20180805_182729

oleh A. Sivarajan

Seruan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk mengekalkan dasar yang sedia ada dalam membina rumah mampu milik bagi para penjawat am, sekali lagi membuktikan bahawa rumah yang dikatakan mampu milik ini sebenarnya bukan mampu milik. Presiden CUEPACS Azih Muda juga menambah bahawa harga RM300,000 yang diletakkan sebagai mampu milik adalah terlalu tinggi, dan harga sewajarnya patut berada dalam lingkungan RM80,000 hingga RM150,000.

Oleh sebab inilah, PSM melancarkan kempen Turunkan Harga Rumah pada awal tahun ini, untuk mendapatkan maklumbalas daripada rakyat mengenai apakah sebenarnya harga rumah mampu milik yang wajar untuk dibeli oleh majoriti rakyat pekerja. Dalam kajian PSM di sekitar negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Johor sehingga kini, majoriti rakyat tidak setuju bahawa harga RM250,000 atau RM300,000 adalah harga yang mampu milik.

Baru-baru ini, Menteri Zuraida Kamarduddin bersama Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd. Anuar Mohd. Tahir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi Sime Darby Property Dr. Zeti Akhtar, melancarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara di Elmina West, Selangor, dengan menetapkan harga rumah berkeluasan 900 kaki persegi pada kadar RM300,000!

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) harus bertindak secara ikhlas dan mengaku bahawa harga rumah RM250,000 atau RM300,000 tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa. Mengklasifikasikan rumah berharga RM250,000-RM300,000 sebagai mampu milik, adalah suatu usaha memperdayakan rakyat daripada realiti sebenarnya.

 

Sekali lagi, PSM ingin menegaskan bahawa tugas kerajaan adalah untuk menyediakan perumahan dalam sektor social dan bukannya melibatkan diri dalam sektor pasaran perumahan. Kerajaan harus memfokus dalam menyediakan rumah untuk golongan yang sememangnya tidak boleh memperolehi rumah mereka sendiri dari pasaran kerana harga yang sentiasa meningkat.

Daripada kempen Turunkan Harga Rumah PSM, kami mendapati daripada maklumbalas bahawa majoriti rakyat pekerja hanya mampu membeli rumah berharga RM100,000 dan ke bawah. Maka, KPKT harus berusaha untuk menambahkan bilangan rumah berharga RM100,000 dan ke bawah, dan membiarkan pihak swasta untuk menyediakan rumah-rumah berharga RM200,000 dan ke atas.

PSM akan meneruskan kempen jelajah kami ke negeri-negeri lain dalam usaha untuk mengutarakan realiti kemampuan rakyat dengan harapan membuka mata pihak KPKT mengenai rakyat yang mungkin akan bersara tanpa dapat membeli rumah mereka sendiri.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *