Kanak-kanak dan anak muda di seluruh dunia sekali lagi “ponteng sekolah” pada satu hari Jumaat yang sama untuk memprotes terhadap krisis iklim sedunia yang semakin meruncing. Pada 24 Mei 2019, mogok pelajar berlangsung di lebih 1,400 buah bandar di lebih 110 buah negara, dengan sekurang-kurangnya 1.4 juta orang mengambil bahagian dalam aksi untuk keadilan iklim ini.
Gelombang mogok anak muda global ini merupakan aksi mogok iklim sedunia yang kedua selepas aksi pada 15 Mac 2019. Aksi global ini mendapat inspirasi daripada Greta Thunberg, seorang anak muda dari Sweden yang memulakan mogok sekolah sejak bulan Ogos 2018. Greta Thunberg “ponteng” sekolah pada 20 Ogos hingga 9 September 2018 semasa pilihanraya Sweden untuk menuntut pada kerajaan Sweden supaya mengurangkan pembebasan karbon mengikut ketetapan Perjanjian Iklim Paris 2015. Greta Thunberg kemudiannya meneruskan aksi mogok sekolah setiap hari Jumaat. Tindakan Greta Thunberg telah mencetuskan gelombang aksi mogok untuk memprotes terhadap krisis iklim yang merebak ke seluruh dunia. 24 Mei 2019 menandakan minggu ke-40 Greta Thunberg mengadakan mogok sekolah, dan sekali lagi lebih sejuta anak muda di seluruh dunia bersamanya. Anak-anak muda menggesa pemimpin-pemimpin kerajaan untuk mengambil tindakan segera supaya mengelakkan bencana ekologi sedunia yang mengancam kemanusiaan.
Semakin banyak bukti saintifik yang menunjukkan bahawa kita sedang menghadapi krisis iklim sedunia yang amat serius. Saintis-saintis iklim yang utama di dunia memberi amaran dalam satu laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) pada tahun 2018 bahawa kita hanya ada tempoh masa 12 tahun untuk mengawal dan menyekat bencana iklim yang bakal mendatangkan kesan terburuk kepada umat manusia sedunia. Baru-baru ini, satu lagi laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sistem sokongan hidupan di Bumi sedang berada dalam keadaan yang membahayakan kemanusiaan, dengan 1 juta spesies hidupan di Bumi sedang menghadapi kepupusan.
Penganjur mogok anak muda sedunia ini, termasuk Greta Thunberg, menyeru pada semua orang dewasa supaya menyertai mereka dengan mengadakan aksi mogok besar-besaran sedunia pada 20 September 2019 akan datang. Mereka berkata, “Kami meminta pada orang dewasa untuk melangkah bersama kami… Hari ini, begitu ramai antara ibu bapa kami sibuk membincangkan bagaimana gred kami, atau diet baru atau episod terakhir Games of Thrones, sedangkan planet kita sedang membakar. Namun untuk mengubah semuanya, kita perlukan setiap orang. Ini masanya untuk kita semua melepaskan penentangan secara besar-besaran… Kita adanya peluang jika kita dalam jumlah yang besar.”
Tokoh intelek dan aktivis seperti Naomi Klein, Noam Chomsky, John Holloway, Nnimmo Bassey, Anne Poelina dan ramai lagi, termasuk juga pelakon Hulk dalam filem Avengers Mark Ruffalo, turut menyeru untuk mogok sedunia pada 20 September, kerana mengganggu kehidupan normal kita adalah satu-satunya cara untuk menjamin masa depan kita.
Berikut ialah gambar aksi Mogok Iklim Sedunia di beberapa tempat pada 24 Mei 2019:
Bacaan lanjut: Bertindak sekarang sebelum terlambat untuk tangani krisis iklim
One thought on “Anak muda “ponteng sekolah” dalam Mogok Iklim Sedunia kedua”