tentang rancangan kerajaan untuk membina 114  buah rumah teres setingkat berukuran 20’ X 65’ di kawasan DBI kuarters pada harga subsidi RM35,000.

Selepas Pakatan Harapan mengambilalih kuasa pentadbiran Negeri Perak, nampaknya Kerajaan Negeri lebih ingin berunding dengan ADUN Buntong di kawasan tersebut, iaitu Sivasubramaniam, mengenai isu perumahan di Kampung DBI dan Kampung KTM. Walaupun para penduduk menerima amalan ini, tetapi proses rundingan sebegini hanya berkesan sekiranya ADUN Buntong itu berjumpa dengan para penduduk untuk mendengar dan membincangkan perkara ini secara menyeluruh. Sivasubramaniam bukan orang baru di kawasan Buntong, dan beliau memang sedar tentang perjuangan penduduk Kampung DBI dan Kampung KTM selama ini. Semestinya ADUN Buntong ni sedar tentang tuntutan penduduk untuk perumahan alternatif dalam bentuk lot tanah perumahan atau rumah teres. Penduduk Kampung DBI dan Kampung KTM juga menyerahkan satu salinan surat kepada Menteri Besar Perak yang bertarikh 7 Ogos 2018 kepadanya untuk menjelaskan permintaan penduduk. Pada 22 April 2019, penduduk Kampung DBI dan Kampung KTM menyerahkan satu lagi surat kepada pejabat ADUN Buntong untuk memohon tarikh temujanji bagi membincangkan perkara berkenaan perumahan alternatif. Namun sehingga kini, Sivasubramaniam selaku ADUN Buntong tidak menjawab surat daripada penduduk ataupun memberikan tarikh temujanji.

Dalam keadaan di mana jelasnya ADUN Buntong yang sepatutnya mewakili penduduk di situ sudah tidak dapat mewakili penduduk Kampung DBI dan Kampung KTM dalam menyelesaikan isu perumahan mereka, maka penduduk memohon temujanji dengan Menteri Besar Perak sendiri untuk membincangkan masalah mereka dengan harapan dapat mencapai satu penyelesaian yang adil bagi penduduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *