20190522 - indonesia.jpgJoko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Presiden untuk Republik Indonesia setelah Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan keputusan akhir Pilihanraya Presiden pada 21 Mei 2019, dengan Jokowi meraih undi yang lebih banyak berbanding pilihanraya sebelum ini pada tahun 2014.

Pengundian untuk Pilihanraya Umum Indonesia telah berlangsung pada 17 April 2019. Pilihanraya ini digelar sebagai pilihanraya yang terbesar dalam satu hari di dunia, telah menggabungkan pengundian untuk memilih Presiden, anggota Majlis Musyawarah Rakyat (MPR) dan anggota badan legislatif tempatan. Seramai 158 juta daripada lebih 192 juta orang pengundi yang layak di Indonesia mengundi dalam pilihanraya umum kali ini, dengan peratusan keluar mengundi mencecah 81.93%.

Proses pengiraan undi telah mengambil masa selama lebih sebulan. Seramai 7 juta orang terlibat dalam pengendalian pilihanraya umum ini. Dilaporkan seramai 569 orang petugas pilihanraya telah mati kerana bekerja untuk masa yang panjang, dan lebih 4,000 orang jatuh sakit.

Jokowi, dengan gandingannya Ma’ruf Amin sebagai calon Timbalan Presiden, telah berjaya meraih sebanyak 85,607,362 undi, bersamaan dengan 55.50% daripada jumlah undi yang sah. Pesaingnya, Prabowo Subianto yang berganding dengan Sandiaga Uno, mendapat undi sebanyak 68,650,239 (bersamaan 44.50%). Undi yang diperoleh Jokowi bertambah sebanyak 14.6 juta berbanding pilihanraya umum 2014, dengan peningkatan sebanyak 2.35 titik peratusan. Pertembungan antara Jokowi dengan Prabowo seolah-olah ulang tayang Pilihanraya Presiden tahun 2014, tetapi nampaknya kali ini Jokowi berjaya memperoleh undi majoriti yang lebih tinggi walaupun menghadapi serangan agresif daripada Prabowo.

Sementara itu, dalam pemilihan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), parti yang dianggotai Jokowi, iaitu Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dipimpin oleh bekas Presiden Megawati Sukarnoputri, kekal sebagai parti yang terbesar dalam parlimen dengan meraih sebanyak 19.33% undi (meningkat 0.38 titik peratusan berbanding tahun 2014) dan memenangi sebanyak 128 daripada 575 kerusi dalam DPR, iaitu bertambah sebanyak 19 kerusi berbanding pilihanraya umum lalu.

Parti berhaluan kanan Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) yang dipimpin oleh Prabowo, bertambah 5 kerusi kepada 78 kerusi dalam DPR dengan perolehan undi sebanyak 12.57%, menjadikannya parti kedua besar dalam badan perundangan. Parti Golkar yang sebelum ini parti kedua besar jatuh satu tangga menjadi parti ketiga besar yang memegang 85 kerusi (kurang 5 kerusi) dengan perolehan undi sebanyak 12.31% (turun 2.44 titik peratusan).

Prabowo, ahli politik berhaluan kanan yang berkait rapat dengan elit politik tradisional zaman Suharto dan golongan pelampau agama, enggan menerima keputusan pilihanraya malah berulang kali mengumumkan kemenangannya semasa proses pengiraan undi, dengan tuduhan bahawa terdapatnya penyelewengan dalam proses pilihanraya tetapi tidak mengemukakan bukti yang kukuh. Prabowo dan penyokongnya berkata bahawa mereka akan mencabar keputusan ini dalam mahkamah, satu tindakan sama yang pernah dilakukan apabila Prabowo kalah dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2014. Setelah keputusan diumumkan, sebahagian penyokong Prabowo mengadakan protes dan mencetuskan rusuhan yang meragut nyawa.

Politik identiti dan isu berkaitan dengan agama telah menjadi fokus dalam pilihanraya umum kali ini. Jokowi dianggap sebagai wakil elit pemerintah yang membawa pendekatan yang lebih liberal untuk Islam sementara Prabowo mewakili puak yang lebih konservatif. Beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan-kumpulan agama yang konservatif semakin lantang membawa naratif politik yang reaksioner dan memobilisasi dalam isu seperti kes bekas Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama (yang lebih dikenali sebagai Ahok) yang didakwa menghina al-Quran dan dihukum penjara.

Jokowi telah memilih pemimpin ulama Ma’ruf Amin sebagai calon Timbalan Presidennya, sedangkan Ma’ruf Amin memainkan peranan dalam menjatuhkan Ahok sebagai Gabenor Jakarta. Tindakan Jokowi ini dilihat sebagai usahanya untuk merebut sokongan pengundi konservatif daripada Prabowo.

