20190522 - italy880x495_cmsv2_5422d2a3-a832-58a0-aab2-52ee4e7afbae-3905198.jpgoleh Hadri A Rahman

Pada 20 Mei 2019, pekerja dari kesatuan pekerja Konfederasi Umum Buruh Itali (CGIL), dengan kerjasama parti politik “Kuasa Kepada Rakyat” (Potere al Popolo, PaP) dan kumpulan anti-fasis dan pasifis di pelabuhan Genoa telah melancarkan mogok membantah keputusan pihak berkuasa Itali yang memberi kebenaran kepada sebuah kapal kargo Arab Saudi, Bahri Yanbu, yang dipenuhi senjata untuk berlabuh di pelabuhan tersebut. Mereka enggan bekerja sehingga kapal itu berlepas dari Genoa tanpa mengangkut senjata dan juga meminta Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini, untuk membuka pelabuhan kepada golongan migran dan menutup pelabuhan itu daripada senjata.

Kapal kargo Bahri Yanbu dikatakan telah berlabuh di beberapa pelabuhan Eropah untuk mengambil senjata yang akan digunakan dalam perang di Yaman. Kapal tersebut telah berlepas dari limbungan Tilbury di Essex, England, dan telah dimuatkan dengan senjata di Sunny Point di Amerika Syarikat, terminal ketenteraan terbesar di dunia, Antwerp di Belgium, dan dari Santander di Sepanyol sebelum tiba di pelabuhan Le Havre di Perancis pada 10 Mei 2019. Namun begitu, aksi mogok daripada aktivis tempatan menyebabkan kapal tersebut membatalkan hasrat untuk berlabuh di sana, sebelum tiba di Genoa pada 19 Mei 2019.

Setelah berhadapan dengan tindakan mogok yang dilancarkan oleh cawangan tempatan CGIL dan protes massa, Pihak Berkuasa Tempatan telah mengesahkan bahawa kapal itu akan dibenarkan untuk berlepas dengan muatan untuk orang awam, meninggalkan satu simpanan senjata merbahaya di limbungan.

Namun begitu, pekerja pelabuhan enggan mempercayai kata-kata pihak berkuasa dan meneruskan aksi mogok seperti yang dirancang, dengan sekatan untuk mengelakkan kargo daripada dimuatkan ke atas kapal.

Dalam satu kenyataan bersama, pekerja dok dan pekerja pengangkutan dari CGIL di Genoa berkata semasa mereka menyekat pelabuhan tersebut, “Kami tidak akan bersubahat dengan kematian orang awam di Yaman!”

Mereka juga berhujah, “Kami percaya bahawa rintangan ini merupakan sumbangan kecil kami untuk menyelesaikan masalah besar bagi penduduk yang dibunuh setiap hari dalam peperangan. Kami mahu melaporkan pendapat umum negara. Dan bukan hanya itu, seperti apa yang telah dilakukan di pelabuhan-pelabuhan lain di Eropah, kami tidak akan menjadi rakan dagang kepada perdagangan senjata ini. Kami mengharapkan kerajaan dan institusi-institusi untuk menghormati perjanjian antarabangsa. Kami terus berharap bahawa pelabuhan Itali mesti terbuka untuk orang dan ditutup kepada senjata.”

Ahli PaP Giacomo Marchetti, seorang pekerja di limbungan Genoa dan ahli kesatuan pekerja USB memberitahu pada suratkhabar Morning Star bahawa tindakan yang diambil itu merupakan satu detik bersejarah di Genoa. Beliau mengatakan bahawa, “Ini bukannya kali pertama pekerja dan aktivis di Itali mengecam keganasan di Yaman. Namun begitu, ianya adalah kali pertama berlakunya sebuah mogok dan demonstrasi.”

“Genoa mempunyai sejarah perpaduan pekerja yang panjang. Ianya adalah tempat pertama yang menyekat kapal-kapal Amerika Syarikat yang menuju ke Vietnam dan pekerja dok di sini juga enggan membenarkan peralatan perang turun untuk rampasan kuasa Chile atau kapal-kapalnya untuk berlabuh.”

“Terdapat banyak bahagian di sini yang akan digunakan untuk dron dalam Perang Yaman… ini adalah kali pertama kita melihat tindakan seperti ini sejak mogok sebelum Perang Iraq pada tahun 2003.”

Beliau berkata bahawa tindakan ini menghantar mesej kepada politikus rasis seperti Salvini, iaitu “Buka pelabuhan kepada pendatang dan tutupnya untuk senjata”.

“Apa yang terjadi hari ini di Genoa, apa yang berlaku di Le Havre dan Santander, menunjukkan betapa pentingnya solidariti kelas pekerja internasional, terutama dalam menghentikan peperangan. Dan ia menunjukkan kekuatan pekerja dok.”

“Kami akan menang kerana senjata tidak akan dimuat di sini seperti yang dirancang.”

Sumber:

https://morningstaronline.co.uk/article/w/italian-dock-strike-blocks-deadly-cargo-headed-for-saudi-arabia

https://peoplesdispatch.org/2019/05/21/italian-port-workers-go-on-strike-against-saudi-arms-shipment/

https://www.rt.com/news/459806-saudi-arms-ship-blocked-italian-port/

https://www.dailysabah.com/europe/2019/05/21/italian-dock-workers-refuse-to-load-cargo-onto-saudi-arabian-ship-headed-to-yemen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *