oleh Wan Zamzaihidi Wan Zahid
Buku Akar Umbi memaparkan sebahagian daripada kisah-kisah perjuangan rakyat yang ditunjangi oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk melawan kapitalis. Enam belas kisah di dalam buku ini, menceritakan bagaimana getirnya golongan marhaen seperti pekerja ladang, peneroka bandar, pekerja kilang, pemandu dan berbagai golongan lagi yang bangkit berjuang untuk menuntut hak mereka dan bangun untuk melawan penindasan sama ada daripada pemilik perniagaan, pemilik ladang atau majikan yang merupakan golongan kapitalis.
Di dalam buku ini juga ditampilkan barisan tonggak perjuangan seperti Selvam, Arul, Dr. Nasir, Sureh (saya menggunakan nama-nama pendek mereka sepertimana mereka dikenali oleh rakyat bawahan) yang berjaya menggerakkan golongan tertindas ini untuk bangkit berjuang, walau dihimpit berbagai kecaman, amaran, ugutan dan lain-lain lagi, namun tetap berdiri, tidak berganjak pun untuk teruskan perjuangan sehingga pihak yang ditindas, mendapat kejayaan yang setimpal dengan hak-hak yang mereka sepatutnya miliki.
Dalam perjuangan ini, terdapat banyak kisah yang mampu menjadi pendorong, agar golongan yang tertindas tahu bahawa mereka boleh bangun menuntut hak, juga kisah-kisah sebagai panduan, bagaimana untuk bermula, untuk menggerakkan perjuangan dan juga untuk mencari jalan penyelesaian. Buku ini seharusnya menjadi satu bahan rujukan yang sesuai untuk golongan marhaen dan tertindas. Ianya dapat membantu membangkitkan semangat serta menjadi api penyala untuk perjuangan.
Ianya juga perlu sebagai satu kajian akademik untuk menunjukkan bagaimana keadaan kemiskinan dan penindasan yang sebenarnya wujud di bumi Malaysia ini, kerana ianya adalah perjuangan akar umbi, perjuangan yang sebenar pada masa, lokasi dan keadaan yang sebetulnya, bukan hasil kajian yang dilakukan di atas kerusi empuk di bilik berhawa dingin. Apa yang dipaparkan di dalam buku ini adalah kisah sebenar perjuangan yang tidak mampu ditepis akan kesahihannya, dan seharusnya pihak-pihak yang membuat kajian akademik, merujuk kepada buku ini sebagai sebahagian sumber utama.
Semoga dengan kehadiran buku ini, akan membuka mata banyak pihak tentang situasi sebenar di negara ini.
*****
Buku terbaru terbitan PSM. Catatan 7 orang aktivis dalam perjuangan yang boleh dijadikan satu bahan rujukan yang sesuai untuk perjuangan menuntut hak bersama. Pesanan dengan WhatsApp 016-2290460. RM25 termasuk penghantaran pos.
Buku: AKAR UMBI | KISAH PERJUANGAN RAKYAT MENENTANG KETAMAKAN KAPITALIS
Penulis: V. Panneerselvam, S. Arutchelvan, Dr. Mohd Nasir Hashim, Sarasvathy Muthu, Suresh Kumar, Dr. Jeyakumar Devaraj dan S. Tinagaran.
Harga: RM 20
Halaman: 123 muka surat
One thought on “AKAR UMBI – Buku terbitan PSM yang bawa 16 kisah perjuangan rakyat marhaen”