Namun, di sebalik fokus mensensasikan isu politik identiti dan agama, isu yang lebih besar dan penting untuk rakyat biasa Indonesia sering dikaburkan. Ekonomi Indonesia telah mengalami pelbagai cabaran dalam setahun yang lepas, termasuk kemerosotan dalam permintaan dunia dan kesan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat-China. Matawang rupiah juga mengalami tekanan susut nilai yang hebat. Sementara itu, jurang kekayaan pula semakin melebar dan kehidupan rakyat biasa masih susah.

Kemenangan Jokowi dengan sokongan yang lebih besar dalam Piliharaya Umum kali ini, akan memberikan keyakinan kepada Jokowi untuk meneruskan dasarnya. Semasa penggal pertama Jokowi menjadi Presiden, kerajaannya telah membelanjakan berbilion-bilion dollar untuk membangunkan projek-projek infrastruktur besar seperti pembinaan lapangan terbang, lebuhraya dan pelabuhan yang baru. Namun, perbelanjaan yang besar dalam pembangunan infrastruktur turut mengundang masalah hutang negara yang meningkat.

Bagi rakyat biasa, masalah pengangguran, khususnya pengangguran di kalangan anak muda yang mencecah 15.8% tahun ini, di samping kenaikan kos hidup yang membebankan rakyat bawahan, masih berlarutan dan tidak ditangani dengan sewajarnya oleh pemerintahan Jokowi.

Dalam penggal pertamanya, Jokowi cuba membuka ekonomi Indonesia kepada pelabur asing dengan cara seperti menyahkawalselia terhadap modal dan mengurangkan birokrasi kerajaan, tetapi tidak begitu berjaya kerana dasar pro-kapitalis yang dibawa Jokowi masih tidak cukup menarik untuk modal antarabangsa yang hanya mementingkan keuntungan maksimum. Jokowi pasti akan melaksanakan lebih banyak dasar yang pro-bisnes dalam penggal keduanya, tetapi sudah tentu akan mendatangkan lebih banyak ancaman kepada hak dan kesejahteraan rakyat biasa. Walaupun Jokowi mengatakan program yang dilaksanakannya bersifat “pro-miskin” yang akan mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah, mencipta peluang ekonomi di pulau-pulau yang terpinggir dan keluar daripada genangan ekonomi, tetapi dasar ekonomi neoliberal yang berorientasikan pasaran dengan naratif pemodenan ini tidak akan dapat menyelesaikan belenggu rakyat selagi motif keuntungan untuk pemodal masih mendominasi pembikinan dasar negara.

Pesaing kepada Jokowi untuk dua kali berturut-turut, Prabowo, telah mengapi-apikan sentimen nasionalis sempit sepanjang kempennya. Prabowo menjanjikan pendekatan ekonomi yang populis dengan matlamat mewujudkan lebih peluang pekerjaan, meningkatkan kuasa beli dan menggalakkan industrialisasi. Calon Timbalan Presiden yang berganding dengan Prabowo, Sandiaga Uno, merupakan salah seorang terkaya di Indonesia, jelas menunjukkan sifat dasar pro-kapitalis yang dibawa Prabowo.

Walaupun Indonesia mempunyai pilihanraya yang demokratik selepas Reformasi tahun 1998 dan masih memperlihatkan minat penglibatan di kalangan rakyat dalam pilihanraya dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi, tetapi amalan demokrasi 5 tahun sekali ini nampaknya hanya sekadar satu proses persaingan dan penyusunan semula dalam kelas pemerintah untuk menguasai haluan perkembangan sosio-ekonomi kapitalis di Indonesia. Jokowi mengambil pendekatan berkongsi kuasa di kalangan elit kelas pemerintah Indonesia yang berpecah-belah dalam spektrum yang lebih luas untuk mewujudkan kestabilan politik yang menjamin keseinambungan sistem kapitalis, sementara Prabowo lebih cenderung kepada membentuk kepimpinan yang memusatkan kuasa dan gaya pentadbiran yang lebih ketat seperti zaman Suharto. Mungkin secara luarannya kita disajikan sandiwara politik yang menyaksikan pertembungan antara politik liberal menentang politik konservatif, tetapi secara dasarnya kedua-dua kuasa yang bertembung itu hanya cuba bersaing untuk menentukan siapa pelindung yang terbaik untuk sistem kapitalis.

Daripada keputusan pilihanraya umum, nampaknya kelas kapitalis baru yang diwakili Jokowi sudah memperkukuhkan kekuasaannya dalam penyusunan semula kelas atasan ini dan berjaya menangkis untuk seketika serangan daripada kelas kapitalis oligarki lama yang merupakan serpihan daripada rejim Orde Baru zaman Suharto.

Adalah menjadi cabaran kepada gerakan berhaluan kiri yang masih lemah dan berpecah-pecah di Indonesia pada masa kini untuk membangunkan politik alternatif yang mampu mencabar kekuasaan kelas kapitalis di Indonesia.

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s