oleh S. Arutchelvan

Tindakan Lim Kit Siang menarik diri daripada debat dengan Najib Razak sebenarnya adalah tindakan yang terbaik walaupun sebelum debat lagi, Najib sudah berjaya K.O. Lim Kit Siang sehingga Kit Siang terpaksa menarik diri dan memberikan alasan yang panjang lebar mengapa beliau tarik diri.

Untuk orang biasa, tindakan Lim Kit Siang yang pada awalnya menerima cabaran Najib untuk berdebat seperti harimau dan kemudian berundur seperti kucing, hanya akan dilihat sebagai satu kekalahan.

Memang dari awalnya, Kit Siang mempunyai kecenderungan untuk memfokus serangan demi serangan ke atas Najib. Najib pula berjaya memperlekehkan dan meremehkan tindakan Kit Siang sebagai seorang yang terlalu obses dengannya. Kenyataan Najib ini bukan sahaja mendapat sokongan daripada penyokongnya sendiri tetapi ramai di kalangan penyokong Pakatan Harapan juga berpendirian sama.

Sebenarnya tindakan Kit Siang yang meletakkan tajuk debat sebagai “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti?” adalah syarat yang memang berat sebelah, dan beliau menjangkakan Najib tidak akan setuju dan tarik diri. Namun demikian, disebabkan Najib tidak ada apa-apa lagi untuk kalah atau tidak ada apa-apa lagi untuk malu (Malu Apa Bossku?), maka beliau bersetuju dengan tajuk tersebut. Maka Kit Siang terperangkap dengan permainan yang biasanya beliau amat berkeyakinan. Kit Siang ialah seorang gergasi politik tanahair dan beliau mempunyai segala kebijaksanaan. Namun dalam episod ini, beliau tersalah kira kerana beliau lupa bahawa Najib hari ini bukan lagi Perdana Menteri yang ada kuasa. Najib hari ini umpama seekor haiwan yang terjerat dan akan menggunakan apa-apa sahaja untuk keluar dari belenggu.

Saya amat menghormati stamina dan kegigihan veteran DAP Lim Kit Siang. Namun demikian, saya berpendapat bahawa rakyat sudah muak dengan tindakan beliau yang terus memfokus serangan ke atas Najib. Najib sudah kalah dalam pilihanraya dan beliau juga telah dibawa ke depan muka pengadilan di mahkamah untuk banyak isu jenayah dan pecah amanah. Setiap hari Najib turun naik mahkamah. Menghentam seorang musuh politik yang sudah kalah dan hilang kuasa secara berterusan hanya akan terkena pada batang hidung sendiri. Bagi saya, serangan Kit Siang terhadap Najib sudah tepu dan tidak ada kesan lagi.

Saya rasa veteran politik ini akan lebih mendapat pujian jika beliau menggunakan masa-masa terakhir dalam kerjaya politiknya untuk memantau dan menegur Pakatan Harapan, terutamanya Tun Mahathir. Sebagai seorang yang berpengalaman, saya rasa hanya beliau sahaja mampu menegur Tun Mahathir memandangkan kita nampak dengan jelas, tidak ada pemimpin Pakatan Harapan lain yang berani menegur Tun Mahathir. Kita lihat Anwar Ibrahim terpaksa amat berhati-hati untuk menegur Tun Mahathir kerana beliau kena tunggu giliran menjadi PM dengan sabar dan tidak tersalah langkah. Pemimpin-pemimpin lain dalam Pakatan Harapan pula terlalu junior untuk tegur Tun. Kita lihat seperti ada satu kekosongan di mana menteri-menteri lain terlalu menjaga hati atau tidak tahu bagaimana hendak menegur Tun. Jika Karpal Singh masih hidup, ramai menjangkakan beliau akan memainkan peranan secara berprinsip dan tegas jika Pakatan Harapan membuat sesuatu yang salah. Ramai dalam DAP hari ini merindukan Karpal dan peranannya.

Lim Kit Siang tidak harus membuang masa dalam melawan Najib. Tindakan beliau terus melawan Najib yang tidak berkuasa hanya akan memberikan publisiti murahan kepada Najib Razak. Lim Kit Siang harus berganjak dari situ dan merintis jalan dalam memimpin Malaysia Baru ke landasan baru dan tidak terjerumus dalam politik lama.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *